Bayangkan hari ini kita menjadi seorang pembantu rumah di dalam sebuah rumah yang besar, bertuankan seorang manusia lain yang dipanggil majikan. Tentu sekali, sekiranya kita berkerja dan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan baik, amanah dan cekap sudah tentu kita akan cukup disenangi dan disayangi oleh majikan tadi. Kalau bernasib baik, mungkin juga mendapat saguhati ataupun bonus tanda mereka menghargai usaha kita yang telah menjalankan tugasan tadi sebaiknya.
Sebaliknya, cuba bayangkan kita sebagai seorang pembantu rumah yang malas! Sudahlah malas berkerja, meminta pula itu dan ini daripada majikan. Kita meminta supaya dinaikkan gaji, elaun bulanan malah mungkin sedikit bonus, sedangkan rumah yang tadinya sepatutnya berada di bawah jagaan kita terabai! Sampah sarap bertaburan, kain baju tidak bercuci, yang kita tahu makan dan tidur.Hujung bulan, siap menunggu gaji. Secara logiknya, adakah wajar kita meminta-minta semua perkara tadi? Sudah tentu jawapannya tidak!
Begitulah juga halnya dengan kita. Hakikatnya, kita ini adalah hamba. Cuma seorang HAMBA! Malah, bukan sekadar hamba kepada seorang Tuan, tetapi hamba kepada Tuhan bernama Allah swt!
Seketul daging bernama hati itu hancur luluh dan kesal. Tanpa malu dan segan, meminta itu dan ini. Tanpa ada perasaan bersalah sedikit pun, terus-terusan meminta yang terbaik di dalam kehidupannya. Sedangkan sebagai seorang hamba, kita tidak amanah dengan 'tugas' yang telah diberikan! Sepatutnya kita berkhidmat buat DIA dengan memberikan ‘perkhidmatan’ yang terbaik! First class service! Lantas barulah setimpal apa yang kita kerjakan dengan ganjaran yang diminta tadi. Kalau pun DIA tidak memperkenankan permintaan tadi, itu hakNya! Kerana itu kuasaNya! Dan sebagai seorang hamba, sedarilah hakikat itu!
Skop kerja kita sebagai aamil /pekerja agama Allah swt ini pula, kita maklumi.
Allah berfirman mahfumnya : ( Dan tidaklah aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk menyembah KU) Adz Zaariyat : 56
Tugas yang kita galas hari ini, bukanlah sebuah jawatan biasa, dan pastinya bukan juga suatu pilihan. Bila-bila kita penat, kita ingin berehat. Bila kita hilang mood, kita tangguhkan. Bila tidak kena dengan kemahuan diri, kita membantah! Kita ingin meletakkan jawatan!
Hakikatnya, seorang manusia yang bergelar muslim dan mukmin, harus patuh dan akur dengan segala kemahuan dan ‘kontrak’ yang telah Allah swt sediakan, dan kita telah pun menandatanganinya! Kita berjanji bahawa kita akan ‘berkerja’ sehabis baik!
[ Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari tulang sulbi (tulang belakang) mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa (roh) mereka (seraya berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi". (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan) ] Al A’raf :172
Tetapi lihatlah tabiat kita hari ini. Semakin hari, kita semakin lupa. Semakin lupa, semakin kita terlalai. Semakin kita terlalai, maka semakin jauhlah pula kita daripada Allah swt..
Kita selalu melewat-lewatkan solat. Ada masanya boleh terlepas!
Kita jarang melazimi zikrullah, sedangkan ada sahaja masa terluang untuk bercakap mengenai hal-hal yang remeh!
Kita terlalu sibuk untuk menyinggahkan kaki ke majlis-majlis ilmu, tetapi tidak pula sedemikian ke tempat-tempat yang melalaikan! Shopping mall, panggung wayang dan sebagainya.
Kita merasa berat untuk melagukan ayat-ayat suci Al Quran tetapi bangga pula menghafal setiap bait alunan muzik kontemporari yang melalaikan.
Sedangkan kita tahu, menjadi seorang Muslim/ah mahu tidak mahu kita telah pun terikat dengan suatu perjanjian, indikasi dari sebuah pengakuan tadi. ‘Betul,(Engkau Tuhan Kami)’ ! Suatu masa dulu kita pernah mengiyakannya, tetapi hari ini kita sendiri mengingkarinya.
Islam itu bersifat universal! Tanpa mengira masa, zaman, keadaan mahupun setiap perincian perkara, semuanya telah terangkum kemas di bawah satu nama khas iaitu Islam. Sebagai penganut agama yang haq ini, kita tidak selayaknya untuk memilih mana yang kita suka, kita ambil. Mana yang dirasakan tidak sesuai kita buang!
[ Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu ] Al Baqarah : 208
Kalaulah kita umpamakan ISLAM itu seperti sebuah jawatan mahupun pekerjaan, maka sedarilah! Tidak akan pernah wujud istilah ‘rehat, cuti, part-time,resign’ dan sebagainya. Kerana, sejak kita dilahirkan sehinggalah nafas ini terhenti, kita akan membawa dan hidup mati bersama-sama ISLAM .
Diri mengelamun sendiri.. Kalaulah masih ada dikalangan kita yang bertanya, ‘Kenapa kita harus patuh dan taat dengan semua suruhan dan larangan agama Islam ni?’ 'Kenapa kita tidak boleh hidup bebas tanpa ada apa-apa yang mengikat dan menghalang kemahuan diri kita?' Sungguh.. tiadalah jawapan lain selayaknya melainkan satu sahaja.. satu sahaja. ‘Kerana ALLAH itu Tuhan kita’.
Ya,hanya kerana itu..
No comments:
Post a Comment