Alhamdulillah, tahun ini genaplah usia tiga tahun ‘WardatulAsfar’ meraikan ‘hari jadinya’. Bila dimbas kembali, semuanya bermula dengan minat! Minat membaca yang dididik sejak kecil , sedikit demi sedikit melahirkan pula rasa ingin berkongsi. Menulis.
Diawal-awal waktu saya mula menceburkan diri di dalam medan pena ini, hasil tulisan tidak lain hanyalah berkisar tentang cerita mengenai diri sendiri dan pengalaman peribadi yang bersifat santai. Tetapi lama-kelamaan genre penulisan berubah kepada artikel berbentuk ilmiah, dakwah dan isu semasa. Saya kira, ianya berpunca daripada faktor usia yang semakin dewasa dan pemikiran yang terbuka menjadi pemangkin kepada minat tadi. Sedangkan pada satu ketika dulu, tidak terfikir lansung untuk menulis sedemikian rupa. Itulah diantara impak positif yang saya pelajari selama mula menjinak-jinakkan diri di dalam dunia blogging ini.
Penggunaan gaya bahasa dan tatabahasa penulisan di waktu saya baru bermula, bila dibaca-baca kembali memang ‘failed’! Dengan kesilapan tempat letak imbuhannya, kesalahan huruf besar kecilnya dan tidak kurang juga perkataan-perkataan yang sangat suka diletak di tengah-tengah penceritaan, tetapi tidak sesuai pada tempatnya. Perkataan ‘hehehe’ menjadi contoh yang pernah menjadi ayat kegemaran saya suatu ketika dahulu . Membacanya semula membuatkan saya tersenyum sendiri. Malu.
‘Penulisan yang tidak matang lansung bagi seorang mahasiswi!’ Itu komen ikhlas dari hati saya.
Menulis memberikan saya satu kepuasan! Tatkala kita merasa lega dan puas menyantapi hidangan yang menyelerakan, memiliki sesuatu yang telah lama diidam-idamkan ataupun perasaan selesa setelah sesuatu taklifan selesai dikerjakan, pastinya kita akan tersenyum dengan senang hati. Begitulah rasanya apabila jari-jari ini sudah penat berlari ke kiri dan kanan papan kekunci dan akhirnya terhasillah satu ‘output’ yang tidak lain diharap membawa sedikit sebanyak manfaat kepada mereka yang bergelar pembaca.
Sejujurnya, saya tidaklah sehebat individu lain dalam menyaingi bakat mereka yang sangat saya kagumi. Tanpa pengunaan ayat-ayat yang ‘bombastik’, kalimah-kalimah ‘berbunga’ dan bahasa yang agak ‘tinggi’ , saya lebih selesa menuturkan ayat dengan tatabahasa yang ringkas dan mudah difahami oleh pembaca tanpa menafikan akan ada satu dua kosa kata yang baharu untuk dipelajari.
Saya tidak menafikan.
Melihat mereka yang sudah lali dengan memenangi pelbagai pertandingan penulisan, hasil karya yang terpilih untuk disiarkan di dalam media massa apatah lagi sehingga mampu menerbitkan sebuah buku, membuatkan saya cukup teruja dan cemburu! Beruntungnya mereka kerana Allah swt sebenarnya telah memberikan suatu nikmat yang sangat berharga yang disebut ‘bakat’!
{ NUN..Demi pena dan apa yang mereka tuliskan! } Qalam: 1
Lihatlah bilamana Allah swt bersumpah dengan ‘pena’! Jika difikirkan secara logiknya, ada apa dengan pena..? Nah, sebenarnya jika kita pelajari dan amati baik-baik, Allah swt tidak akan bersumpah dengan sesuatu melainkan padanya ada kepentingan dan keistimewaannya yang tersendiri.
{ Demi masa! } Al Asr:1
{ Demi kuda perang yang berlari kencang!} Al-A’diaat :1
{ Demi langit yang mengandungi hujan!} At-Thariq :11
Begitulah halnya juga dengan pena. Sungguh, pena mempunyai satu ‘kuasa’ luar biasa dalam tugasnya untuk menyampaikan ilmu dan menyebarkan kefahaman. Sekiranya kita menoleh kembali puluhan tahun yang lampau selepas runtuhnya kerajaan Uthmaniyah, kita akan mendapati bahawa kuasa pena dan medan penulisan inilah yang menjadi salah satu faktor penting dalam membantu melahirkan semula semangat jihad dan kebangkitan umat Islam!
Perasaan cemburu itu saya sambut dengan sebuah senyuman dan sikap optimis. ‘Segala-galanya memerlukan masa dan latihan! Bayi yang baru lahir saja walaupun mempunyai kaki yang dicipta sempurna oleh Allah swt tentu sekali memerlukan masa dan pengalaman jatuh tersungkur yang menyakitkan sebelum dia bisa berdiri dan berlari. Lumrahnya memang begitu. Yakin! Asalkan ada kemahuan pastinya di situ ada jalan!’
Sebagai seorang penulis yang baru mula bertatih, saya cukup gembira tatkala menerima email daripada admin sebuah laman web Islamik iLuvIslam yang mahsyur itu.
‘ Tahniah! Karya yang saudara/ saudari hantar telah diterbitkan pada 5 Disember 2011 (Isnin)’.
Saya tersenyum gembira bercampur tidak percaya. Maklumlah, hasil tulisan budak hingusan yang kadangkala saya anggap cuma picisan berbanding ratusan artikel lain yang turut dihantar dari seluruh Malaysia. Mungkin ada yang tersenyum sinis.. ‘Alahai.. Baru sekadar itu, senyumnya sudah sampai ke telinga!’
Artikel 'Ibrah Seekor Burung' yang ditulis ketika menghadapi fatrah imtihan..
Ya,mungkin ianya tidak membawa apa-apa makna bagi orang lain. Tetapi, ia cukup mengembirakan saya dan secara tidak lansung memberi saya semangat untuk terus konsisten di dalam dunia blogging dan penulisan ini.
DAKWAH! Itu prioriti utama yang saya letakkan. Tanpa mengenepikan perlunya ada gerak kerja amali dalam membawa misi dakwah ini, namun ‘pena’ juga merupakan salah satu wasilah yang mempunyai golongan mad’uu nya yang tersendiri. Oleh kerana itu, saya menyedari minat ini terlalu besar maknanya. Jika kena pada tempat dan caranya Insyallah tentu akan ada nilainya di sisi Allah swt.
Jadi, saya akui..Saya perlu persiapkan diri untuk sedia memperbaiki kelemahan, belajar, belajar dan belajar lagi!
‘Ayuh, jadikan hasil tulisan kita sesuatu yang boleh disumbangkan kepada lahirnya minat orang Islam untuk beramal dengan agamanya, dan menarik minat orang bukan Islam untuk mendekati agama suci ini. Usaha bukan pada memberi tahu tetapi mencetus rasa mahu selepas ada daya mampu!’
Jom menulis dan berkarya!
P/s : Design terbaru header dan lagu WardatulAsfar ini merupakan hadiah saya buatnya.. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada mereka yang selalu menjadi pendorong semangat dan memberi dorongan untuk memastikan saya sentiasa 'rajin'. Syukran juga buat teman-teman yang selalu sudi meluangkan masa untuk datang berziarah ke laman WA ini... Jazaakumullahu khairan Kathira.. ^__^
No comments:
Post a Comment