Sejak tengah malam semalam, talian internet telah dipotong dan disekat. Difahami pihak kerajaan Mesir mengambil tindakan tersebut kerana bimbang akan lebih ramai yang menggunakan laman sosial seperti FaceBook, Twitter, Blog dan sebagainya untuk mewar-warkan dan mengajak lebih ramai warga Mesir bagi mengikuti rusuhan yang akan diteruskan setiap hari sehinggalah tujuan mereka tercapai. Jelas semangat mereka masih belum luntur walaupun sudah masuk hari ke lima demonstrasi dan tunjuk perasaan diadakan!
Pagi itu, talian telefon pula diputuskan! Panggilan keluar atau masuk disekat, malah perkhidmatan sms juga tidak dapat digunakan. Walaupun hanya terperuk di rumah, kami sentiasa mengikuti perkembangan semasa mengenai rusuhan yang berlaku di luar. Ternyata, semakin hari keadaan semakin meruncing.
Rakyat yang menunjuk perasaan dikatakan semakin bertambah hari demi hari, dan jumlah yang terkorban juga meningkat. Banduan-banduan yang terlepas dari penjara pula memburukkan keadaan bilamana mereka megambil kesempatan di dalam keadaan kelam-kabut. Gangsterisme berleluasa.
Kebimbangan mula bersarang di hati. Lebih-lebih lagi risau kalau-kalau keluarga di Tanah Air yang sudah tentunya ‘remuk hati’ tatkala menonton dan mengikuti perkembangan semasa yang berlaku di bumi Mesir mula memikirkan yang bukan-bukan mengenai keselamatan anak-anak mereka. Panggilan ingin dibuat untuk mengkhabarkan bahawa keadaan kami di sini baik-baik sahaja. Namun, begitulah! Talian internet mahupun telefon sama sekali tidak membenarkan kami untuk berhubung dengan dunia luar. Terasa seperti hidup di dalam gua! Saat itu hanya mampu berdoa, moga-moga Allah memberi ketenangan buat keluarga di sana..
Petang itu, keadaan baik-baik sahaja. Kawasan penempatan Abbas Al Aqad yang menempatkan imarah (bangunan) Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir sinonim dengan kawasan yang elit dan eksklusif. Agak terpencil dan khusus bagi golongan yang agak berada dan berkemampuan tinggi. Jadi tidak hairanlah keadaan nampak aman sahaja, seperti tiada apa yang berlaku.
Tiba-tiba kami dikejutkan dengan suasana yang agak kecoh di luar imarah. Dengan pantas, kami bergegas ke tingkap untuk menjenguk apa yang sedang berlaku. Rupanya kami difahamkan bahawa kawasan perumahan kami cuba dicerobohi oleh gangster-gangster yang dikatakan banduan-banduan yang terlepas semasa rusuhan dan tunjuk perasaan diadakan.
Sememangnya ketika ini, ada dua masalah utama yang merisaukan kami iaitu golongan yang membuat rusuhan dan masalah gangsterisme yang tambah merumitkan keadaan yang sedia ada. Memecah masuk rumah, merosakkan harta benda malah mungkin juga akan mencederakan orang awam yang tidak bersalah.
Suasana semakin menakutkan bilamana suara jeritan seorang lelaki memanggil semua pemuda untuk turun sama mempertahankan dan menjaga kawasan penempatan daripada dimasuki oleh gangster-gangster yang menggila. Beberapa minit kemudian, kelihatan pemuda-pemuda membawa senjata mereka masing-masing. Ada yang membawa besi, pisau, kayu, dan pemukul besbol saling bekerjasama untuk mempertahankan keluarga,harta dan rumah mereka daripada cuba dicerobohi.
Sangat kagum pada ketika itu! Yang keluar, bukan para pemuda yang seolah-olah ingin berperang tetapi juga golongan pemudinya! Dengan semangat dan penuh beraninya berjalan dan memegang senjata, bersedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan! Kagum dengan keberanian dan semangat mereka!
Bunyi riuh rendah itu menakutkan! Walaupun kami tidak dapat melihat gambaran sebenar yang berlaku di luar, namun jerit pekik orang ramai memberi jawapan bahawa saat- saat genting sedang dialami. Bunyi beberapa das tembakan yang dilepaskan kedengaran di udara! Kami semakin cemas. Saat itu kami hanya mampu berdoa agar jiran tetangga dapat menghalang kemaraan mereka daripada masuk ke kawasan perumahan kami. Sejurus selepas itulah kami melihat bukan sahaja para pemuda dan pemuda Mesir yang ‘berjuang’ untuk mempertahankan tetapi juga golongan yang dkatakan agak berumur turut sama-sama membantu. Saat itu terlihat kelibat seorang ammu( pakcik) yang memegang selaras pistol. Barangkali dia yang melepaskan tembakan tadi.
Tidak lama selepas itu, keadaan kembali aman. Namun, jiran tetangga dan mahasiswa yang telah ditugaskan oleh Jawatankuasa Kecemasan tetap dengan jadual mereka untuk menjaga keselamatan kami. Sepanjang hari, 24 jam mereka bergilir-gilir untuk menjaga imarah Sabah dan ahli-ahlinya. Dengan cuaca sekarang yang sejuk, mahu tidak mahu mereka terpaksa berjaga di luar. Terbit rasa kasihan terhadap mereka. Hanya mampu berdoa, moga-moga Allah memelihara keselamatan mereka yang menjaga kami di sini.
Keadaan semakin tenang, namun langkah berjaga-jaga tetap dilakukan. Bimbang kalau-kalau berlaku sesuatu yang tidak dijangka. Tempoh darurat dan perintah berkurung masih berterusan. Daripada bermula jam enam petang beranjak ke empat petang, kemudian dianjak lagi ke dua petang.
Keadaan semakin membimbangkan.. Belum ada tanda-tanda revolusi ini akan tamat..
No comments:
Post a Comment