Thursday, February 24, 2011

Kita ada KITA!

Perjuangan dalam medan dakwah ini memang sukar!
Satu demi satu ujian dan tribulasi akan singgah dan menyapa. Menjenguk.. kalau-kalau ada yang lemah semangat, pasti akan gugur dek kerana kepayahan yang perlu di hadapi.
‘Perjuangan dalam berdakwah, tidak akan dialasi dan dialu-alukan dengan karpet merah’.
Itu realitinya.
Seandainyalah perjuangan dakwah ini sebegitu mudah dan indah, maka nescaya akan berbondong-bondonglah manusia yang ingin turut serta.

Realitinya, kita tahu. Tidak semua yang ingin bersusah-payah. Untuk apa..? Hanya penat dan lelah yang diperoleh. Sedang ganjaran yang diimpi, tidak kelihatan.

JIWA PENDAKWAH.

Itulah yang membezakan seorang muslim dengan muslim yang lain. Kita sama-sama Islam. Kita sama-sama belajar dan tahu apa itu dakwah, tarbiyah dan sebagainya. Kita sama-sama tahu, untuk melahirkan generasi dan umat yang benar-benar menjulang Islam, kerja-kerja Islam perlu dijalankan. Namun, akhir sekali sedar atau tidak ‘jiwa pendakwah’ itulah yang mungkin menjadikan kita berbeza.

Seorang muslim yang berjiwa dakwah akan sentiasa mahu ditarbiyah. Seorang muslim yang berjiwa dakwah akan selalu rindu untuk memberi dan menyumbangkan sesuatu buat umat dan masyarakat.

Biarpun sukar dan memenatkan, ada rasa ingin memberi dan berbakti. Walau terpaksa mengorbankan masa,tenaga dan harta, namun tetap gembira dan bahagia. Biarpun berhadapan kesukaran, tetap mahu mencuba. Biarpun susah, sanggup ia ditempuhi kerana dirinya sudah mengerti hakikat sebuah perjuangan.

‘Redha Allah swt’..Itulah yang dicari.

Oleh kerana itu, diri melihat..mereka yang berjiwa pendakwah ini tidak pernah berputus asa. Mereka tidak kenal erti penat dan lelah. Sentiasa bersabar dan kuat hati untuk menghadapi hari-hari yang mendatang. Ohhh..Sangat kagum dengan mereka. Betapa Allah swt telah memilih mereka sebagai khalifah yang sangat setia dan taat untuk menyebarkan dakwah Islamiah. Betapa Allah swt telah memberikan mereka kekuatan hati untuk thabat di jalan ini.

Bergaullah dengan mereka. Saat itu renunglah diri, muhasabah peribadi … Wujudkah dalam diri kita ni jiwa seorang pendakwah? Sanggupkah kita harungi segala apa yang telah mereka lalui? Bersediakah kita untuk mengorbankan apa yang kita punyai demi orang yang tidak kita kenali..?

‘Sanggup’.. Jawapan itu dengan yakin akan muncul dari mulut mereka sebagai jawapan. Lantaran ganjaran dan redha Allah swt yang dijanjikan, segala susah payah diketepikan demi kemaslahatan umat dan masyarakat.

Aku ada kamu.. dan kita ada KITA!

Bersyukur kerana mereka ada di sisi. Sentiasa menyokong dan memberi semangat tatkala diri ini hampir rebah. Benarlah, kita ada KITA. Di sana ada suatu kekuatan yang sukar dicari!

Hati berkata kecil… Membenarkan kata-kata seorang murabbi…

Seorang aktivis dakwah itu seumpama sebatang lidi. Sebatang lidi yang kurus dan tiada rupa, tidak akan mampu menghilangkan kekotoran yang ada. Sekali pandang, apalah yang mampu ia lakukan? Namun, bilamana lidi-lidi yang rapuh tadi diikat dan menjadi satu, maka disitulah keajaibannya!! Tatkala lidi bertukar menjadi penyapu, maka kekotoran manakah yang tidak dapat dibersihkan..???

*Uhibbukum fi llah~~

Monday, February 21, 2011

Menjejak Daerah Sipitang

Semalam Allah swt mengizinkan lagi untuk kaki ini memijak bumi daerah Sipitang. Kali pertama ke sana hanya selang beberapa hari bersama beberapa orang sahabat ahli BKPSM yang lain atas urusan ‘rehlah peribadi' . Kali ini , permusafiran bersama 3 orang sahabat adalah atas pelawaan Ust Akmal, salah seorang aktivis dakwah di Sabah hari ini yang juga merupakan seorang alumni BKPSM.

Memenuhi jemputan berceramah, tazkirah dan sebagainya menyebabkan beliau sangat sibuk hingga terpaksa balik lewat malam. Malam itu, dapat menyertai beliau ke sana merupakan satu pengalaman yang manis. Melihat, memerhati dan cuba untuk mengambil sedikit semangatnya yang sangat kental dan tabah. Menjadi seorang aktivis dakwah memerlukan pengorbanan! Pasti!

Pada hari yang sama, PSS (Persatuan Siswazah Sabah ) daerah Kota Kinabalu juga ada mengadakan program. Sedikit kesal kerana tidak dapat hadir sama dalam program kali ini. Namun, nampaknya masih ada jodoh dengan PSS!

Sebaik sahaja sampai, kami disambut oleh adik-adik yang berada di masjid. Sangat mesra dan sopan-santun. So sweet..

‘Ermm..kakak ni fasilitator kami ka?’, tanya mereka penuh beriya-iya.

Sempat berada dalam keadaan binggung sesaat dua sebelum memberi jawapan.

‘Ehh, ndak.. Kakak ikut Ust dari KK’, jelas ku pendek.

Mereka tersenyum lalu beredar. Rupanya setelah berborak-borak dengan salah seorang adik di sana benarlah mereka mengadakan program malam ini. Program Qiamulail anjuran KRU dan PSS telah mengumpulkan beberapa orang pelajar-pelajar sekolah daerah Sipitang untuk menyertai program ini. Sangat senang hati dan gembira bila melihat anak-anak muda ini berkumpul dalam sebuah program yang sarat dengan ilmu dan pentarbiyahan sebegini. Semoga mereka menjadi harapan agama dan bangsa kelak.

Slot ceramah yang disertai anak-anak muda Sipitang- 19 Februari 2011

Ceramah yang disampaikan pada malam itu berkenaan peribadi dan akhlak Rasulullah saw dan perayaan Valentine menurut Islam. Dengan pendedahan dan kesedaran awal yang diberikan kepada mereka, semoga dapat menjadi pedoman dan teladan dalam mereka menghadapi hari-hari yang mendatang.

** Tempoh sehari dan program yang singkat. Namun memberi seribu satu pengalaman manis. Sangat gembira dapat pergi bersama-sama mereka~

Wednesday, February 16, 2011

Sambutan Maulidur Rasul BKPSM di Tanah Air

Buat julung-julung kalinya BKPSM (Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir ) telah menyertai perarakan bersempena dengan Maulidur Rasul 1432H peringkat negeri Sabah secara 'tidak dirancang'.Ini merupakan program pertama BKPSM sejak kami pulang ke tanah air. Walaupun tidak semua ahli dapat menghadirkan diri, namun perkumpulan anak-anak Sabah Mesir pada hari tersebut membuatkan rindu kepada bumi Mesir semakin berbunga..


Hari itu, kita di sana.. Hari ini, kaki kita berpijak di sini.. Berhadapan dengan dua biah (persekitaran/ suasana ) yang berbeza. Namun, mahu tidak mahu perlu diakui. Di sinilah medan perjuangan sebenar!

Semoga tidak akan ada lagi ‘tawa dalam tangisan’ itu. Kerana .. tugas dan tanggungjawab itu bukan tergalas di atas bahu seorang individu. Yakinlah, kita ada KITA.. (^-^)

** Beberapa program sedang dirancang untuk mengisi masa yang terluang. Semoga niat baik mereka dimudahkan Allah swt dan membawa manfaat kepada semua.

Friday, February 11, 2011

Lihatlah Senyuman Mereka!

Dua pesanan ringkas SMS yang masuk, memaksa ku untuk bangun dari tidur.
Seakan tidak percaya , namun itulah hakikatnya!
Ya Allah..lihatlah senyuman dan kegembiraan yang terukir di wajah mereka...!




Kegembiraan mereka membuatkan aku turut menitiskan airmata kesyukuran.
Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah..
' Katakanlah, wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau memberikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki, dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki, Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki, dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki, di tangan Engkaulah segala kebajikan, Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu' Al Imran : 26
Semakin pasti, zaman kegemilangan Islam itu akan muncul kembali!
Bangkitlah, wahai umat!
** Semoga tidak ada lagi rusuhan selepas pemimpin seterusnya naik..
Impian mula berbunga..'Mungkinkah ada berita baik untuk kita kembali ke sana??' Doakan..~

Tuesday, February 8, 2011

Diari Revolusi : Perjalanan Sebuah Pengalaman (6)

7 Februari 2011

Hasrat hati, biarlah nama dipilih untuk balik ke tanah air lewat sedikit. Selagi mampu untuk membantu mereka di sini, biarlah dikemudiankan dulu. Lambat sedikit pun tidak mengapa. Begitu keinginan hati.

Namun, Allah swt juga yang menentukan segalanya. Rombongan ketiga hari ini, agak ramai berbanding dua rombongan yang terdahulu. Seramai 45 orang anak-anak Sabah Mesir hari ini pula yang akan berangkat dan kembali ke tanah air. InsyaAllah..

Sedih.. Pilu..

Sungguh, berat benar hati ini untuk melangkahkan kaki meninggalkan imarah WYSK (Wisma Yayasan Sabah Kaherah) dan bumi Mesir yang penuh barakah. Sebagai pelajar tahun akhir yang menuntut di Universiti Al Azhar, sememangnyalah banyak perancangan dan aktiviti yang ingin dilakukan sebelum balik ke tanah air selamanya.Dan tentunya bukan balik dalam situasi sebegini.

Tempoh setahun yang diwar-warkan untuk pengajian kami ditangguhkan terlebih dahulu itu memeberi kesan kepada kami semua. Oleh itu, kepulangan kami ke tanah air ini bukan bererti untuk menamatkan apa yang telah dimulai namun kami hanya menanti dan memberi waktu untuk Mesir ‘memulihkan’ suasananya. Jujur, kami mengharapkan permusafiran kali ini bukanlah sebuah 'percutian yang panjang..’ Moga-moga ada khabar baik yang kami terima semasa di tanah air nanti untuk kembali semula ke bumi anbiya itu…

Rombongan ketiga yang balik ke Sabah..

Suasana di luar imarah Sabah, Kaherah

Senja itu.. aku meninggalkan bumi Anbiya dengan satu harapan besar. Semoga kaki ini diizinkan oleh Allah lagi untuk memijak bumi barakah itu lagi~ Amin..

Senja langit Kaherah..

Flight pertama kami yang pertama adalah dari Cairo ke Doha. Kami bertolak awal pagi ke mator ( lapangan terbang) agar semuanya berjalan lancar. Biar menunggu, jangan terlepas!

Jam menunjukkan pukul dua petang. Rombongan kami bergerak untuk mendapatkan boarding pass sebelum masuk untuk check-in. Gawat! Keadaan sedikit panik bilamana rombongan kami mempunyai sedikit masalah dengan penerbangan pertama ini. Hampir 2 jam juga ketua rombongan berurusan dengan pihak airport. Hampir-hampir sahaja kami terlepas untuk menaiki pesawat ke Doha. Alhamdulillah…dengan izin Allah swt, kami terbang juga meninggalkan kota Kaherah..

Ini merupakan kali pertama menjejakkan kaki ke Doha, Qatar. Tidak hairanlah ia merupakan salah satu negara arab yang kaya seperti Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi. Lapangan terbang yang cukup mewah memberi kami gambaran bahawa negara ini mempunyai sumber ekonomi yang stabil.

Hati terkenang Mesir..
Alangkah baiknya jikalau pemimpin mereka juga amanah dalam membelanjakan dan mengurus hasil bumi mereka. Sudah tentu Mesir tidak seperti hari ini yang mana rakyatnya ramai yang berada dalam keadaan miskin. Dan yang kaya pula terlalu kaya. Nasib si miskin tidak terbela lantaran sistem dan undang-undang yang tidak adil. Begitulah realitinya hingga saat ini..

Apa agaknya khabar saudara-saudara seaqidahku di sana? Apakah mereka baik-baik saja?Ya Allah..Semoga Kau memberkati dan melindungi hidup mereka..~

Sangat comel..

Empat jam berikutnya, kami menaiki penerbangan ke dua pula.. Dari Qatar menuju ke Singapura. Satu lagi pengalaman yang tidak pernah di alami. Bersyukur juga di beri kesempatan untuk mengenali Singapura walaupun cuma dalam masa yang agak singkat. Hanya beberapa jam kami berada di sana dan itu pun sibuk berlari-lari anak untuk mengejar flight ke Kuala Lumpur pula. Satu yang paling menarik hati ini di Singapura…ialah bunga!!

Subhanallah.. Bunga orkid ada di mana-mana dalam kawasan lapangan terbang Singapura!
Hati ini jatuh lagi pada kecantikan dan keindahan yang Allah palitkan pada si bunga..

Paling sweet, orkid kuning..kan? (^_^)

Setelah 45 minit dalam pesawat, dengan izinNya , Allah membenarkan kami sampai ke tanah air. I’m in Malaysia! Ohhh.. keadaan badan semakin penat dan lesu. Tetapi tetap bersyukur kerana sudah sampai dan insyallah akan ke destinasi terakhir..Sabah, negeri di bawah bayu!

'Diari Revolusi : Perjalanan sebuah pengalaman' ini diuji lagi. Dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, sepatutnya akan bertolak pada jam 10 malam ini. Namun, setelah kami yang duduk di dalam kapal diarah untuk keluar, kami dimaklumkan bahawa penerbangan akan di tangguhkan ke jam 11.25 malam ini. Sabar~ Dalam keadaan penat dan lesu begini, rumahlah tempat yang paling selesa untuk merehatkan tubuh. Redha..

Announcement kedua pula diumumkan beberapa minit selepas itu..

‘Pesawat MH 2626 ke Kota Kinabalu akan berlepas pada jam 3.40 pagi ini. Segala kesulitan amat dikesali’( huhuhu)

Tatkala itu, terdengarlah suara-suara manusia yang mengeluh.. Faham benar. Tersenyum lagi. Sehari perjalanan dengan empat penerbangan! No wonderlah begitu reaksi ramai di antara kami.. ‘Wahhh, betul-betul sebuah perjalanan dan pengalaman yang panjang!’.. Optimis.. Jadikan satu peristiwa sedih sebagai kenangan manis yang mungkin tidak berpeluang untuk kita melaluinya lagi.. (^-^)

Sehari 4 flight..Hebat ka ndak tu??

Alhamdulillah..setibanya di Kota Kinabalu, ayah,ibu dan adik perempuan yang datang menyambut kepulangan. Sungguh.. biarpun sudah berada jauh dari bumi Mesir itu, namun cinta ini masih ada. Sentiasa merindunya tanpa ada sesiapa yang memaksa. Semoga jodohku dan Ardul Kinanah itu berpanjangan dan kami bisa bertemu lagi..

Tamatlah sudah entri 'Diari Revolusi : Perjalanan Sebuah Pengalaman' ini.. Buat sahabat sahabiah yang masih berada nun jauh di sana, ku mendoakan semoga semuanya selamat pulang ke tanah air. Yakinlah ada suatu hikmah besar buat kita sehingga kita terpaksa berada di sini pada waktu ini. Semoga dengan hikmah besar itu, membawa seribu satu kebaikan buat kita kerana sesungguhnya tidaklah Allah jadikan tiap sesuatu itu dengan sia-sia..

Wallahu Subhanahu Wa Taala A’lam~

** Rombongan seterusnya tidak dapat disusuli dalam entri ini Hanya dapat mengikuti perkembangan mereka dari semasa ke semasa dengan merujuk kepada bilik gerakan BKPSM. Insyallah, semua anak-anak Sabah Mesir akan balik ke tanah air selewat-lewatnya pada 10hb ini. Kita doakan semoga semuanya selamat pulang..~