Friday, August 19, 2011

Mencari LailatulQadr

Bulan Ramadhan sepertimana yang kita maaruf mempunyai banyak kelebihan berbanding bulan-bulan Islam yang lain. Rasulullah saw menerusi hadith-hadith baginda menyebutkan keistimewaannya yang sangat banyak, sehingga bolehlah diumpamakan seperti ‘jualan mega’ yang ditunggu-tunggu oleh umat Muhammad saw saban tahun. Salah satu kelebihan tersebut ialah suatu malam istimewa yang disebut malam ‘LailatulQadr’.

Tentunya, ianya bukan satu donggengan!

Kerna jelas Allah swt sendiri telah merakamkan keistimewaan malam tersebut di dalam sebuah surah khusus yang menceritakan tentangnya.

Surah Al Qadr: 1-5 … { Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur'an) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan.Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. }

Doa malam LailatulQadr

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Baihaqi, diceritakan bahawa sahabat Rasulullah saw,Ubadah bin Samit telah bertanya kepada Baginda saw mengenai LailatulQadr. Lantas,Rasulullah saw memberitahu bahawa sesungguhnya LailatulQadr itu berlaku pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan. Antara kelebihan dan tanda-tanda lain yang Rasulullah saw sebut adalah :

1)LailatulQadr itu berlaku pada malam-malam yang ganjil, iaitu malam ke 21,23,25,27 atau 29 ataupun malam terakhir pada bulan Ramadhan.

2)Sesiapa yang bangun beribadat pada malam itu dengan iman dan niat untuk mendapat ganjaran,semua dosanya yang terdahulu akan diampunkan.

3)Keadaan yang terang dan langit yang bersih,tenang lagi sunyi. Tidak terlalu panas dan tidak pula terlalu sejuk.

4)Matahari akan terbit pada keesokan harinya tanpa cahaya yang bersinar kuat.

5)Matahari terbit dalam bentuk satu bulatan yang rata seperti bulan purnama.

Cari dan sambutlah kedatangan malam LailatulQadr itu dengan memperbanyakkan amal ibadah kita seperti qiamulail,berzikir,bertasbih,membaca Al Quran dan sebagainya. Adapun begitu dalam sebuah hadith, Saidatina Aishah r.a pernah bertanya kepada Rasulullah saw mengenai amalan yang perlu dilakukan ketika malam LailatulQadr.

Dari Aisyah r.a berkata,’Ya Rasulallah! Beritahulah kepada saya sekiranya saya tahu malam manakah LailatulQadr,apakah doa yang sepatutnya saya pohon? Lalu baginda saw bersabda, Katakanlah ‘Allahumma innaka aa’fuun tuhibbul aa’fwa faa’fuanni’ ..... Mafhumnya ‘Ya Allah sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengampun dan Engkau sukakan pengampunan,maka ampunilah aku’

Ambillah peluang atas kelebihan beramal di bulan Ramadhan yang mulia ini. Janganlah hanya mengkhususkan amalan pada 10 malam terakhir bahkan, ambillah kesempatan yang ada untuk berlumba-lumba mengerjakan ibadah pada bulan barakah ini. Selamat memburu malam LailatulQadr!

Semoga kita ditemukan dengan malam tersebut..Kerna mungkin,ini merupakan Ramadhan terakhir buat kita.. WallahuSubhanahu Wataa'la A'lam

No comments:

Post a Comment