Thursday, December 15, 2011

Sembang Rakyat : Hukum Syariat Dipertikaikan ?!

Sekali lagi.
Saat ini, negara kita terus-menerus dilanda dengan isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama Islam. Begitulah natijahnya, apabila pembangunan material dan zahiriah kita agung-agungkan, lalu pembangunan rohaniah yang terlalu penting itu pula dilupakan. Lantas, kecanggihan teknologi dan ICT yang ada di depan mata hari ini, bukannya membawa kebaikan tetapi lebih kepada membawa mudarat dan kepincangan!

‘Sembang Rakyat’.

Video popular yang saban hari menarik perhatian banyak pihak.

‘Musim Hudud’, ‘Lagi Hudud PAS’ dan sebagainya. Sesetengah pihak mendakwa bahawa ianya hanya berkisar mengenai isu politik, lantas usahlah diperbesarkan! Sedikit masa, redalah ia. Golongan mahasiswa juga tidak perlulah ambil peduli! Teruskanlah menelaah kitab-kitab anda. Tiada apa yang peliknya, it’s a politic!

Sedarlah bahawa ironinya negara kita hari ini sedang mengalami satu masalah yang amat membimbangkan bilamana masalah-masalah ataupun perkara yang berkaitan dengan agama Islam dipolitikkan! Kali ini saya kira sudah cukup melampau.

Hukum syariat dipermainkan! Hukum Allah swt dipertikaikan! Buat seketika, sepertimana ramai orang yang ‘tidak berminat’ untuk masuk campur hal-hal politik di negara kita, ayuh kita singkirkan tiga huruf yang dibelakang tadi. Bakinya, itulah tajuk utama yang perlu kita jadikan isu.

HUKUM HUDUD.

Agak menjengkelkan bilamana melihat telatah para pelakon yang sewenang-wenangnya menuturkan dialog yang jelas-jelas memandang ringan dan mempertikaikan hukum syariat yang Allah swt telah tetapkan. Bermula dari para pelakon, penulis skrip, pengarah dan semua yang terlibat masing-masing punya satu kesilapan yang harus diinsafi.

'Islam itu menitikberatkan keadilan...Jika orang Islam dipotong tangan kerana mencuri, manakala orang bukan Islam pula dipenjarakan sahaja,mana ada adil ??! Betul tak??'

‘Kalau pun hukum hudud dijalankan, takde jadi apenye.. ‘

Agama Islam adalah agama yang Allah swt wahyukan kepada umat manusia. Bukan rekaan, bukan juga dongengan. Lantas, kita sebagai segolongan manusia yang mengaku sebagai umat Islam haruslah beriman kepada Allah swt dan seluruh ketetapanNya. Ya, hanya kerana itu! Kerana kita seorang penganut agama Islam! Bilamana kita meragui hukum syariat, samalah ertinya kita meragui Allah swt sendiri!

[ Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui ] Al Jaasyiah: 18

[ Bagi tiap-tiap umat telah Kami tetapkan syariat tertentu yang mereka lakukan, maka janganlah sekali-kali mereka membantah kamu dalam urusan (syariat) ini dan serulah kepada (agama) Tuhanmu. Sesungguhnya kamu benar-benar berada pada jalan yang lurus] As Syuaara':67

Berbeza pula isunya terhadap orang yang bukan beragama Islam. Ya, tidak dinafikan mungkin mereka mempunyai rasa ragu dan tidak faham dengan tuntutan syariat yang telah ditetapkan oleh ini. Namun lihatlah buktinya bilamana wujud segelintir orang bukan Islam yang diberikan penerangan dan kefahaman mengenai hukum syariat ini. Mereka dengan senang hatinya menerimanya tanpa ada perasaan takut mahupun sikap pesimis!

Masalahnya hari ini ialah apabila orang yang jahil dibenarkan bercakap sewenangnya! Tanpa merujuk kepada orang yang ahli dalam bidang tersebut, semuanya dibenarkan. Lantas semuanya jadi kucar-kacir! Sesuatu yang cantik dan molek, sebaliknya menjadi sesuatu yang ngeri dan menakutkan! Jelaslah kesilapan seperti ini hanya akan membawa perspektif negatif dan salah faham terhadap agama Islam.

Persoalannya, adakah adil bilamana hukum hudud dikhususkan untuk orang Islam sedangkan orang bukan Islam terkecuali?

Sepertimana yang telah disebutkan awal-awal tadi, sebagai umat Islam yang mengaku beriman kepada Allah swt, tentu sekali tiada pilihan untuk kita membuat keputusan samada untuk menerima atau tidak. Mahu tidak mahu, umat Islam perlu akur dan taat kerana kita telah ditaklifkan dengan tanggungjawab tersebut! Kita mengakui bahawa Allah swt yang menciptakan kita. Tentu sekali Allah swt juga mengetahui serba serbi mengenai makhluk ciptaannya ini. Lantas adakah kita meragui hukum-hukum syariat seperti hudud dan qisas itu adalah yang terbaik buat kita..? Yakinlah semuanya adalah yang terbaik dari Allah untuk kita tanpa ada sedikit pun unsur-unsur kezaliman mahupun penganiayaan.

Memang mengerikan..Cukup sekali je tengok. (>__<) Tapi, rasa-rasanya kalau macam ni, ada lagi tak orang berani mencuri..?

[ Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelansungan) hidup bagimu, hai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa ] Al Baqarah: 179

Bagi saudara-saudara ku yang bukan Islam pula, usahlah gentar apabila kalian mendengar istilah ini dicanang-canang ke sana ke mari. Syariat islam itu adalah khusus buat orang Islam, dan mereka yang bukan Islam adalah terkecuali daripada hukuman hudud seperti zina, meminum minuman keras, murtad, qazaf dan sebagainya. Analoginya mudah.

Di sebuah kawasan berhampiran rumah saya, terletak sebuah pusat latihan polis (PULAPOL). Namun di dalam kawasan yang sama juga terdapat sebuah sekolah rendah ugama yang menempatkan adik saya yang belajar di tahun enam. Setiap petang, ibu akan menghantar dan mengambil adik dari sekolah tersebut. Dan setiap kali itu jugalah kami terserempak dengan pelatih-pelatih di sana yang bergerak setiap masa dalam keadaan barisan yang kemas sambil berkawat. Ke dewan makan berkawat, ke bilik asrama berkawat apatah lagi ketika sesi latihan dijalankan. Namun begitu, walaupun kami telah memasuki kawasan mereka tidak pula kami berkawat seperti mereka! Kami santai sahaja berjalan mahupun berlari selaju mana yang kami mahu.

Keluar dari kereta, kami tidak pula perlu berkawat untuk mengambil adik.. Anak-anak kecil itu juga tidak menarik beg sekolah beroda mereka sebegini.. ^__^


Kenapa..??

Jawapannya mudah! Kerana..kami bukan sebahagian daripada mereka. Kami bukan seperti mereka yang telah diikat dengan peraturan dan tatatertib disiplin yang telah ditetapkan oleh pihak atasan mereka. Jadi, kami terkecuali! Begitulah juga halnya dengan hukuman hudud ini. Walaupun orang bukan Islam tidak dipotong tangan, kaki dan sebagainya namun, untuk menghukum kesalahan yang telah dilakukan tetap ada dendanya. Itulah pula yang Islam namakan dengan hukuman taa’zir.

Bilamana isu-isu yang berkaitan dengan hukum syariat seperti ini diperlekehkan, saya yakin kami berada di dalam keadaan gusar melihat agama Islam itu seolah-olah diperkotak-katikkan. Sehingga hari ini, video penghinaan hukum hudud ini terus dimainkan tanpa ada tindakan yang sewajarnya dari pihak berkuasa. Sebarang permohonan maaf mahupun suara-suara kekesalan juga langsung tidak kedengaran. Inilah natijahnya bilamana isu agama dipolitikkan. Syariat diabaikan, yang penting agenda mereka terlaksana.

Ingatlah firman Allah swt yang bermaksud :[ Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan ] Al Maidah:8

Semoga kita semua diberikan kefahaman tentang agama ini sebaiknya.Baik orang Islam mahupun bukan Islam, kita perlu menyedari bahawa setiap ketetapan yang telah ditentukan di dalam agama Islam itu sendiri adalah merupakan rahmat buat seluruh alam dan seisinya dan bukan sekadar kepada umat Islam. Lantas, di dalam usaha kita mendepani isu-isu semasa hari ini, berlaku adillah dalam mengambil apa jua tindakan yang sewajarnya. Pihak yang benar usah dicantas! Yang salah perlulah dibenteras!

Wallahua'lam..

1 comment:

  1. saya setuju dgn apa admin katakan hukum hudud sering diperlekehkan sedangkan itu hukum dari Allah Taala n org jahil pula dbenarkan bercakap sedangkan ulama ' diketepikan MashaAllah

    ReplyDelete