Perancangan untuk membawa masuk program-program berbentuk pengisian rohani dan tarbiyah sudah lama bersarang di dalam benak fikiran. Dek kerana tugasan yang bertimbun, ditambah pula halangan-halangan yang seolah ingin membantutkan niat, lantas ia terus tersimpan kemas di dalam fikiran. Beku di sana.
Pelajar-pelajar yang bersekolah agama, lazimnya akan mendapat sedikit perhatian. Apa tidaknya, golongan pelajar yang berlatar belakangkan pendidikan agama inilah yang diharapkan untuk memberi contoh terbaik bukan sahaja dari sudut akademik, malah jauh lebih penting dari itu adalah melalui keperibadian dan akhlaknya.
Namun, saya faham. High expectations yang kita galaskan di bahu golongan ini sebenarnya satu amanah yang berat. Apa tidaknya, mereka juga seperti remaja biasa dan mungkin pernah terlanjur membuat seribu satu kesilapan. Mahu disalahkan seratus peratus kepada mereka..?
Jawapan 'TIDAK ' menjadi pilihan saya.
Saya sering teringat kata-kata Syeikh Mustafa Mahsyur yang pernah menyebutkan..
' TARBIYAH bukanlah segala-galanya, tetapi SEGALA-GALANYA memerlukan TARBIYAH'.
Dengan izin Allah swt, tiba-tiba kesempatan itu datang di depan mata! Sedangkan satu persiapan pun belum dibuat! Langsung..zero! Namun, hati ini dibulatkan. Kalau tidak dimulakan sekarang, mungkin sampai bila-bila pun perancangan ini mungkin tidak akan terlaksana.
Program ini saya namakan 'Program Putriku Sayang', mengambil inspirasi daripada sebuah lagu nasyid nyanyian kumpulan Hijjaz yang pernah menjadi siulan saya sendiri pada suatu masa dahulu. Sebabnya..?
Straight and simple.. Kerana saya dan kami semua sayangkan puteri-puteri ini!
Program yang berjalan selama dua hari satu malam ini kami adakan di asrama puteri SMAN Toh Puan Hajjah Rahmah, Kinarut. Kami mewajibkan pelajar-pelajar tingkatan 1,2, dan 3 untuk turut serta manakala pelajar tingkatan 4,5 dan 6 adalah amat kami alu-alukan. Sejujurnya, sebelum program bermula saya merasa cuak! Gementar kalau-kalau program ini tidak mendapat sambutan yang baik dari mereka atau tercacat di mana-mana bahagian lantaran persiapan yang kurang sempurna.
Hari pertama, slot pertama.
Melihat kehadiran mereka, membuatkan saya tersenyum gembira lantas mengembalikan semula semangat saya. Dalam slot pertama ini, kami membahagikan puteri-puteri ini kepada kumpulan usrah mereka. Ada 11 buah kumpulan semuanya. Nama kumpulan mereka diambil bersempena dengan nama-nama srikandi Islam dan mereka juga diminta untuk mencipta jeritan semangat yang akan menjadi trademark kumpulan mereka sendiri.
'Bidadari Syurga, Allahu Akbar!'
'Ya Allah, Ya Allah ..Subhanallah!'
'What is HACKS?....Hanya Allah Cinta Kami Selamanya!'
Jeritan semangat mereka meyakinkan saya, mereka-mereka inilah remaja yang boleh diharapkan untuk Islam untuk hari ini dan esok. Allahumma Aamin~
Sebelas buah kumpulan Program Putriku Sayang adalah : Masyitah, Sumayyah, Saidatina Khadijah, Ainul Mardhiyah, Zinnirah, Nasibah Ummu Amarah, Zulaikha, Asiah, Saidatina Aisyah, Halimatus Saadiah, dan Fatimah Az Zahra.
Malam itu, kami ramai-ramai duduk di dalam surau untuk menyaksikan tayangan filem Qamar Bani Hasyim yang terkenal itu. Saya sejujurnya mahu berkongsi filem tersebut dengan mereka untuk kami semua lebih faham dan kembali mengingati sirah perjalanan Nabi kita Muhammad saw. Sebelum tayangan dimulakan, awal-awal saya mengingatkan mereka supaya memberikan perhatian dan mencatit point-point penting kerana pada keesokan harinya mereka akan berhadapan dengan pertandingan kuiz pula.
Pada hari kedua, selepas kami sama-sama menunaikan solat subuh berjemaah dan membaca Ma'thurat pada awal pagi, program diteruskan dengan slot LDK 'Terima Kasih Allah'. Objektif utama LDK ini adalah untuk para puteri kembali sedar dan bermuhasabah diri sejauh mana mereka telah mensyukuri nikmat Allah swt yang tidak terhingga banyaknya.
LDK 1: Setiap kumpulan diminta untuk menuliskan nama kumpulan dan nama mereka masing-masing dengan menggunakan mana-mana anggota badan kecuali jari mereka.
Dan inilah yang mereka berjaya hasilkan..
Alhamdulillah..Semoga mereka menyedari betapa pentingnya untuk kita semua sebagai hamba mensyukuri nikmat Allah swt dengan menggunakannya ke arah kebaikan dan bukan sebaliknya.
Kumpulan yang berjaya mendapat tempat pertama..
Kedua..
Dan ketiga.. ^_^
Saya mengakhiri program Putriku Sayang siri pertama ini dengan membuat sedikit slot muhasabah. Akhir sekali, saya ingin meraikan putri-putri tersayang ini dengan membuka ruang untuk mereka menyampaikan ucapan, memberi cadangan mahupun teguran. Alhamdulillah, mereka tidak mahu program ini menjadi yang pertama dan terakhir. Insyallah selagi saya terdaya dan berkat bantuan dari sahabat-sahabat lain, 'Putriku Sayang 2' akan menyusul nanti.
Walaupun kami akan bertemu setiap hari pada waktu persekolahan, namun wajah-wajah mereka mula saya rindui.. Baru saya sedar, hubungan diantara seorang ustazah dan pelajar tidak seharusnya berhenti tatkala bunyi lonceng menamatkan jadual harian persekolahan didengari. Kerana melalui program sebegini saya dapat merasakan hubungan kami semakin erat.. Seperti seorang kakak dan adik.. ^_^
Untuk segalanya yang telah berlangsung..ALHAMDULILLAH~
No comments:
Post a Comment