Saturday, September 5, 2009

Amalan Bersedekah

Bulan Ramadhan, bulan muhasabah.
Bulan tarbiyyah.
Bulan penuh barakah.
Bertujuan bukan sekadar untuk kita menahan diri daripada makan dan minum pada siang hari,bahkan mendidik diri kita untuk memperbanyakkan amalan untuk mentaqarubkan diri pada Khaliq,Allahu Azza Wajalla.Amalan bersedekah merupakan satu tuntutan dalam agama Islam. Ibadah ini merupakan peluang untuk kita mensucikan diri daripada sifat bakhil,tamak,mementingkan diri dan secara tidak lansung sebagai tanda kesyukuran kita pada Allah atas nikmat yang diberikan.

Berfirman Allah di dalam kitabnya :(Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki maupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, niscaya akan dilipat gandakan (pembayarannya) kepada mereka dan bagi mereka pahala yang banyak) (57 : 18)
Adapun,bersedekah didalam bulan Ramadhan adalah yang sebaiknya berbanding bulan-bulan lain berdasarkan sabda Nabi saw : “ Seutama-utama sedekah adalah sedekah di bulan Ramadhan” (Hadith Riwayat Tarmidzi)

Rasulullah saw bersabda lagi di dalam Hadithnya : ”Seorang mukmin yang memberi makan seorang mukmin yang lapar maka kelak Allah akan memberi makan kepadanya daripada buah-buahan syurga,dan barangsiapa yang memberi minum seorang mukmin,maka kelak Allah akan memberi air minum dari syurga”. (Hadith Hasan Riwayat Tarmidzi)

Nabi Muhammad telah bersabda didalam Hadithnya “ Barang siapa memberi makan pada orang yang berpuasa maka baginya semisal pahala mereka tanpa mengurangi sedikit pun dari pahala mereka.” (HR Tirmidzi, Ibnu Majah dan Darimi. Hadith ini dishohihkan oleh Al-Albani)

Lampu-lampu Fanus yang 'meraikan' Ramadhan di Mesir.

Menjadi satu tradisi di Malaysia, lazimnya pada bulan Ramadhan inilah kita mengambil kesempatan untuk saling bertukar juadah sesama jiran tetangga. Dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah Insyallah,ganjarannya tersedia di sisi Allah swt.Jangan pula,sedekah yang diberikan adalah kerana ‘terpaksa’.Terpandang sahaja pinggan milik jiran,mungkin akan timbul rasa ‘wajib’ membalas juadah yang pernah diberi.Jadi,mahu tidak mahu ‘terpaksa’ juga memberi, sedangkan ‘status ikhlas’ pada ketika itu agak kabur.Lillahi Taala atau sekadar…??Kalau ibu sendiri,ibu lebih suka memberi apa-apa juadah pada jiran dengan mengunakan bekas yang tidak perlu dikembalikan.Menurut ibu,jangan biar jiran merasa ‘terpaksa’ untuk memberi balasan.Mengangguk tanda setuju.Begitu lebih baik ku kira.



Antara budaya yang amat baik menurut perkiraanku di Bumi Mesir ini,bulan Ramadhan merupakan bulan dimana kami dapat lihat,mulalah berlumba-lumba masyarakat Arab disini dengan amalan bersedekah.’MAIDAH RAHMAN’adalah umpama satu ‘open house’ bagi istilah kita di Malaysia.Tetapi bukan diadakan selepas bulan puasa tetapi diadakan setiap hari bagi golongan yang berkemampuan untuk memberi makan pada sesiapa sahaja untuk berbuka puasa.'Cantik',bukan??Begitulah konsep bersedekah.Memberi pada yang memerlukan tanpa mengira bangsa atau warna kulit.Terbuka.Pada ketika inilah ,kebanyakan pelajar Malaysia yang menuntut disini mengambil peluang untuk sama-sama merasai pengalaman berbuka puasa dengan duduk semeja bersama orang-orang Arab.

Satu lagi budaya disini,ialah pada bulan ini,mereka akan mengagih-agihkan keperluan asas dapur seperti minyak,gula,garam,beras,dan gula sebagai sedekah.Sebakul pemberian inilah yang dinamakan ‘SYANTOH RAMADHAN’.

Walaupun kita di Malaysia tidak membudayakan seperti budaya orang Arab Mesir ini,yang penting apa-apa yang kita sedekahkan biarlah ikhlas Lillahi Taala.Semoga amalan bersedekah yang kita amalkan di bulan ini boleh menjadi satu peluang untuk kita menjadikannya satu tabiat yang kita akan tanam laksanakan sepanjang masa dan bukan setakat pada bulan ini sahaja.

Buat keluarga,sahabat handai,guru-guru dan semua yang berada jauh di Malaysia,doaku untuk kalian..
KULLU SANAH WA ANTUM BI KHAIR..^_^

No comments:

Post a Comment