Sunday, January 29, 2012

Manifestasikan Nikmat Berpersatuan!

ISLAM amat mementingkan kesatuan dan kerjasama  yang padu  bagi mewujudkan segolongan umat yang mampu berdiri dengan gah dan dinamik bagi membawa syariat agama Islam di seluruh pelusuk dunia. Betapa cantiknya analogi yang Allah swt telah ajarkan kepada kita melalui kitabNya di dalam surah As Saff ayat empat bahawa, segolongan umat yang bersatu itu, akan menjadi seperti bangunan-bangunan yang tersusun kukuh lagi kuat!

‘Tiada Islam tanpa jemaah, tiada jemaah tanpa kepimpinan dan tiada pula kepimpinan melainkan dengan taat’.

Kalam  ini membawa kita kembali melihat dan menyedari bahawa konsep berjemaah itu merupakan satu faktor yang amat penting bagi mewujudkan kembali zaman kegemilangan Islam yang runtuh pada tahun 1924 yang lalu. Sedar atau tidak, persatuan yang menaungi kita pada hari ini, merupakan satu nikmat yang sangat bernilai.  Jika kita fahami dan amati dengan teliti ianya persis  mencakupi konsep berjemaah seperti yang telah disebutkan tadi.

Jemaah. 
Kepimpinan. 
Ketaatan.

Jadi, bilamana kita mengakui bahawa berjemaah itu sangat penting untuk Islam, begitulah juga halnya dengan berpersatuan. Ini kerana dengan berpersatuan, ianya akan melahirkan individu-individu muslim yang multi-purpose yang sudah semesinya amat penting dalam melaksana gerak kerja Islam kelak.

INDIVIDU BERKEPIMPINAN


Berpersatuan samalah seperti sebuah jemaah Islam. Kelak akan wujudlah golongan yang memimpin dan yang akan dipimpin. Mereka yang memimpin bukanlah bermaksud segolongan manusia yang terbaik dan ‘suci’  dari melakukan kesilapan. Bukan juga merupakan peluang terbuka bagi golongan ini mengarah orang bawahan sesuka hati sedang dia bergoyang kaki. Golongan yang dipimpin pula seharusnya membersihkan fikiran daripada mitos ‘aku kuli’ yang telah lama bersarang di dalam diri. Sebenarnya kedua-dua golongan ini perlu wujud! Bilamana semua ingin bercita-cita untuk menjadi ketua dan big boss dalam sesebuah persatuan, maka akan terjadilah huru-hara dan kerosakan disebabkan masing-masing mempunyai pandangan dan kemahuan yang tersendiri. Maka, disitulah perlunya ada sekelompok individu yang mana kerja mereka lebih kepada mengatur,merancang dan mengorganisasi tanpa terkecuali bilamana memasuki zon gerak kerja! Jelas,golongan ini sebenarnya mempunyai tugas dan tanggungjawab yang lebih berat dan besar berbanding yang lain.

Tatkala menyedari bahawa golongan pertama tadi punya tugas yang berat, maka akan timbul pula masalah bilamana semua ingin lepas tangan. Kalau boleh,semua tidak ingin termasuk di dalam kelompok tersebut dan lebih rela menjadi orang yang dipimpin sampai bila-bila. Nah! Cuba bayangkan apa yang akan terjadi? Tentulah semuanya akan bersifat sambil lewa dan lalai kerana alasan yang timbul dibenak masing-masing adalah sama.

‘Ahh..adalah nanti tu siapa-siapa yang akan uruskan…!’.

Bilamana ini terjadi, akan tergendalalah semua aktiviti yang sepatutnya dilaksanakan bagi kemaslahatan umum. Lebih menyedihkan  lagi apabila mengenangkan berpunca daripada sikap sebeginilah, kelak gerak kerja Islam dan dakwah akan terhenti begitu sahaja apabila golongan mahasiswa/wi tadi mula terjun ke medan perjuangan sebenar.

Kita perlu sedar, samada menjadi pemimpin ataupun yang dipimpin di dalam dunia berpersatuan, yakinlah ada sesuatu yang kita pelajari! Tidak lain, kita sebenarnya akan belajar memimpin dan bijak berurusan  dengan orang ramai. Kita  juga boleh belajar untuk menjadi orang bawahan yang baik dengan  mendengar arahan ketua dan melaksanakan gerak kerja dengan cemerlang sekali.  Jadi, tidak timbul soal ‘siapa lebih baik’ kerana hakikatnya, kedua-dua golongan ini amat memerlukan di antara satu sama lain,serta mempunyai tugas dan peranan yang tersendiri. Apabila aspek dan kefahaman ini dapat digarapkan sebaiknya, tentulah akan ianya akan berjaya mewujudkan satu team-work yang mantap apabila diterjemahkan di dalam  medan dakwah yang sebenar.

[ Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung]  Al Imran:104

KERJASAMA DAN ITHAR 
Persatuan dan Jemaah tidak mungkin akan wujud dengan adanya seorang individu sahaja. Malah, kedua-duanya mempunyai konsep yang sama. Ia memerlukan sekelompok manusia yang beriltizam untuk sama-sama membangun dan mencapai misi dan visi yang tersendiri. Oleh yang demikian, amat penting bagi setiap individu mula belajar untuk memberi komitmen, kerjasama, memberi bantuan, memupuk semangat pengorbanan dan kekitaan bagi melancarkan setiap gerak kerja. 


Firman Allah swt di dalam kitabnya yang bermaksud :[ Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.  Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya] Al Maidah:2

Sifat-sifat ini amat penting, agar tidak wujud rasa pentingkan diri dan nafsi-nafsi. Dan, persatuanlah medan percubaannya!  Di dalam fatrah ini, mahasiswa/wi akan teruji samada ingin memberi sepenuh perhatian terhadap pelajarannya semata-mata ataupun turut memberi bantuan dan komitmen dalam urusan-urusan berpersatuan. Cuba kita rungkai kembali persoalan yang disebut di dalam Fiqh Aulawiyat ini… ‘Kemaslahatan khusus atau kemaslahatan umum???’  Yang mana lebih penting,dan mana yang satu perlu didahulukan? Tepuk dada tanyalah iman!

‘TOP-UP’  NILAI TAMBAH 

Untuk melahirkan para daie yang bergiat aktif di dalam medan dakwah kelak, seharusnya para mahasiswa/wi hari ini mempersiapkan diri dengan mempunyai pelbagai kemahiran dan nilai tambah yang sememangnya sangat diperlukan. Kalau kita perhatikan, ada satu perbezaan yang besar diantara mahasiswa/wi yang berpersatuan dan yang anti-persatuan. Percayalah, di dalam semua gerak kerja dan program persatuan, setiap tugas yang diamanah itu merupakan satu peluang berharga untuk kita mempelajari perkara-perkara baru.

Sekecil mana taklifan yang dipertanggungjawabkan, tentunya ada manfaat buat mereka yang menyedari dan ingin belajar! Kemahiran untuk mengurus sebuah organisasi, bergaul dengan orang ramai, kepetahan berkata-kata dan  berkomunikasi adalah sesuatu yang tidak mungkin kita dapati melalui pembelajaran di kuliah dan kitab semata-mata. Segala pengalaman yang ditimba melalui berpersatuan adalah sesuatu yang amat bernilai! Kata-kata yang ingin diungkapkan tidak mungkin dapat mengambarkannya, hanyasanya memerlukan setiap individu itu sendiri yang menjinakkan diri dengan persatuan dan mengalami pengalaman berharga ini.


Sesungguhnya tidak ramai diantara kita yang melihat ‘berpersatuan’ itu sebagai satu nikmat dari Allah swt. Bahkan, sesetengah daripada  kita beranggapan bahawa berpersatuan hanyalah menganggu kosentrasi dan prestasi akademik seseorang mahasiswa/wi dan hanya menyusahkan. Segala perkerjaan dan penat lelah yang kita korbankan untuk berpersatuan, niatkanlah semata-mata kerana Allah swt. Kerana dalam berpersatuan, kita sebenarnya menyusun gerak kerja dan program yang tidak lain hanya untuk mengajak kepada yang maaruf dan menjauhi segala  yang dilarang oleh syariat Allah swt. Jadi, sedar atau tidak sebenarnya berpersatuan adalah satu ibadah kalau kena pada cara dan pelaksanaanya. Maka, yakinlah berpersatuan bukanlah  satu faktor yang menyebabkan prestasi akademik terganggu malah mungkin dengan kerja-kerja yang dianggap kecil itulah yang menjadi punca dari mana pertolongan Allah swt itu tiba untuk hambaNya.  Allah swt berfirman yang maksudnya :

 [Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu] Muhammad : 7

Amat rugilah sekiranya nikmat yang Allah swt telah beri di depan mata kita, dipersiakan begitu sahaja. Apabila disebut bahawa berpersatuan ini merupakan salah satu wasilah kepada gerak kerja dakwah yang mantap dan bersistem, yakinlah kesatuan umat Islam yang kita impi-impikan untuk menegakkan kembali zaman kegemilangan Islam itu bermula dari kelompok yang kecil ini.

PERSATUAN KITA!


Friday, January 20, 2012

Industri Perfileman : Satu Wasilah!

Sejujurnya saya bukanlah seorang yang meminati filem-filem berunsur aksi dan lasak! Rasanya tiada apa yang perlu dihairankan kerana sifatnya orang perempuan lazimnya begitu.
'Dahsyat betul..'
'Eee.. cerita ganas! Menakutkan!'

Tetapi ianya berubah seratus peratus bilamana saya menyaksikan dua filem ini secara berturut-turut dalam masa sehari! Tanpa wujudnya dialog-dialog tadi, saya berasa cukup teruja untuk menontonnya lagi dan lagi. Tanpa disuruh oleh sesiapa pun, dengan rela hati akan saya 'menjajanya' untuk menjadi tatapan mereka yang lain.

Saya akui, saya agak lambat dalam menyusuli dan memberi komen tentang dua filem hebat ini. Kedua-duanya telah pun ditayangkan pada tahun 2007 dan 2011 yang lalu. Namun, saya agak pasti masih ramai yang belum berkesempatan untuk menontonnya.

Hairan juga bilamana filem-filem yang membawa mesej penting seperti ini 'tidak lepas' ujian, berbanding ratusan filem lain yang kosong, tanpa mesej tersirat malah merosakkan!

Sungguh, Dr.Abdullah Naasih U'lwaan pernah menuliskan di dalam kutaib karangannya yang bertajuk 'Maaza a'an Sohwatul Islamiah fil A'asril Hadis, ya Syabab?!' bahawa salah satu wasilah (cara) untuk umat Islam hari ini mengembalikan dan menghidupkan semula semangat kebangkitan Islam itu adalah dengan memanfaatkan media massa yang ada!

FILEM.

'Valley of Wolves Iraq 2007'

'Valley of Wolves Palestine 2011'

BUKAN SEKADAR FILEM!
Ia membawa kita hayut dan membayangkan..
'Bagaimanakah jika AKU yang berada di tempat mereka..?


Andai mereka (musuh-musuh Islam : Yahudi, Nasrani, Munafiq atau Faasiq) boleh menggunakan filem sebagai alat untuk merosakkan dan melalaikan umat Islam dengan adegan-adegan tidak bermoral, syirik, khurafat, fitnah dan sebagainya.. Maka kita juga boleh manfaatkan industri besar ini sebagai salah satu cara untuk menyampaikan ilmu, menggambarkan situasi sebenar dan isu semasa yang berlaku di seluruh dunia hari ini.

Biar umat Muhammad saw ini sentiasa peka dan cakna akan penderitaan, kepedihan dan kezaliman yang mereka lakukan terhadap saudara seaqidah kita di sana! Tidak terlalai, apatah lagi terlena!

Bilamana KESEDARAN sudah mula timbul, maka dari situlah semangat untuk membangkitan semula Islam itu akan bertapak!


20/1/2012,Kota Iskandariah..

Friday, January 13, 2012

'Wardatul Asfar' : Semuanya Bermula Dengan Minat!

2012 .

Alhamdulillah, tahun ini genaplah usia tiga tahun ‘WardatulAsfar’ meraikan ‘hari jadinya’. Bila dimbas kembali, semuanya bermula dengan minat! Minat membaca yang dididik sejak kecil , sedikit demi sedikit melahirkan pula rasa ingin berkongsi. Menulis.

Diawal-awal waktu saya mula menceburkan diri di dalam medan pena ini, hasil tulisan tidak lain hanyalah berkisar tentang cerita mengenai diri sendiri dan pengalaman peribadi yang bersifat santai. Tetapi lama-kelamaan genre penulisan berubah kepada artikel berbentuk ilmiah, dakwah dan isu semasa. Saya kira, ianya berpunca daripada faktor usia yang semakin dewasa dan pemikiran yang terbuka menjadi pemangkin kepada minat tadi. Sedangkan pada satu ketika dulu, tidak terfikir lansung untuk menulis sedemikian rupa. Itulah diantara impak positif yang saya pelajari selama mula menjinak-jinakkan diri di dalam dunia blogging ini.

Penggunaan gaya bahasa dan tatabahasa penulisan di waktu saya baru bermula, bila dibaca-baca kembali memang ‘failed’! Dengan kesilapan tempat letak imbuhannya, kesalahan huruf besar kecilnya dan tidak kurang juga perkataan-perkataan yang sangat suka diletak di tengah-tengah penceritaan, tetapi tidak sesuai pada tempatnya. Perkataan ‘hehehe’ menjadi contoh yang pernah menjadi ayat kegemaran saya suatu ketika dahulu . Membacanya semula membuatkan saya tersenyum sendiri. Malu.

Penulisan yang tidak matang lansung bagi seorang mahasiswi!’ Itu komen ikhlas dari hati saya.

Menulis memberikan saya satu kepuasan! Tatkala kita merasa lega dan puas menyantapi hidangan yang menyelerakan, memiliki sesuatu yang telah lama diidam-idamkan ataupun perasaan selesa setelah sesuatu taklifan selesai dikerjakan, pastinya kita akan tersenyum dengan senang hati. Begitulah rasanya apabila jari-jari ini sudah penat berlari ke kiri dan kanan papan kekunci dan akhirnya terhasillah satu ‘output’ yang tidak lain diharap membawa sedikit sebanyak manfaat kepada mereka yang bergelar pembaca.

Sejujurnya, saya tidaklah sehebat individu lain dalam menyaingi bakat mereka yang sangat saya kagumi. Tanpa pengunaan ayat-ayat yang ‘bombastik’, kalimah-kalimah berbunga dan bahasa yang agak ‘tinggi’ , saya lebih selesa menuturkan ayat dengan tatabahasa yang ringkas dan mudah difahami oleh pembaca tanpa menafikan akan ada satu dua kosa kata yang baharu untuk dipelajari.

Saya tidak menafikan.

Melihat mereka yang sudah lali dengan memenangi pelbagai pertandingan penulisan, hasil karya yang terpilih untuk disiarkan di dalam media massa apatah lagi sehingga mampu menerbitkan sebuah buku, membuatkan saya cukup teruja dan cemburu! Beruntungnya mereka kerana Allah swt sebenarnya telah memberikan suatu nikmat yang sangat berharga yang disebut ‘bakat’!

{ NUN..Demi pena dan apa yang mereka tuliskan! } Qalam: 1

Lihatlah bilamana Allah swt bersumpah dengan ‘pena’! Jika difikirkan secara logiknya, ada apa dengan pena..? Nah, sebenarnya jika kita pelajari dan amati baik-baik, Allah swt tidak akan bersumpah dengan sesuatu melainkan padanya ada kepentingan dan keistimewaannya yang tersendiri.

{ Demi masa! } Al Asr:1

{ Demi kuda perang yang berlari kencang!} Al-A’diaat :1

{ Demi langit yang mengandungi hujan!} At-Thariq :11


Begitulah halnya juga dengan pena. Sungguh, pena mempunyai satu ‘kuasa’ luar biasa dalam tugasnya untuk menyampaikan ilmu dan menyebarkan kefahaman. Sekiranya kita menoleh kembali puluhan tahun yang lampau selepas runtuhnya kerajaan Uthmaniyah, kita akan mendapati bahawa kuasa pena dan medan penulisan inilah yang menjadi salah satu faktor penting dalam membantu melahirkan semula semangat jihad dan kebangkitan umat Islam!

Perasaan cemburu itu saya sambut dengan sebuah senyuman dan sikap optimis. ‘Segala-galanya memerlukan masa dan latihan! Bayi yang baru lahir saja walaupun mempunyai kaki yang dicipta sempurna oleh Allah swt tentu sekali memerlukan masa dan pengalaman jatuh tersungkur yang menyakitkan sebelum dia bisa berdiri dan berlari. Lumrahnya memang begitu. Yakin! Asalkan ada kemahuan pastinya di situ ada jalan!’

Sebagai seorang penulis yang baru mula bertatih, saya cukup gembira tatkala menerima email daripada admin sebuah laman web Islamik iLuvIslam yang mahsyur itu.

‘ Tahniah! Karya yang saudara/ saudari hantar telah diterbitkan pada 5 Disember 2011 (Isnin)’.

Saya tersenyum gembira bercampur tidak percaya. Maklumlah, hasil tulisan budak hingusan yang kadangkala saya anggap cuma picisan berbanding ratusan artikel lain yang turut dihantar dari seluruh Malaysia. Mungkin ada yang tersenyum sinis.. ‘Alahai.. Baru sekadar itu, senyumnya sudah sampai ke telinga!’

Artikel 'Ibrah Seekor Burung' yang ditulis ketika menghadapi fatrah imtihan..

Ya,mungkin ianya tidak membawa apa-apa makna bagi orang lain. Tetapi, ia cukup mengembirakan saya dan secara tidak lansung memberi saya semangat untuk terus konsisten di dalam dunia blogging dan penulisan ini.

DAKWAH! Itu prioriti utama yang saya letakkan. Tanpa mengenepikan perlunya ada gerak kerja amali dalam membawa misi dakwah ini, namun ‘pena’ juga merupakan salah satu wasilah yang mempunyai golongan mad’uu nya yang tersendiri. Oleh kerana itu, saya menyedari minat ini terlalu besar maknanya. Jika kena pada tempat dan caranya Insyallah tentu akan ada nilainya di sisi Allah swt.

Jadi, saya akui..Saya perlu persiapkan diri untuk sedia memperbaiki kelemahan, belajar, belajar dan belajar lagi!

‘Ayuh, jadikan hasil tulisan kita sesuatu yang boleh disumbangkan kepada lahirnya minat orang Islam untuk beramal dengan agamanya, dan menarik minat orang bukan Islam untuk mendekati agama suci ini. Usaha bukan pada memberi tahu tetapi mencetus rasa mahu selepas ada daya mampu!’

Jom menulis dan berkarya!


P/s : Design terbaru header dan lagu WardatulAsfar ini merupakan hadiah saya buatnya.. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang selalu menjadi pendorong semangat dan memberi dorongan untuk memastikan saya sentiasa 'rajin'. Syukran juga buat teman-teman yang selalu sudi meluangkan masa untuk datang berziarah ke laman WA ini... Jazaakumullahu khairan Kathira.. ^__^

Saturday, January 7, 2012

Apabila Muslimah Berfesyen ...

Seorang wanita muslimah diciptakan oleh Allah swt dengan keistimewaanya yang tersendiri berbanding dengan wanita non-muslim hari ini mahupun yang hidup di zaman jahilliyah satu ketika dahulu. Wanita- wanita yang hidup sebelum kedatangan Islam dahulunya terkenal dengan sifat mereka yang suka berhias secara berlebihan(tabarruj) dan menggoda kaum lelaki.

Istilah tabarruj didefinisikan oleh Imam Az Zamakhsyari sebagai perlakuan wanita yang menzahirkan perhiasannya kepada kaum lelaki yang mana sepatutnya wajib bagi mereka untuk menutupinya. Ini termasuklah barang-barang perhiasan yang tersembunyi pada anggota badan seorang wanita seperti rantai, gelang kaki dan subang. Begitulah juga halnya dengan pakaian dan pergerakan anggota badan wanita seperti cara berjalan, berkata-kata dan sebagainya.

Hari ini kita dapat lihat, ramainya wanita dan sedikitnya golongan muslimah. Seorang muslimah yang besar cinta dan taqwanya kepada Allah swt akan sentiasa menuruti adab-adab berpakaian dan berhias sesuai dengan fitrahnya sebagai seorang wanita. Seorang muslimah tidak akan resah dan terkejar-kejar untuk mengikuti perkembangan fesyen semasa yang jelasnya semakin jauh daripada garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam itu sendiri. Malah, dengan busana hasil 'rekaan syariatnya', seorang muslimah akan tampil sopan, selesa dan yakin dengan pakaiannya ditengah-tengah masyarakat moden hari ini.

Ironinya dewasa ini, kita melihat ramai dikalangan wanita itu ingin menutup aurat. Dan mereka mendakwa memang benar mereka telah menutup aurat! Tetapi lihatlah natijahnya apabila kita telah terpedaya dengan ungkapan ‘fesyen’ yang mana perlu diikuti dari masa ke masa. Adalah sesuatu yang tidak dapat kita nafikan bahawa, bidang fesyen hari ini merupakan salah satu senjata orang kafir untuk memperdaya kaum muslimin dan muslimat agar semakin jauh daripada tuntutan agama Islam yang sebenar.

Tidak lain, fesyen sebegini adalah hasil daripada pengaruh Barat.. Bezanya, yang beragama Islam perlu memakai tudung... Tetapi persoalannya adakah ini yang diajar oleh agama..?

Berfesyen itu tidak salah! Malah agama Islam amat menyarankan agar umatnya sentiasa berpenampilan kemas, cantik dan sopan.

Berhiaslah cara seorang Muslimah!

1) Menjaga pandangan. Sesungguhnya, perhiasan termahal dan yang paling bernilai bagi seorang wanita ialah sifat malunya.Tanpa sifat malu, hilanglah keistimewaan dan kecantikannya sebagai seorang wanita. Allah swt telah berfirman yang mahfumnya : [Katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya] An Nuur :31

2) Menjaga pergaulan dengan lelaki daripada percampuran yang keterlaluan yang tidak menjaga batas-batas yang ditetapkan. Perlakuan ikhtilat yang tidak dibenarkan pada hari ini bolehlah kita lihat sepertimana yang banyak berlaku di panggung-panggung wayang, shopping mall, universiti/kolej, majlis-majlis keraian dan sebagainya. Pergaulan bebas yang tidak dikawal hari ini akan bermula dengan adegan berpacaran, berpegangan tangan, bersekedudukan dan akhirnya semakin bertambahlah jenayah dan maksiat yang dimurkai Allah swt seperti zina, pengguguran janin dan pembuangan bayi. Remaja hari ini melihat perbuatan yang sedemikian adalah satu kebiasaan yang tiada silapnya. Sedangkan, Rasulullah saw telah berpesan dan memberi peringatan supaya mencegahnya sejak awal lagi. Hadith Nabi saw yang bermaksud [Besi yang menikam atau ditimpakan ke atas kepala kamu itu adalah lebih baik daripada kamu menyentuh perempuan yang tidak halal bagimu] HR Tabrani wal Baihaqi

3) Pakaian yang bertepatan dengan adab-adab Islami, iaitu mencakupi ciri-ciri berikut:

*Pakaian yang menutupi seluruh tubuh seorang wanita melainkan apa yang telah dikecualikan oleh Allah swt di dalam sabdanya yang bermaksud : [..kecuali yang kebiasaannya nampak daripadanya..] An Nuur : 31 ...... Pendapat yang paling sahih bagi ayat ini ialah kecuali muka dan tapak tangan sahaja.

*Bertudung dengan syarat yang ditetapkan.

Dewasa ini, bertudung lebih kepada mengikut fesyen semasa dan bukannya kerana kewajipan yang berpandukan Al Quran dan Sunnah. Kain tudung yang tebal menjadi nipis, yang sepatutnya labuh menutupi menjadi singkat sekadar menutup kepala dan rambut si wanita. Allah swt telah menjelaskan secara terperinci perihal tudung ataupun jilbab yang akan menjaga seorang muslimah itu. [Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya] An Nuur:31

*Pakaian hendaklah tidak nipis dan ketat. Rasulullah saw pernah mengkhabarkan bahawa di antara ahli neraka kelak ialah [Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi seakan-akan bertelanjang,mereka berjalan dengan meliuk lentok ke kiri dan ke kanan.Sesungguhnya mereka tidak akan dimasukkan ke syurga, tidak pula dapat mencium baunya]

Please..Don't try this in public~

*Tidak memakai pakaian yang menyerupai lelaki.

Sesungguhnya Nabi saw melaknat perempuan-perempuan yang berpakaian menyerupai lelaki dan begitu juga sebaliknya. Pakaian tersebut yang dimaksudkan pada hari ini ialah seperti seluar, topi dan sebagainya. Larangan memakai seluar di sini bermaksud apabila ianya dipakai dengan kemeja ataupun t-shirt, adapun sekiranya dipakai bersama gaun yang labuh maka tiada larangan padanya.

*Tidak memakai pakaian yang biasanya khusus ataupun menyerupai orang Kafir.

Larangan di sini adalah umum bagi lelaki dan perempuan Islam daripada menyerupai pakaian mereka yang beragama Yahudi, Nasrani ataupun agama lain. Ini kerana agama Islam menginginkan agar umatnya berbeza, istimewa dan bebas daripada sebarang pengaruh agama lain selain Islam secara luaran, apatah lagi dalaman. Rasulullah saw memberi peringatan yang maksudnya : [Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah sebahagian daripada mereka]

Berhati-hatilah dalam berfesyen..!

4)Menjaga gerak-geri dan percakapan.

Seorang muslimah akan berhadapan dan bergaul dengan penuh keyakinan dan ketegasan ketikamana duduk bersama-sama masyarakat awam. Sentiasa menjaga kelakuan dan tutur katanya daripada menyinggung hati orang lain, akan menyebabkan dia disenangi dan mudah didekati. Allah swt berfirman mafhumnya :[ Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik] Al Ahzab : 32

5)Hendaklah tiada keinginan untuk menarik perhatian kaum lelaki dengan barang perhiasannya, wangian yang digunakan, mahupun melalui suaranya. Larangan Allah swt agar tidak menzahirkan perhiasan yang tersembunyi bagi wanita adalah untuk membezakan wanita muslimah dengan wanita di zaman jahiliyyah yang suka menghentak-hentakkan kakinya untuk mendengarkan bunyi nyaring loceng kaki yang biasanya mengkhayalkan kaum lelaki. Allah berfirman mafhumnya :[ Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung] An Nuur :31

Inilah fesyen hasil rekaan 'syariatNya'.. Cantik, manis dan sopan, kan?

Dari sini dapatlah kita perhati dan fahami bahawa Islam tidak pernah menzalimi dan mendiskriminasi kaum wanita sepertimana yang selalunya kita dengar. Islam tidak meletakkan kaum wanita di rumah semata-mata dengan hidup terkurung, sebaliknya syariat membenarkan wanita untuk keluar dan memenuhi keperluan hidup mereka seharian seperti berkerja, menuntut ilmu dan sebagainya. Rasulullah saw pernah bersabda yang mafhumnya : [Sesungguhnya Allah swt telah memberi keizinan kepada kamu (kaum perempuan) untuk keluar bagi memenuhi keperluan kamu] HR Bukhari

Betapa istimewanya kedudukan wanita di sisi agama Islam. Setiap suruhan, larangan dan tegahan sudah pasti ada kebaikan dan manfaatnya bagi menjaga kehormatan wanita itu sendiri. Sekiranya kita tidak mengendahkan suruhan Allah swt ini, maka apalah bezanya kita dengan wanita-wanita jahiliyah satu masa dahulu? Mengingkari perintah Allah swt ini hanya mengundang kesan buruk yang menanti di kemudian hari. Oleh itu berbanggalah!

Kerana kita bukan sekadar wanita biasa, tetapi kita muslimah yang solehah!


Kitab rujukan : Al Halal wal Haram fil Islam, karangan Imam Yusuf Al Qardhawi.