Friday, October 12, 2012

Engkau Memang Cantik!

SAYA seorang perempuan.
Sejujurnya, saya mengakui dan sering menyedari betapa indahnya ciptaan seorang wanita itu.
Cantiknya terlalu unik dan istimewa. Sukar untuk saya huraikan. Yang pasti, semua perempuan itu diciptakan 'cantik'.

Apa itu 'cantik'?
Tentu sekali jawapan yang berbeza akan kita temui bila diajukan soalan tadi kepada puluhan malah ratusan manusia. Kerana, cantik itu bersifat subjektif. Saya secara peribadinya melihat ramai perempuan cantik saban hari. Tubuhnya yang tinggi lampai, senyumannya yang memikat, wajahnya yang ayu... Sungguh! Saya sendiri sebagai seorang perempuan 'terjatuh hati' dek keindahannya.

Namun hari ini, tidak semua yang cantik itu menyenangkan. Sering juga saya bertemu dengan sekelompok wanita yang cantik tetapi tingkahnya kurang menyedapakan mata dan hati yang memandang.
Cantik, ya cantik! 
Tetapi sekali dia berkata-kata bahasanya keras dan tidak sopan.
Sekali dia ketawa, suaranya saja boleh membuatkan orang di sekelilingnya menjeling.
Sekali dia melepaskan marah, terpacul pula kata cacian dan makian dari mulutnya.



AKHLAK.
Itulah sebenarnya ukuran untuk kita di dalam agama. Adalah amat tidak adil jika kita menilai seseorang itu sebagai muslimah solehah hanya kerana tudungnya yang labuh, aurat kakinya yang tertutup sempurna mahupun kerana sikapnya yang rajin bersolat. Ini kerana, walaupun ramai yang bersolat tetapi auratnya tidak juga terjaga sebaiknya. Walaupun labuh tudungnya, tetapi sering pula ia ingkar pada ayah dan ibunya.

Justeru, agama itu diidentifikasikan melalui akhlaknya. Ya, iman itu tidak mungkin kita lihat dengan mata kasar kerana tempatnya terletak di dalam hati. Namun, sekiranya iman itu benar-benar bernyala di dalam hati, cahayanya pasti akan memancar keluar dan kita kenali sebagai akhlak.

Inilah yang patut kita kejar! Kita patut berusaha dan berazam saban hari untuk menjadi seorang muslimah yang cantik dan solehah.
Ini kerana cantik secara fizikal, belum tentu berakhlak.
Tetapi wanita yang berakhlak sudah semestinya akan kelihatan cantik!

Baginda Rasulullah saw pernah bersabda yang mafhumnya :
( Sesungguhnya seorang hamba yang berakhlak baik akan mencapai darjat dan kedudukan yang tinggi di akhirat, walaupun ibadahnya sedikit )

Sejujurnya saya bukanlah individu yang paling ideal untuk memperkatakan mengenai hal ini, Tetapi saya yakin, kami (muslimat sekalian) ada kalanya, akan merasa rendah diri bila berhadapan dengan situasi yang tertentu. Tetapi ambillah masa dan cuba amati apa yang telah diperkatakan tadi. Bersyukurlah!

Kerana sebenarnya.. Engkau memang cantik!




No comments:

Post a Comment