Hadith yang dipelajari di kuliah hari ini mengingatkan saya tentang jumlah kes sumbang mahram yang berlaku di Malaysia saban tahun. Seingat saya, ada tahun tertentu kes-kes ini dilaporkan dan satu demi satu menerjah kita melalui media-media massa . Memeranjatkan sudah tentu. Rasa sangat menyedihkan juga pasti terselit jauh di dasar hati. Di situ, terlihatlah betapa indahnya syariat Islam yang dibawa oleh Rasul Allah, Nabi Muhammad saw.
Di dalam salah satu hadith baginda ada menyebut, yang mafhumnya..
‘Berhati-hatilah kamu tatkala masuk (berhadapan) dengan wanita! Maka seorang lelaki dari golongan Ansar berkata, ‘Wahai Rasulullah, apa pendapatmu (bagaimana pula keadaanya) dengan Alham’u?’ Berkata Rasulullah saw, ’Alham’u itu satu kematian!’ [Sahih Bukhari]
Keterangan Hadith:
Alham’u disini ditakrifkan sebagai bapa mertua atau ipar. Adapun Imam Tirmidzi menyatakan ia membawa maksud saudara si suami(adik-beradik),dan sesiapa yang paling hampir dengan suami seperti bapa kepada suami,pakcik suami,anak pakcik dan sebagainya.
Adapun hadith ini sebenarnya menekankan agar umat Islam sentiasa berhati-hati dan berwaspada dalam menjaga hubungan kekeluargaan walaupun dengan keluarga sebelah suami mahupun isteri. Berdasarkan hadith ini, Rasulullah saw melarang keras daripada seorang lelaki bersama-sama wanita yang bukan mahramnya secara berdua-duaan samada lelaki yang dikenali ataupun tidak.
Walaupun mempunyai hubungan kekeluargaan, namun Islam melarang si isteri agar tidak bersendirian dengan bapa mertua, adik /abang si suami, pakcik suami ataupun sesiapa yang digolongkan dalam golongan yang haram dikahwini oleh si isteri untuk masa tertentu (muharramat bitta’qit) kecuali dengan ada mahram bersamanya. Walaupun hadith ini menekankan perihal si isteri, namun perkara yang sama juga dianjurkan kepada si suami agar tidak bersendirian dengan adik/kakak si isteri, makcik si isteri dan sebagainya.
Rasulullah saw apabila ditanya mengenai hal ini hanya menjawab ‘Alham’u Al Maut’. Ringkas namun padat dan sarat pada maksudnya. Ini membawa makna yang jelas betapa ianya boleh membawa kesan yang sangat buruk kepada perhubungan di antara suami dan isteri. Larangan daripada bersendirian dengan AlHam’u ini melihatkan betapa Islam ingin menjaga keadaan dan perihal si isteri daripada difitnah dan untuk mengelakkan daripada berlaku sesuatu yang tidak dijangka. Bilamana ini berlaku, mungkin sahaja si suami akan membuat keputusan drastik dengan menceraikan isteri lantaran daripada fitnah yang tersebar tanpa berfikir panjang.
Pada hari ini, hadith ini lebih aula (utama) untuk di hayati dan diamalkan. Lihat sajalah akibatnya bilamana kehidupan tidak diselarikan dengan batas dan tuntutan yang telah ditetapkan, ia boleh membawa satu kehancuran kepada umat Islam dan masyarakat amnya. Lantaran umat Islam hari ini yang lemah imannya, dan jauh pula daripada penghayatan agamanya akan memudahkan lagi untuk maksiat seperti sumbang mahram berlaku.
Adalah tidak menjadi satu kesalahan untuk suami isteri tinggal bersama keluarga si isteri mahupun keluarga si suami sepertimana yang banyak kita dapat lihat hari ini. Namun, inilah yang harus diperhatikan! Batas aurat dan pergaulan diantara suami isteri dan ipar duai walaupun mempunyai hubungan yang sangat rapat harus dibatasi dengan batasan yang telah ditetapkan syariat. Tidak seharusnyalah kita memandang rendah perintah dan larangan yang telah Allah swt perintahkan kerana sesungguhnya Allah swt maha mengetahui perihal hambaNya yang tidak terlepas dari melakukann kesilapan dan hasutan syaitan.
Melihat kepada statistik kes sumbang mahram yang meningkat saban tahun, membuat kita berasa canggung dan risau. Selain daripada tindakan undang-undang yang boleh diperketatkan kepada si pelaku, namun adalah amat baik untuk kita mulakan dari dalam rumah itu sendiri dengan menguatkuasakan undang-undang yang telah ditetapkan oleh agama Islam. Sesungguhnya agama Islam itu tidak memerlukan umatnya, sebaliknya kita sebagai umat Islam inilah yang amat memerlukan Islam dalam menjalani hidup pada hari ini.
Wallahu Subhaanahu Wa Taala A'lam..
No comments:
Post a Comment