Sunday, January 29, 2012
Manifestasikan Nikmat Berpersatuan!
Friday, January 20, 2012
Industri Perfileman : Satu Wasilah!


Friday, January 13, 2012
'Wardatul Asfar' : Semuanya Bermula Dengan Minat!
Alhamdulillah, tahun ini genaplah usia tiga tahun ‘WardatulAsfar’ meraikan ‘hari jadinya’. Bila dimbas kembali, semuanya bermula dengan minat! Minat membaca yang dididik sejak kecil , sedikit demi sedikit melahirkan pula rasa ingin berkongsi. Menulis.
Diawal-awal waktu saya mula menceburkan diri di dalam medan pena ini, hasil tulisan tidak lain hanyalah berkisar tentang cerita mengenai diri sendiri dan pengalaman peribadi yang bersifat santai. Tetapi lama-kelamaan genre penulisan berubah kepada artikel berbentuk ilmiah, dakwah dan isu semasa. Saya kira, ianya berpunca daripada faktor usia yang semakin dewasa dan pemikiran yang terbuka menjadi pemangkin kepada minat tadi. Sedangkan pada satu ketika dulu, tidak terfikir lansung untuk menulis sedemikian rupa. Itulah diantara impak positif yang saya pelajari selama mula menjinak-jinakkan diri di dalam dunia blogging ini.
Penggunaan gaya bahasa dan tatabahasa penulisan di waktu saya baru bermula, bila dibaca-baca kembali memang ‘failed’! Dengan kesilapan tempat letak imbuhannya, kesalahan huruf besar kecilnya dan tidak kurang juga perkataan-perkataan yang sangat suka diletak di tengah-tengah penceritaan, tetapi tidak sesuai pada tempatnya. Perkataan ‘hehehe’ menjadi contoh yang pernah menjadi ayat kegemaran saya suatu ketika dahulu . Membacanya semula membuatkan saya tersenyum sendiri. Malu.
‘Penulisan yang tidak matang lansung bagi seorang mahasiswi!’ Itu komen ikhlas dari hati saya.
Menulis memberikan saya satu kepuasan! Tatkala kita merasa lega dan puas menyantapi hidangan yang menyelerakan, memiliki sesuatu yang telah lama diidam-idamkan ataupun perasaan selesa setelah sesuatu taklifan selesai dikerjakan, pastinya kita akan tersenyum dengan senang hati. Begitulah rasanya apabila jari-jari ini sudah penat berlari ke kiri dan kanan papan kekunci dan akhirnya terhasillah satu ‘output’ yang tidak lain diharap membawa sedikit sebanyak manfaat kepada mereka yang bergelar pembaca.
Sejujurnya, saya tidaklah sehebat individu lain dalam menyaingi bakat mereka yang sangat saya kagumi. Tanpa pengunaan ayat-ayat yang ‘bombastik’, kalimah-kalimah ‘berbunga’ dan bahasa yang agak ‘tinggi’ , saya lebih selesa menuturkan ayat dengan tatabahasa yang ringkas dan mudah difahami oleh pembaca tanpa menafikan akan ada satu dua kosa kata yang baharu untuk dipelajari.
Saya tidak menafikan.
Melihat mereka yang sudah lali dengan memenangi pelbagai pertandingan penulisan, hasil karya yang terpilih untuk disiarkan di dalam media massa apatah lagi sehingga mampu menerbitkan sebuah buku, membuatkan saya cukup teruja dan cemburu! Beruntungnya mereka kerana Allah swt sebenarnya telah memberikan suatu nikmat yang sangat berharga yang disebut ‘bakat’!
{ NUN..Demi pena dan apa yang mereka tuliskan! } Qalam: 1
Lihatlah bilamana Allah swt bersumpah dengan ‘pena’! Jika difikirkan secara logiknya, ada apa dengan pena..? Nah, sebenarnya jika kita pelajari dan amati baik-baik, Allah swt tidak akan bersumpah dengan sesuatu melainkan padanya ada kepentingan dan keistimewaannya yang tersendiri.
{ Demi masa! } Al Asr:1
{ Demi kuda perang yang berlari kencang!} Al-A’diaat :1
{ Demi langit yang mengandungi hujan!} At-Thariq :11
Begitulah halnya juga dengan pena. Sungguh, pena mempunyai satu ‘kuasa’ luar biasa dalam tugasnya untuk menyampaikan ilmu dan menyebarkan kefahaman. Sekiranya kita menoleh kembali puluhan tahun yang lampau selepas runtuhnya kerajaan Uthmaniyah, kita akan mendapati bahawa kuasa pena dan medan penulisan inilah yang menjadi salah satu faktor penting dalam membantu melahirkan semula semangat jihad dan kebangkitan umat Islam!
Perasaan cemburu itu saya sambut dengan sebuah senyuman dan sikap optimis. ‘Segala-galanya memerlukan masa dan latihan! Bayi yang baru lahir saja walaupun mempunyai kaki yang dicipta sempurna oleh Allah swt tentu sekali memerlukan masa dan pengalaman jatuh tersungkur yang menyakitkan sebelum dia bisa berdiri dan berlari. Lumrahnya memang begitu. Yakin! Asalkan ada kemahuan pastinya di situ ada jalan!’
Sebagai seorang penulis yang baru mula bertatih, saya cukup gembira tatkala menerima email daripada admin sebuah laman web Islamik iLuvIslam yang mahsyur itu.
‘ Tahniah! Karya yang saudara/ saudari hantar telah diterbitkan pada 5 Disember 2011 (Isnin)’.
Saya tersenyum gembira bercampur tidak percaya. Maklumlah, hasil tulisan budak hingusan yang kadangkala saya anggap cuma picisan berbanding ratusan artikel lain yang turut dihantar dari seluruh Malaysia. Mungkin ada yang tersenyum sinis.. ‘Alahai.. Baru sekadar itu, senyumnya sudah sampai ke telinga!’
Artikel 'Ibrah Seekor Burung' yang ditulis ketika menghadapi fatrah imtihan..
Ya,mungkin ianya tidak membawa apa-apa makna bagi orang lain. Tetapi, ia cukup mengembirakan saya dan secara tidak lansung memberi saya semangat untuk terus konsisten di dalam dunia blogging dan penulisan ini.
DAKWAH! Itu prioriti utama yang saya letakkan. Tanpa mengenepikan perlunya ada gerak kerja amali dalam membawa misi dakwah ini, namun ‘pena’ juga merupakan salah satu wasilah yang mempunyai golongan mad’uu nya yang tersendiri. Oleh kerana itu, saya menyedari minat ini terlalu besar maknanya. Jika kena pada tempat dan caranya Insyallah tentu akan ada nilainya di sisi Allah swt.
Jadi, saya akui..Saya perlu persiapkan diri untuk sedia memperbaiki kelemahan, belajar, belajar dan belajar lagi!
‘Ayuh, jadikan hasil tulisan kita sesuatu yang boleh disumbangkan kepada lahirnya minat orang Islam untuk beramal dengan agamanya, dan menarik minat orang bukan Islam untuk mendekati agama suci ini. Usaha bukan pada memberi tahu tetapi mencetus rasa mahu selepas ada daya mampu!’
Jom menulis dan berkarya!
P/s : Design terbaru header dan lagu WardatulAsfar ini merupakan hadiah saya buatnya.. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang selalu menjadi pendorong semangat dan memberi dorongan untuk memastikan saya sentiasa 'rajin'. Syukran juga buat teman-teman yang selalu sudi meluangkan masa untuk datang berziarah ke laman WA ini... Jazaakumullahu khairan Kathira.. ^__^
Saturday, January 7, 2012
Apabila Muslimah Berfesyen ...
Istilah tabarruj didefinisikan oleh Imam Az Zamakhsyari sebagai perlakuan wanita yang menzahirkan perhiasannya kepada kaum lelaki yang mana sepatutnya wajib bagi mereka untuk menutupinya. Ini termasuklah barang-barang perhiasan yang tersembunyi pada anggota badan seorang wanita seperti rantai, gelang kaki dan subang. Begitulah juga halnya dengan pakaian dan pergerakan anggota badan wanita seperti cara berjalan, berkata-kata dan sebagainya.
Hari ini kita dapat lihat, ramainya wanita dan sedikitnya golongan muslimah. Seorang muslimah yang besar cinta dan taqwanya kepada Allah swt akan sentiasa menuruti adab-adab berpakaian dan berhias sesuai dengan fitrahnya sebagai seorang wanita. Seorang muslimah tidak akan resah dan terkejar-kejar untuk mengikuti perkembangan fesyen semasa yang jelasnya semakin jauh daripada garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam itu sendiri. Malah, dengan busana hasil 'rekaan syariatnya', seorang muslimah akan tampil sopan, selesa dan yakin dengan pakaiannya ditengah-tengah masyarakat moden hari ini.
Ironinya dewasa ini, kita melihat ramai dikalangan wanita itu ingin menutup aurat. Dan mereka mendakwa memang benar mereka telah menutup aurat! Tetapi lihatlah natijahnya apabila kita telah terpedaya dengan ungkapan ‘fesyen’ yang mana perlu diikuti dari masa ke masa. Adalah sesuatu yang tidak dapat kita nafikan bahawa, bidang fesyen hari ini merupakan salah satu senjata orang kafir untuk memperdaya kaum muslimin dan muslimat agar semakin jauh daripada tuntutan agama Islam yang sebenar.
Tidak lain, fesyen sebegini adalah hasil daripada pengaruh Barat.. Bezanya, yang beragama Islam perlu memakai tudung... Tetapi persoalannya adakah ini yang diajar oleh agama..?
Berfesyen itu tidak salah! Malah agama Islam amat menyarankan agar umatnya sentiasa berpenampilan kemas, cantik dan sopan.
Berhiaslah cara seorang Muslimah!
1) Menjaga pandangan. Sesungguhnya, perhiasan termahal dan yang paling bernilai bagi seorang wanita ialah sifat malunya.Tanpa sifat malu, hilanglah keistimewaan dan kecantikannya sebagai seorang wanita. Allah swt telah berfirman yang mahfumnya : [Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya] An Nuur :31
2) Menjaga pergaulan dengan lelaki daripada percampuran yang keterlaluan yang tidak menjaga batas-batas yang ditetapkan. Perlakuan ikhtilat yang tidak dibenarkan pada hari ini bolehlah kita lihat sepertimana yang banyak berlaku di panggung-panggung wayang, shopping mall, universiti/kolej, majlis-majlis keraian dan sebagainya. Pergaulan bebas yang tidak dikawal hari ini akan bermula dengan adegan berpacaran, berpegangan tangan, bersekedudukan dan akhirnya semakin bertambahlah jenayah dan maksiat yang dimurkai Allah swt seperti zina, pengguguran janin dan pembuangan bayi. Remaja hari ini melihat perbuatan yang sedemikian adalah satu kebiasaan yang tiada silapnya. Sedangkan, Rasulullah saw telah berpesan dan memberi peringatan supaya mencegahnya sejak awal lagi. Hadith Nabi saw yang bermaksud [Besi yang menikam atau ditimpakan ke atas kepala kamu itu adalah lebih baik daripada kamu menyentuh perempuan yang tidak halal bagimu] HR Tabrani wal Baihaqi
3) Pakaian yang bertepatan dengan adab-adab Islami, iaitu mencakupi ciri-ciri berikut:
*Pakaian yang menutupi seluruh tubuh seorang wanita melainkan apa yang telah dikecualikan oleh Allah swt di dalam sabdanya yang bermaksud : [..kecuali yang kebiasaannya nampak daripadanya..] An Nuur : 31 ...... Pendapat yang paling sahih bagi ayat ini ialah kecuali muka dan tapak tangan sahaja.
*Bertudung dengan syarat yang ditetapkan.
Dewasa ini, bertudung lebih kepada mengikut fesyen semasa dan bukannya kerana kewajipan yang berpandukan Al Quran dan Sunnah. Kain tudung yang tebal menjadi nipis, yang sepatutnya labuh menutupi menjadi singkat sekadar menutup kepala dan rambut si wanita. Allah swt telah menjelaskan secara terperinci perihal tudung ataupun jilbab yang akan menjaga seorang muslimah itu. [Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya] An Nuur:31
*Pakaian hendaklah tidak nipis dan ketat. Rasulullah saw pernah mengkhabarkan bahawa di antara ahli neraka kelak ialah [Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi seakan-akan bertelanjang,mereka berjalan dengan meliuk lentok ke kiri dan ke kanan.Sesungguhnya mereka tidak akan dimasukkan ke syurga, tidak pula dapat mencium baunya]
Please..Don't try this in public~
*Tidak memakai pakaian yang menyerupai lelaki.
Sesungguhnya Nabi saw melaknat perempuan-perempuan yang berpakaian menyerupai lelaki dan begitu juga sebaliknya. Pakaian tersebut yang dimaksudkan pada hari ini ialah seperti seluar, topi dan sebagainya. Larangan memakai seluar di sini bermaksud apabila ianya dipakai dengan kemeja ataupun t-shirt, adapun sekiranya dipakai bersama gaun yang labuh maka tiada larangan padanya.
*Tidak memakai pakaian yang biasanya khusus ataupun menyerupai orang Kafir.

Berhati-hatilah dalam berfesyen..!
4)Menjaga gerak-geri dan percakapan.
Seorang muslimah akan berhadapan dan bergaul dengan penuh keyakinan dan ketegasan ketikamana duduk bersama-sama masyarakat awam. Sentiasa menjaga kelakuan dan tutur katanya daripada menyinggung hati orang lain, akan menyebabkan dia disenangi dan mudah didekati. Allah swt berfirman mafhumnya :[ Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik] Al Ahzab : 32
5)Hendaklah tiada keinginan untuk menarik perhatian kaum lelaki dengan barang perhiasannya, wangian yang digunakan, mahupun melalui suaranya. Larangan Allah swt agar tidak menzahirkan perhiasan yang tersembunyi bagi wanita adalah untuk membezakan wanita muslimah dengan wanita di zaman jahiliyyah yang suka menghentak-hentakkan kakinya untuk mendengarkan bunyi nyaring loceng kaki yang biasanya mengkhayalkan kaum lelaki. Allah berfirman mafhumnya :[ Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung] An Nuur :31
Inilah fesyen hasil rekaan 'syariatNya'.. Cantik, manis dan sopan, kan?
Dari sini dapatlah kita perhati dan fahami bahawa Islam tidak pernah menzalimi dan mendiskriminasi kaum wanita sepertimana yang selalunya kita dengar. Islam tidak meletakkan kaum wanita di rumah semata-mata dengan hidup terkurung, sebaliknya syariat membenarkan wanita untuk keluar dan memenuhi keperluan hidup mereka seharian seperti berkerja, menuntut ilmu dan sebagainya. Rasulullah saw pernah bersabda yang mafhumnya : [Sesungguhnya Allah swt telah memberi keizinan kepada kamu (kaum perempuan) untuk keluar bagi memenuhi keperluan kamu] HR Bukhari
Betapa istimewanya kedudukan wanita di sisi agama Islam. Setiap suruhan, larangan dan tegahan sudah pasti ada kebaikan dan manfaatnya bagi menjaga kehormatan wanita itu sendiri. Sekiranya kita tidak mengendahkan suruhan Allah swt ini, maka apalah bezanya kita dengan wanita-wanita jahiliyah satu masa dahulu? Mengingkari perintah Allah swt ini hanya mengundang kesan buruk yang menanti di kemudian hari. Oleh itu berbanggalah!
Kerana kita bukan sekadar wanita biasa, tetapi kita muslimah yang solehah!
Kitab rujukan : Al Halal wal Haram fil Islam, karangan Imam Yusuf Al Qardhawi.








