Saturday, April 2, 2011

Isu Negara Libya : Pedulikah Kita?

Pedulikah kita dengan nasib yang menimpa saudara seagama kita di negara lain? Mungkin kerana terlalu selesa, membuatkan kita lupa dan membutakan mata. Belum layak rasanya untuk menulis dan menganalisis isu hari ini tentang kebangkitan rakyat di negara-negara Timur Tengah. Ternyata ilmu ini masih terlalu cetek. Namun, suka untuk saya mengajak semua untuk 'ambil peduli' dengan membaca. Suka untuk berkongsi artikel ini...

Serang Libya : Jemput Penyamun untuk Halau Perompak?

Artikel saya di Harakahdaily dan beberapa laman web serta blog termasuk Buletin Online dan Cina Islam bertajuk ‘Serang Libya Cetus Banyak Persoalan’ mengundang banyak komen dan respon. Ada yang memahami dengan baik maksud yang ingin saya utarakan tetapi ada yang agak melulu menghentam kononnya saya menyokong Gaddafi untuk melakukan pembunuhan terhadap rakyatnya sendiri! Nauuzubillah...

Menguatkan lagi hujah mereka, dikemukakan kepada saya data-data yang memang telah saya sedia ketahui tentang bilangan rakyat awam yang menjadi mangsa keganasan regim Gaddafi. Terima kasih atas segala maklumat tambahan.

Dengan menghargai segala komen yang diberikan terutamanya yang bersifat kontra dan negatif, sukacita saya menjelaskan tiada sekelumit pun dari maksud artikel berkenaan bermaksud untuk menyokong regim Gaddafi samada secara langsung atau tersembunyi. Tiada keraguan lagi Gaddafi wajib pergi. Malah As Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi telah mengeluarkan fatwa kepada mana-mana tentera yang berpeluang untuk melepaskan tembakan ke arah Gaddafi, mereka perlu melakukannya.

Kekejaman Gaddafi sepanjang 42 tahun pemerintahan memerlukan helaian panjang untuk disenaraikan terutamanya jenayah berkaitan hak asasi manusia, penderaan kepada para penentang, pembunuhan oposisi, tahanan tanpa bicara, penggelapan kekayaan hasil minyak negara, penafian hak bersuara dan pelbagai lagi. Ramai pemimpin penentang yang hilang begitu sahaja tanpa dikesan. ‘Freedom of Press index’ pernah menamakan Libya sebagai negara paling tertutup di rantau Timur Tengah dan Utara Afrika.

Apa yang menjadi persoalan pokok, setelah hampir seluruh dunia sepakati bahawa Gaddafi wajib pergi, dan rakyat sendiri telah bangun atas nama jihad untuk memerangi regim Gaddafi serta kekuasaan Gaddafi sendiri seolah-olah bagai telur dihujung tanduk dengan bandar demi bandar jatuh ke tangan pejuang (saya sama sekali tidak bersetuju dengan istilah pemberontak), tiba-tiba kuasa barat dengan diketuai AS disertai Francis, Britain dan beberapa negara lain berlagak wira dengan lesen kononnya melaksanakan resolusi PBB bagi menguatkuasakan zon larangan terbang ke atas Libya, mereka menghalalkan tindakan menghujani bumi Libya dengan ratusan ‘Tomahawk’.

Walaupun mereka mengatakan yang menjadi tumpuan serangan adalah sasaran-sasaran ketenteraan tetapi dengan tegas saya katakan: “Ini satu pembohongan!”

Istilah sasaran ketenteraan ini agak sinonim sepanjang 6 tahun saya menetap di Iraq ketika era pasca perang teluk dari 1993-1999. Dengan alasan untuk menguatkuasakan sekatan ekonomi PBB dan zon larangan terbang ke atas Iraq, bukan sedikit serangan udara yang dilancarkan sepanjang tempoh itu samada melalui pengkalannya di Arab Saudi, Bahrain, Kuwait atau Turki serta kapal perangnya di rantau Teluk Parsi. Targetnya, sasaran ketenteraan Saddam!

Tanpa menafikan kecanggihan teknologi yang mereka miliki dalam masa yang sama kita tidak melupakan permusuhan sepanjang zaman dunia kristian terhadap dunia Islam, agak mustahil serangan yang dilancarkan dari jarak hampir beribu kilometer mampu tepat ke sasaran tanpa tersasar ke penempatan awam. Dengan mata saya sendiri, saya menyaksikan semua kekajaman ini dan dengan dua tangan ini, dalam keadaan serba kekurangan, saya pernah merawat beberapa penduduk awam yang tercedera parah ekoran serangan AS ketika menjalani latihan praktikal tahun akhir di Saddam Medical City, Baghdad. Mangsa terbunuh dan tercedera dalam serangan yang kononya disasarkan ke sasaran ketenteraan. Siapa penjenayahnya? Ketika itu George W. Bush.

Apatah lagi kalau kita mengaitkan serangan ini kebencian dunia barat dan kristian terhadap dunia Islam dan Ummat Islam. Musuh dunia kristian bukan hanya setakat tentera malah seluruh ummat Islam kecuali mereka yang sedia masuk ke lubang biawak bersama mereka. Untuk rekod, Saddam dan Gaddafi adalah penganut ideologi sosialis, ajaran yang memusuhi Islam.

Kalau boleh kita istilahkan, Saddam dan Gaddafi adalah perompak, bolehkah diundang penyamun (AS dan sekutunya) untuk menghalau perompak? Apakah ada penyamun berhati mulia yang akan berlalu begitu sahaja setelah perompak dikalahkan? Tentunya penyamun adalah gerombolan yang lebih ganas dan sadis, menjarah tanpa belas kasihan, merampas dan membunuh tanpa perikemanusian.

Lihatlah apa yang berlaku di Iraq sekarang. Amankah Iraq setelah regim Saddam menjadi sejarah? Teringat kata-kata seorang pensyarah saya di Universiti Baghdad dahulu. “Adanya Saddam adalah bala bagi rakyat Iraq, tetapi perginya Saddam dan hadirnya AS akan menjadi bala yang lebih besar.” Saya tidak begitu memahami ungkapan ini sehinggalah selepas penjajahan AS di bumi Iraq tahun 2003 lalu sehingga sekarang masih rakus tanpa pernah kenyang mengaut kekayaan bumi Ummat Islam.

Berbalik kepada krisis di bumi Libya, sekali lagi kita senada, Gaddafi wajib pergi tapi bukan dengan camputangan barat yang hadir dengan telunjuk lurus kelingking berkait. Liga Arab yang mewakili 23 negara Arab Islam dan OIC mesti membuktikan kredibiliti dan keupayaan mereka menyelesaikan masalah ummat dan serantau. Ummat Islam di Libya wajib diselamatkan tanpa sebarang kompromi dan dolak dalih. Cubaan penjajahan era moden oleh kuasa barat mesti ditentang sehebatnya.

Liga Arab yang sebelum ini menyokong pembentukan Zon Larangan Terbang di Libya kini dilihat mula berubah nada setelah menyaksikan kemusnahan hebat ekoran serangan AS dan sekutunnya ini. Imej mayat-mayat orang awam yang terbakar bukan sahaja menyebabkan Liga Arab berubah fikiran malah turut menyebabkan Cina dan Rusia menyuarakan kekesalan terhadap keganasan AS dan sekutunya. Selain Cina dan Rusia, Presiden Venezuela, Hugo Chavez juga keras menyuarakan bantahan. Tapi di mana suara keras pemimpin Negara Islam? Kalau alasan serangan adalah untuk menghalang pembunuhan rakyat awam oleh regim Gaddafi, bagaimana pula dengan rakyat awam yang terkorban angkara Tomahawk? Apakah dengan resolusi PBB, pembunuhan tidak dianggap jenayah?


http:\\www.drazmanibrahim.com

** Sama-sama kita doakan kesejahteraan untuk saudara-saudara di sana. Semoga Allah swt melindungi mereka yang tidak berdosa. Sungguh, sangat perit untuk melihat darah membasahi bumi tua ini saban hari.

No comments:

Post a Comment