Kami menggelarnya sebagai Dunia Fantasi lantaran rasa teruja dan gembira yang akan dirasai sebaik sahaja menjejakkan kaki ke sana. Jikalau dilihat permandangan kasar negara Mesir ini dari atas awan, tentulah warna coklat keemasan sahaja yang akan kelihatan. Sinonim benarlah dengan negaranya yang mempunyai padang pasir yang agak luas dan cuaca panas membahang yang akan menjelang saban tahun. Tetapi ianya agak berbeza dengan ‘dunia fantasi’ ini. Sebaik sahaja melangkah masuk dari pintunya, akan kelihatan sebuah padang mini dengan warna hijau segar yang tentu sekali akan menarik pandangan mata pertama untuk melihatnya!
Tempat apakah sebenarnya yang kami gelar ‘Dunia Fantasi’ ini..??
Sebenarnya, tempat ini diberi nama Jamiat Aqidah Wat Tarbiyah Islamiah yang terletak hampir benar dengan imarah yang diduduki oleh mahasiswa/wi Sabah Mesir. Seindah tempat ini yang menggamit permandangan yang sangat indah, begitulah juga hendaknya dengan aktiviti bermanfaat yang dijalankan di sini.
Kewujudan 'Dunia Fantasi' yang mungkin tidak disedari ramai
Jamiat ini diusahakan dan dimiliki oleh sepasang suami isteri warga Mesir yang menjadikannya sebuah ‘sekolah’ dan juga ‘taman permainan’. Kalau boleh kami bahasakan ia sebagai sekolah yang agak santai berikutan aktiviti-aktivitinya yang mentarbiyah juga dalam masa yang sama menjalankan aktiviti-aktiviti riadah dan umum. Menurut anak perempuan pasangan ini, jamiat mengadakan pelbagai aktiviti khususnya untuk kanak-kanak seperti kelas mengaji, kelas hafazan, kelas komputer, rehlah (lawatan) dan sebagainya. Walaupun kawasan Jamiat ini tidaklah terlalu luas, namun ianya cukup padat dengan menempatkan sebuah hadonah (taska), perpustakaan kanak-kanak, taman permainan, bilik jahitan dan bilik komputer. Salah satu bangunan utama dalam Jamiat ini juga merupakan sebuah masjid yang lebih dikenali oleh penduduk setempat dengan nama Masjid As Syabab.
Menurut Mawaddah, tempat ini telah dibina oleh ayah dan ibunya sejak tahun 1980an lagi. Satu jangka masa yang agak lama sudah tentu memberikan bayangan kepada kita betapa derasnya pahala yang mengalir hasil daripada amal jariah ini yang akan berterusan selagimana ada anak-anak yang belajar dan menuntut ilmu di sini.
Bangunan ini biasanya dijadikan tempat untuk mengadakan usrah bagi kanak-kanak juga orang dewasa
Sebuah padang mini yang segar menghijau pastinya membuat si pemerhati jatuh hati dengan tempat ini!
Kawasan jamiat tidaklah terlalu luas, namun padat dengan kelas-kelas dan dewan yang menjalankan pelbagai aktiviti
Like this shot very much!
Masjid As Syabab yang menjadi salah satu bangunan utama di dalam kawasan Jamiat
Taman permainan yang biasanya dipenuhi suara riang anak-anak kecil pada waktu petang
Dewan Andalus~ Ceramah, aktiviti, pemeran, studio gambar bagi pengantin, kedai gunting rambut
Berbicara dan meluangkan masa bersama Mawaddah, seorang anak kecil yang baru berumur 10 tahun akan cukup membuat kita kagum dengan kepetahannya berkata-kata. Lancar sahaja mulutnya menceritakan sejarah Jamiat kepada kami dengan semangat seorang anak sulung daripada mudir sekolah ini. Agak memeranjatkan juga bilamana dia memberitahu bahawa revolusi Mesir yang berlaku beberapa bulan lalu turut disertai olehnya,bersama kanak-kanak lain dengan ditemani oleh ayah dan ibunya. Ternyata, sejak dari kecil keluarganya telah memberikan pendidikan awal tentang peri pentingnya semangat cintakan negara yang pastinya telah kami lihat sendiri kesannya kepada penduduk Mesir hari ini. Tidak hairanlah bilamana ketika dia menceritakan sejarah mengenai Jamiat, ia turut diselangi dengan isu-isu dunia yang sedang berlaku masa kini.
Jelasnya, dunia kita akan dipimpin oleh kanak-kanak ini kelak! Merekalah yang akan menjadi ketua, menjadi pemimpin dan juga pejuang agama Islam suatu saat nanti. Justeru itu, pendedahan dan pendidikan awal amat perlu dititik beratkan kepada anak-anak kita hari ini. Bersihkan minda mereka daripada anasir-anasir jahat, budaya kuning dan serangan pemikiran yang tidak henti-henti disasarkan oleh musuh-musuh Islam merupakan satu tugas dan tanggungjawab besar yang harus kita ambil cakna.
Mengenali dunia fantasi ini membuatku menyulam satu lagi impian yang terbina di celah-celah seribu impian lain. Mimpiku untuk ingin membina sebuah ‘Dunia Fantasi Islami’ yang dipenuhi gelak tawa kanak-kanak yang riang bermain sambil ditarbiyah rohani dan jasmaninya dengan acuan Al Quran dan As Sunnah seolah kedengaran mustahil. Namun, impian itu mungkin sahaja terjadi. Impossible is nothing..Bila ada kemahuan, tentu di situ ada jalan!
Jika berkesempatan, ingin lagi ke ‘dunia’ itu!
No comments:
Post a Comment