Saturday, December 31, 2011

2011 Dalam Kenangan

Esok, dengan izinNya, kita akan melangkah ke tahun baru, 2012. Pastinya tahun 2011 ini membawa seribu satu makna bagi setiap individu. Suka duka, tangis dan ketawa yang kita lalui, umpama warna-warna yang dilakarkan pada kanvas kehidupan.
Setiap corak yang terhasil membawa makna yang tersendiri.
Setiap contengan yang terhasil meninggalkan mesej yang tertentu.
Hasilnya, ia sebenarnya mengajar kita untuk menjadi lebih matang dan dewasa. Begitulah lumrahnya. Kehidupan ini adalah diantara 'sekolah' yang terbaik buat manusia!

Tangan ini lincah menari-nari di atas papan kekunci 'Imraatun'. Satu persatu ku imbas kembali. Bermula di bulan Januari hinggalah ke bulan terakhir tahun ini, membuat aku tersenyum sendiri. Ada masanya terbit rasa sayu di hati. Sungguh, WardatulAsfar ini sudah menjadi umpama sebuah diari untuk ku.

Terlalu banyak peristiwa dan kenangan manis yang berlaku tahun ini. Yang pasti, semua itu sesuatu yang sangat berharga untuk dilupakan..


* Tahun 2011 ini ku mulai dengan memikul tanggungjawab dan amanah yang sama. 'Timbalan Yang Di Pertua 2, BKPSM' buat kali keduanya. Aku gusar dan bimbang di atas 1001 kekurangan dan kesilapan yang tidak disengajakan selama memegang amanah ini. Dengan rendah diri, ku mohon maaf kepada semua dan maghfirah daripada Tuhan ku..♥

* Bangkit dan melangkah, meneruskan perjuangan sebagai mahasiswi Al Azhar, tahun akhir kuliah Syariah Islamiah.

* Cabaran besar dalam menyelesaikan masalah-masalah peribadi dan persatuan yang natijahnya sudah tentu akan mentarbiyah diri sebagai seorang pemimpin.

* Lawatan dan sesi dialog AJKT BKPSM ke muhafazah Iskandariah.

* Segala perancangan untuk Winter Break tertunda rentetan Revolusi yang melanda Mesir.

* Kepulangan kami ke bumi Malaysia tentunya bukanlah sesuatu yang sia-sia. Kami berpeluang menimba pelbagai pengalaman baru yang tentunya sangat berharga. Sambutan Maulidur Rasul buat julung kalinya di Sabah, majlis ramah mesra bersama Ketua Menteri Sabah, 'lamaran kami yang ditolak', menjejak bumi Sipitang untuk pertama kalinya, dan majlis ramah mesra di antara BKPSM dan PUM di antara pengalaman yang tidak akan dilupakan.

* Hari yang demikian..'Kegembiraan ayah ibu, akan menjadi kegembiraan Ina juga. Doakan..'

* Srikandi WISA ke gelanggang bola jaring. Walaupun bukan sebagai pemain, sangat seronok dapat bersama-sama mereka.

* Menyambut ulang tahun kelahiran yang terakhir di bumi Mesir ini.

* Rehlah kami ke Qanatir, Mansurah dan Dumyat yang sangat bermakna.

* Sambutan Hari Keluarga BKPSM buat pertama kalinya di Iskandariah.

* Ramadhan dan Hari Raya terakhir di Bumi Kinanah. Walaupun sedih, namun tetap gembira dengan perkongsian yang dapat dirasai bersama.

* Menyambut ketibaan mahasiswa/wi baru yang juga menjadi ahli keluarga baru BKPSM.


* Piliharaya BKPSM dan MAT 2011.. Entah kenapa terlalu banyak airmata yang tertumpah di dalam fatrah ini. Semuanya kerana 'cinta' itu.

* Melepaskan amanah yang dipikul kepada barisan kepimpinan yang seterusnya. Kami mendoakan supaya mereka dapat melaksanakannya dengan lebih baik.

* Tahun ni, paling kerap ke kelas-kelas Talaqi di Masjid Al Azhar..Rasa sangat rugi sebab tiada kesungguhan dan keazaman sebegitu dari tahun tahun pertama kaki ini menjejak bumi Kinanah. Apapun, Alhamdulillah.. Terlalu banyak yang dipelajari. Pesanan buat adik-adik kakak di sini, manfaatkanlah peluang keemasan yang ada di depan mata. Jangan abaikan 'mutiara' di negara padang pasir ini.

* Peluang yang diberikan untuk berganding bersama teman-teman lain sebagai ahli panel forum Maal Hijrah BKPSM. Syukran atas kesempatan yang dihadiahkan.

* Penantian yang panjang berakhir dengan sebuah senyuman dan kesyukuran.
9.10.11 : Hari Konvokesyen buat Ina dan teman-teman. Alhamdulilah..

Mengimbas semua itu, mungkin ada yang berkata. 'Bahagianya hidup..Semua kenangan-kenangan manis yang tercatat kemas. Seperti tiada lansung kedukaan, kesedihan dan ujian dialaminya'.

'Hidup tidak selalunya indah, siang tak selalu cerah..'
Begitulah lumrahnya hidup ini. Bukan kebahagiaan berpanjangan yang dijanjikan, bukan juga kesedihan berlarutan yang tiada penghujung. Yang pastinya , setiap sesuatu yang berlaku baik peristiwa besar mahupun kecil, tentunya ada hikmah yang tersembunyi. Terimalah seadanya dan syukuri segala pemberianNya.


Jadilah seumpama seekor lebah.
Terbangnya bebas ke sana ke mari..
Dari satu bunga ke bunga yang lain..
Apa yang perlu diambil adalah kemanisan madu- madu yang dihirup.
Tinggalkan yang pahit dan mendukacitakan sebagai sebuah ibrah dan pengajaran dalam menghadapi mehna kehidupan ini. Sungguh, hidup ini terlalu singkat untuk dipenuhi dengan kedukaan.

Sebelum tahun 2011 ini melabuhkan tirainya, bermuhasabahlah.
Selama setahun ini, apa kebaikan, sumbangan dan bakti yang telah kita berikan..?
Selama tempoh ini, telah berapa banyak keburukan, kesilapan dan ketelanjuran yang telah kita tidak sengajakan..? Tanamlah azam untuk kita berubah menjadi seorang hambaNya yang lebih baik. Di mana ada kemahuan, pastinya ada jalan!

Jauh di sudut hati ini, berbisik. Tahun 2012 pastinya menjanjikan pengalaman yang lebih mencabar buatku. Untuk kembali dan berhadapan dengan mereka yang berada di 'dunia' sana, membuatkan aku kecut perut, cuak dan gementar. Namun, mahu tidak mahu ianya perlu dihadapi! Dan aku yakin, semua peristiwa dan pengalaman yang ku lalui semalam, pasti akan menzahirkan 'hikmahnya' esok..

No comments:

Post a Comment