Thursday, February 24, 2011

Kita ada KITA!

Perjuangan dalam medan dakwah ini memang sukar!
Satu demi satu ujian dan tribulasi akan singgah dan menyapa. Menjenguk.. kalau-kalau ada yang lemah semangat, pasti akan gugur dek kerana kepayahan yang perlu di hadapi.
‘Perjuangan dalam berdakwah, tidak akan dialasi dan dialu-alukan dengan karpet merah’.
Itu realitinya.
Seandainyalah perjuangan dakwah ini sebegitu mudah dan indah, maka nescaya akan berbondong-bondonglah manusia yang ingin turut serta.

Realitinya, kita tahu. Tidak semua yang ingin bersusah-payah. Untuk apa..? Hanya penat dan lelah yang diperoleh. Sedang ganjaran yang diimpi, tidak kelihatan.

JIWA PENDAKWAH.

Itulah yang membezakan seorang muslim dengan muslim yang lain. Kita sama-sama Islam. Kita sama-sama belajar dan tahu apa itu dakwah, tarbiyah dan sebagainya. Kita sama-sama tahu, untuk melahirkan generasi dan umat yang benar-benar menjulang Islam, kerja-kerja Islam perlu dijalankan. Namun, akhir sekali sedar atau tidak ‘jiwa pendakwah’ itulah yang mungkin menjadikan kita berbeza.

Seorang muslim yang berjiwa dakwah akan sentiasa mahu ditarbiyah. Seorang muslim yang berjiwa dakwah akan selalu rindu untuk memberi dan menyumbangkan sesuatu buat umat dan masyarakat.

Biarpun sukar dan memenatkan, ada rasa ingin memberi dan berbakti. Walau terpaksa mengorbankan masa,tenaga dan harta, namun tetap gembira dan bahagia. Biarpun berhadapan kesukaran, tetap mahu mencuba. Biarpun susah, sanggup ia ditempuhi kerana dirinya sudah mengerti hakikat sebuah perjuangan.

‘Redha Allah swt’..Itulah yang dicari.

Oleh kerana itu, diri melihat..mereka yang berjiwa pendakwah ini tidak pernah berputus asa. Mereka tidak kenal erti penat dan lelah. Sentiasa bersabar dan kuat hati untuk menghadapi hari-hari yang mendatang. Ohhh..Sangat kagum dengan mereka. Betapa Allah swt telah memilih mereka sebagai khalifah yang sangat setia dan taat untuk menyebarkan dakwah Islamiah. Betapa Allah swt telah memberikan mereka kekuatan hati untuk thabat di jalan ini.

Bergaullah dengan mereka. Saat itu renunglah diri, muhasabah peribadi … Wujudkah dalam diri kita ni jiwa seorang pendakwah? Sanggupkah kita harungi segala apa yang telah mereka lalui? Bersediakah kita untuk mengorbankan apa yang kita punyai demi orang yang tidak kita kenali..?

‘Sanggup’.. Jawapan itu dengan yakin akan muncul dari mulut mereka sebagai jawapan. Lantaran ganjaran dan redha Allah swt yang dijanjikan, segala susah payah diketepikan demi kemaslahatan umat dan masyarakat.

Aku ada kamu.. dan kita ada KITA!

Bersyukur kerana mereka ada di sisi. Sentiasa menyokong dan memberi semangat tatkala diri ini hampir rebah. Benarlah, kita ada KITA. Di sana ada suatu kekuatan yang sukar dicari!

Hati berkata kecil… Membenarkan kata-kata seorang murabbi…

Seorang aktivis dakwah itu seumpama sebatang lidi. Sebatang lidi yang kurus dan tiada rupa, tidak akan mampu menghilangkan kekotoran yang ada. Sekali pandang, apalah yang mampu ia lakukan? Namun, bilamana lidi-lidi yang rapuh tadi diikat dan menjadi satu, maka disitulah keajaibannya!! Tatkala lidi bertukar menjadi penyapu, maka kekotoran manakah yang tidak dapat dibersihkan..???

*Uhibbukum fi llah~~

No comments:

Post a Comment