Monday, June 27, 2011

Siapakah Pemberontak?


Kesibukan mahasiawa/wi untuk menghadapi peperiksaan sememangnya akan membuatkan kita khusyuk dengan ‘dunia’ masing-masing. Biar hujan, ribut, puting beliung pun yang datang, yang penting buku harus ditamamkan sepenuhnya.

‘Sesibuk macammana pun kita, jangan lupa baca berita! Ambil tahu apa yang berlaku di dunia hari ini, begitu juga halnya dengan Malaysia khususnya. Apatah lagi kita ni mahasiswa/wi bukan budak sekolah rendah..Penting tu, ingat ya?!’ , bebel ku kepadanya ketika kami sibuk di dapur.
Dia tersengih. Tanda faham menurutku.

Undang-undang yang ditetapkan oleh Allah swt adalah yang terbaik untuk hamba-hambaNya. Lantas,tatkala berselisih kembali semula kepada ISLAM.

Isu penghinaan salah satu akhbar tempatan Malaysia yang dikatakan telah menghina Islam, perhimpunan aman yang penuh kontroversi dan kebangkitan rakyat di negara-negara Timur Tengah yang kita dengar hari ini, menarik perhatian saya. Membuatkan saya tertanya apakah penyelesaian dan pandangan dari sudut syariat mengenai hal-hal ini.
Tidak ingin mengulas panjang. 

Kali ini ingin berkongsi salah satu bab yang menjadi muqarar imtihan bagi madah Fiqh Syafie kelmarin. Mungkin kita boleh kenal siapa dan apakah resolusi yang telah ditetapkan oleh syariat dalam menghadapi golongan ini. 

:: SIAPAKAH PEMBERONTAK??
Pemberontak ialah sesiapa sahaja yang melampaui had yang sepatutnya dipatuhi. Dalam bahasa Arab, ia disebutkan sebagai ‘bughah’ dan ‘al-baghyu’, pada asalnya yang bermaksud zalim. Apa yang dimaksudkan dengan ‘bughah’ atau pemberontak di sini ialah sekumpulan umat Islam yang menentang pemerintah Islam dan melanggar perintahnya atau menghalang hak Allah ataupun hak manusia.

:: HUKUM
1) Apabila wujud pemberontakan sebagaimana yang dinyatakan di atas oleh mana-mana kumpulan umat Islam, pemerintah Islam WAJIB berusaha menghantar wakil untuk bertanya tentang tuntutan mereka dan urusan pemerintahan yang mereka tidak senangi. Sekiranya mereka menyatakan sebab-sebab tentangan dan jika dipenuhi, ia tidak akan menimbulkan sebarang kesan buruk dan kemudaratan, maka tuntutan mereka WAJIB dipenuhi. 

2) Sekiranya tidak, atau mereka tidak menyatakan sebab-sebab tentangan, pemerintah hendaklah memberi nasihat atau amaran bahawa meraka akan diperangi. Pemerintah perlu menyuruh mereka supaya kembali untuk taat dan setia. Sekiranya mereka menolak nasihat tersebut, mereka hendaklah dimaklumkan tentang peperangan. Sekiranya mereka masih enggan dan menentang keras,maka mereka WAJIB diperangi. 

:: DALIL PENSYARIATAN 

Firman Allah swt yang bermaksud :
( Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mukmin berperang maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah, jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil) 49: 9


Menurut ulama’,walaupun ayat ini tidak menyebut tentang pemberontakan terhadap pemerintah, namun ia mencakupi nilai tersebut kerana ayat ini umum ataupun boleh dikaitankan dengan qias. Ini kerana apabila peperangan dituntut agar dilancarkan kepada kumpulan yang melampaui batas, tuntutan untuk memerangi pemberontakan terhadap pemerintah sudah tentu adalah lebih utama.

Rasulullah saw bersabda yang mafhumnya : (Sesiapa yang memisahkan diri dari jemaah walaupun sejengkal, dia telah mencabut ikatan Islam daripda lehernya) HR Abu Daud

'Peace MALAYSIA!'

:: HIKMAH PENSYARIATAN
 
Hikmah golongan ini diperangi ialah kerana kestabilan pemerintahan seorang pemerintah setelah ditabal secara sah oleh umat Islam adalah asas terpenting bagi menyatupadukan kekuatan umat Islam disamping menakutkan musuh umat Islam. Inilah asas apabila Allah memerintahkan umat Islam supaya taat setia kepada pemerintah. Atas dasar ini,menjadi kewajipan seluruh umat Islam untuk mentaati pemerintah walaupun dia seorang yang zalim. Walaubagaimanapun, ketaatan yang diberikan mestilah bukan kepada perkara maksiat. Ini kerana tindakan seluruh umat Islam mengingkari perintah pemerintah lebih mendatangkan keburukan daripada tindakan zalim pemerintah tersebut.

Wallahu Subhaanahu Wa Taala A'lam..
Kitab rujukan : Fiqh Manhaji ( Kitab Fiqah Mazhab Syafie)

No comments:

Post a Comment