Thursday, October 14, 2010

Adab-adab Menuntut Ilmu - Imam Ghazali r.a

Semester baru pengajian sesi 2010/2011 telah bermula. Rindunya untuk hadir ke kuliah dan menatap kitab-kitab baru yang dipenuhi seribu satu ilmu Nya itu. Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali dalam karya agongnya “Ihya Ulum al-Din” telah mengenalpasti 10 adab yang boleh dijadikan asas etika kepada para pelajar dalam proses pembelajaran. Moga-moga boleh diamalkan oleh kita bagi mendapat keberkatan dalam menuntut ilmu.



Pertama : Elakkan diri daripada elemen-elemen yang boleh memudharatkan akhlak yang terpuji, kerana ilmu adalah cahaya dan mudah mendekati orang yang baik budi pekertinya.

Kedua : Jangan terikat dengan hal ehwal keduniaan secara berlebihan, kerana ia membuka ruang untuk melalaikan fikiran daripada memfokuskan perhatian sepenuhnya terhadap ilmu pelajaran.

Ketiga : Para pelajar tidak boleh bersikap sombong dan takbur terhadap guru.

Keempat : Pelajar yang tekun dalam menuntut ilmu pada tahap awalnya perlu mengelakkan diri daripada mendengar perselisihan dan perbezaan pendapat dalam kalangan manusia sama ada melibatkan ilmu keduniaan atau ilmu akhirat. Ia bertujuan untuk mengelakkan kekeliruan pemikiran dan pemahaman terhadap disiplin ilmu yang baru dipelajari.

Kelima : Seseorang pelajar tidak boleh meninggalkan sesuatu disiplin ilmu melainkan ia telah mempertimbangkan dengan sebaik mungkin. Sesuatu ilmu yang dipelajarinya perlulah dikuasai dengan baik sebelum mengambil keputusan untuk mempelajari disiplin ilmu yang lain.


Keenam : Para pelajar tidak memaksa dirinya untuk menguasai semua bidang ilmu secara sekaligus. Kuasailah ilmu mengikut tahap dan tingkatan ilmu berdasarkam kemampuan dan keupayaan yang ada pada diri seseorang.

Ketujuh : Pelajar tidak boleh mencampuradukkan sesuatu cabang ilmu sebelum menguasai dan memahami cabang ilmu yang sebelumnya.

Kelapan : Seseorang pelajar perlu mengetahui hakikat dan objektif serta falsafah sesuatu disiplin ilmu yang dipelajari.

Kesembilan : Para pelajar perlu ikhlas dalam menuntut ilmu.

Kesepuluh : Setiap pelajar perlu mengetahui perkaitan ilmu yang dipelajari bertujuan supaya mengutamakan keperluan ilmu yang perlu didahulukan daripada ilmu yang berbentuk sampingan.


Perjalanan mencari ilmu bagi seorang manusia tidak akan menemui titik noktahnya hinggalah tiba waktu untuk dia berpisah dan meninggalkan dunia. Ternyata, perjalanan yang panjang ini bukanlah mudah. Maka berusahalah dan mintalah pertolongan dari Allah swt agar sentiasa diberi kekuatan menghadapi hari-hari yg mendatang. ChAiYok!!

No comments:

Post a Comment