Saturday, December 31, 2011

2011 Dalam Kenangan

Esok, dengan izinNya, kita akan melangkah ke tahun baru, 2012. Pastinya tahun 2011 ini membawa seribu satu makna bagi setiap individu. Suka duka, tangis dan ketawa yang kita lalui, umpama warna-warna yang dilakarkan pada kanvas kehidupan.
Setiap corak yang terhasil membawa makna yang tersendiri.
Setiap contengan yang terhasil meninggalkan mesej yang tertentu.
Hasilnya, ia sebenarnya mengajar kita untuk menjadi lebih matang dan dewasa. Begitulah lumrahnya. Kehidupan ini adalah diantara 'sekolah' yang terbaik buat manusia!

Tangan ini lincah menari-nari di atas papan kekunci 'Imraatun'. Satu persatu ku imbas kembali. Bermula di bulan Januari hinggalah ke bulan terakhir tahun ini, membuat aku tersenyum sendiri. Ada masanya terbit rasa sayu di hati. Sungguh, WardatulAsfar ini sudah menjadi umpama sebuah diari untuk ku.

Terlalu banyak peristiwa dan kenangan manis yang berlaku tahun ini. Yang pasti, semua itu sesuatu yang sangat berharga untuk dilupakan..


* Tahun 2011 ini ku mulai dengan memikul tanggungjawab dan amanah yang sama. 'Timbalan Yang Di Pertua 2, BKPSM' buat kali keduanya. Aku gusar dan bimbang di atas 1001 kekurangan dan kesilapan yang tidak disengajakan selama memegang amanah ini. Dengan rendah diri, ku mohon maaf kepada semua dan maghfirah daripada Tuhan ku..♥

* Bangkit dan melangkah, meneruskan perjuangan sebagai mahasiswi Al Azhar, tahun akhir kuliah Syariah Islamiah.

* Cabaran besar dalam menyelesaikan masalah-masalah peribadi dan persatuan yang natijahnya sudah tentu akan mentarbiyah diri sebagai seorang pemimpin.

* Lawatan dan sesi dialog AJKT BKPSM ke muhafazah Iskandariah.

* Segala perancangan untuk Winter Break tertunda rentetan Revolusi yang melanda Mesir.

* Kepulangan kami ke bumi Malaysia tentunya bukanlah sesuatu yang sia-sia. Kami berpeluang menimba pelbagai pengalaman baru yang tentunya sangat berharga. Sambutan Maulidur Rasul buat julung kalinya di Sabah, majlis ramah mesra bersama Ketua Menteri Sabah, 'lamaran kami yang ditolak', menjejak bumi Sipitang untuk pertama kalinya, dan majlis ramah mesra di antara BKPSM dan PUM di antara pengalaman yang tidak akan dilupakan.

* Hari yang demikian..'Kegembiraan ayah ibu, akan menjadi kegembiraan Ina juga. Doakan..'

* Srikandi WISA ke gelanggang bola jaring. Walaupun bukan sebagai pemain, sangat seronok dapat bersama-sama mereka.

* Menyambut ulang tahun kelahiran yang terakhir di bumi Mesir ini.

* Rehlah kami ke Qanatir, Mansurah dan Dumyat yang sangat bermakna.

* Sambutan Hari Keluarga BKPSM buat pertama kalinya di Iskandariah.

* Ramadhan dan Hari Raya terakhir di Bumi Kinanah. Walaupun sedih, namun tetap gembira dengan perkongsian yang dapat dirasai bersama.

* Menyambut ketibaan mahasiswa/wi baru yang juga menjadi ahli keluarga baru BKPSM.


* Piliharaya BKPSM dan MAT 2011.. Entah kenapa terlalu banyak airmata yang tertumpah di dalam fatrah ini. Semuanya kerana 'cinta' itu.

* Melepaskan amanah yang dipikul kepada barisan kepimpinan yang seterusnya. Kami mendoakan supaya mereka dapat melaksanakannya dengan lebih baik.

* Tahun ni, paling kerap ke kelas-kelas Talaqi di Masjid Al Azhar..Rasa sangat rugi sebab tiada kesungguhan dan keazaman sebegitu dari tahun tahun pertama kaki ini menjejak bumi Kinanah. Apapun, Alhamdulillah.. Terlalu banyak yang dipelajari. Pesanan buat adik-adik kakak di sini, manfaatkanlah peluang keemasan yang ada di depan mata. Jangan abaikan 'mutiara' di negara padang pasir ini.

* Peluang yang diberikan untuk berganding bersama teman-teman lain sebagai ahli panel forum Maal Hijrah BKPSM. Syukran atas kesempatan yang dihadiahkan.

* Penantian yang panjang berakhir dengan sebuah senyuman dan kesyukuran.
9.10.11 : Hari Konvokesyen buat Ina dan teman-teman. Alhamdulilah..

Mengimbas semua itu, mungkin ada yang berkata. 'Bahagianya hidup..Semua kenangan-kenangan manis yang tercatat kemas. Seperti tiada lansung kedukaan, kesedihan dan ujian dialaminya'.

'Hidup tidak selalunya indah, siang tak selalu cerah..'
Begitulah lumrahnya hidup ini. Bukan kebahagiaan berpanjangan yang dijanjikan, bukan juga kesedihan berlarutan yang tiada penghujung. Yang pastinya , setiap sesuatu yang berlaku baik peristiwa besar mahupun kecil, tentunya ada hikmah yang tersembunyi. Terimalah seadanya dan syukuri segala pemberianNya.


Jadilah seumpama seekor lebah.
Terbangnya bebas ke sana ke mari..
Dari satu bunga ke bunga yang lain..
Apa yang perlu diambil adalah kemanisan madu- madu yang dihirup.
Tinggalkan yang pahit dan mendukacitakan sebagai sebuah ibrah dan pengajaran dalam menghadapi mehna kehidupan ini. Sungguh, hidup ini terlalu singkat untuk dipenuhi dengan kedukaan.

Sebelum tahun 2011 ini melabuhkan tirainya, bermuhasabahlah.
Selama setahun ini, apa kebaikan, sumbangan dan bakti yang telah kita berikan..?
Selama tempoh ini, telah berapa banyak keburukan, kesilapan dan ketelanjuran yang telah kita tidak sengajakan..? Tanamlah azam untuk kita berubah menjadi seorang hambaNya yang lebih baik. Di mana ada kemahuan, pastinya ada jalan!

Jauh di sudut hati ini, berbisik. Tahun 2012 pastinya menjanjikan pengalaman yang lebih mencabar buatku. Untuk kembali dan berhadapan dengan mereka yang berada di 'dunia' sana, membuatkan aku kecut perut, cuak dan gementar. Namun, mahu tidak mahu ianya perlu dihadapi! Dan aku yakin, semua peristiwa dan pengalaman yang ku lalui semalam, pasti akan menzahirkan 'hikmahnya' esok..

Sunday, December 25, 2011

Buah Hati Ku

Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi yang pasti baik untuk dirimu, yang mana ia mengenyangkan dan berkhasiat.Mengapa kamu berlengah, cuba mencari makanan yang lain? Terlalu ingin mengejar kelazatan.

Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya. Kamu akan menyesal. Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan.. Yang pasti membawa KEBAIKAN kepada dirimu. MENYAYANGIMU. MENGASIHIMU.

Mengapa kamu berlengah, cuba MEMBANDINGKANNYA dengan yang lain. Terlalu mengejar kesempurnaan. Kelak, kamu akan KEHILANGANNYA apabila dia menjadi milik orang lain. Kamu juga yang akan MENYESAL..

Belajarlah untuk menjadi seorang insan yang sentiasa BERSYUKUR

'Mereka' buah hati ku!

Monday, December 19, 2011

Akhirnya..

19.12.2011
Kebiasaanya tidak selewat ini. Masa semakin berlalu dan sahabat-sahabat ada yang telah lama menjejakkan kaki di tanah air. Cuak, gementar dan kerisauan bermain-main dengan emosi selalu. Namun mereka selalu menguatkan. Bersabar itu sememangnya pahit, tetapi hasilnya membahagiakan juga dengan izinNya.

Sudah dua hari badan merasa kurang sihat. Deman selesma membuatkan diri terlantar tidak bermaya. Mungkin juga kerana cuaca yang semakin sejuk di bumi padang pasir ini. Suara gembiranya pagi itu membuatku tersenyum gembira. Rancangan awal untuk ke kuliah yang dibatalkan awal-awal tadi ditekadkan kembali. Kaki yang mengatur langkah ku gagahi. Kepala yang berdenyut kuat, tidak mampu mengalahkan kekuatan keinginan ku untuk melihatnya sendiri. Tidak sabar rasanya untuk memberitakan khabar tersebut pada ayah dan ibu yang sudah lama menanti.

Sikit lagi~ ^____^


Akhirnya..'Alhamdulillah'..
Tiada lafaz lain yang terucap. 'Haaza min fadli Rabbi'..
Kini kegembiraan dan kerisauan pula berkongsi tempat.
Kerna sebenarnya 'perjalanan' itu baru saja hendak bermula. Ku pasti 'dunia' yang menanti di sebelah sana pastinya menjanjikan seribu satu ujian dan pengalaman.

Thursday, December 15, 2011

Sembang Rakyat : Hukum Syariat Dipertikaikan ?!

Sekali lagi.
Saat ini, negara kita terus-menerus dilanda dengan isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama Islam. Begitulah natijahnya, apabila pembangunan material dan zahiriah kita agung-agungkan, lalu pembangunan rohaniah yang terlalu penting itu pula dilupakan. Lantas, kecanggihan teknologi dan ICT yang ada di depan mata hari ini, bukannya membawa kebaikan tetapi lebih kepada membawa mudarat dan kepincangan!

‘Sembang Rakyat’.

Video popular yang saban hari menarik perhatian banyak pihak.

‘Musim Hudud’, ‘Lagi Hudud PAS’ dan sebagainya. Sesetengah pihak mendakwa bahawa ianya hanya berkisar mengenai isu politik, lantas usahlah diperbesarkan! Sedikit masa, redalah ia. Golongan mahasiswa juga tidak perlulah ambil peduli! Teruskanlah menelaah kitab-kitab anda. Tiada apa yang peliknya, it’s a politic!

Sedarlah bahawa ironinya negara kita hari ini sedang mengalami satu masalah yang amat membimbangkan bilamana masalah-masalah ataupun perkara yang berkaitan dengan agama Islam dipolitikkan! Kali ini saya kira sudah cukup melampau.

Hukum syariat dipermainkan! Hukum Allah swt dipertikaikan! Buat seketika, sepertimana ramai orang yang ‘tidak berminat’ untuk masuk campur hal-hal politik di negara kita, ayuh kita singkirkan tiga huruf yang dibelakang tadi. Bakinya, itulah tajuk utama yang perlu kita jadikan isu.

HUKUM HUDUD.

Agak menjengkelkan bilamana melihat telatah para pelakon yang sewenang-wenangnya menuturkan dialog yang jelas-jelas memandang ringan dan mempertikaikan hukum syariat yang Allah swt telah tetapkan. Bermula dari para pelakon, penulis skrip, pengarah dan semua yang terlibat masing-masing punya satu kesilapan yang harus diinsafi.

'Islam itu menitikberatkan keadilan...Jika orang Islam dipotong tangan kerana mencuri, manakala orang bukan Islam pula dipenjarakan sahaja,mana ada adil ??! Betul tak??'

‘Kalau pun hukum hudud dijalankan, takde jadi apenye.. ‘

Agama Islam adalah agama yang Allah swt wahyukan kepada umat manusia. Bukan rekaan, bukan juga dongengan. Lantas, kita sebagai segolongan manusia yang mengaku sebagai umat Islam haruslah beriman kepada Allah swt dan seluruh ketetapanNya. Ya, hanya kerana itu! Kerana kita seorang penganut agama Islam! Bilamana kita meragui hukum syariat, samalah ertinya kita meragui Allah swt sendiri!

[ Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui ] Al Jaasyiah: 18

[ Bagi tiap-tiap umat telah Kami tetapkan syariat tertentu yang mereka lakukan, maka janganlah sekali-kali mereka membantah kamu dalam urusan (syariat) ini dan serulah kepada (agama) Tuhanmu. Sesungguhnya kamu benar-benar berada pada jalan yang lurus] As Syuaara':67

Berbeza pula isunya terhadap orang yang bukan beragama Islam. Ya, tidak dinafikan mungkin mereka mempunyai rasa ragu dan tidak faham dengan tuntutan syariat yang telah ditetapkan oleh ini. Namun lihatlah buktinya bilamana wujud segelintir orang bukan Islam yang diberikan penerangan dan kefahaman mengenai hukum syariat ini. Mereka dengan senang hatinya menerimanya tanpa ada perasaan takut mahupun sikap pesimis!

Masalahnya hari ini ialah apabila orang yang jahil dibenarkan bercakap sewenangnya! Tanpa merujuk kepada orang yang ahli dalam bidang tersebut, semuanya dibenarkan. Lantas semuanya jadi kucar-kacir! Sesuatu yang cantik dan molek, sebaliknya menjadi sesuatu yang ngeri dan menakutkan! Jelaslah kesilapan seperti ini hanya akan membawa perspektif negatif dan salah faham terhadap agama Islam.

Persoalannya, adakah adil bilamana hukum hudud dikhususkan untuk orang Islam sedangkan orang bukan Islam terkecuali?

Sepertimana yang telah disebutkan awal-awal tadi, sebagai umat Islam yang mengaku beriman kepada Allah swt, tentu sekali tiada pilihan untuk kita membuat keputusan samada untuk menerima atau tidak. Mahu tidak mahu, umat Islam perlu akur dan taat kerana kita telah ditaklifkan dengan tanggungjawab tersebut! Kita mengakui bahawa Allah swt yang menciptakan kita. Tentu sekali Allah swt juga mengetahui serba serbi mengenai makhluk ciptaannya ini. Lantas adakah kita meragui hukum-hukum syariat seperti hudud dan qisas itu adalah yang terbaik buat kita..? Yakinlah semuanya adalah yang terbaik dari Allah untuk kita tanpa ada sedikit pun unsur-unsur kezaliman mahupun penganiayaan.

Memang mengerikan..Cukup sekali je tengok. (>__<) Tapi, rasa-rasanya kalau macam ni, ada lagi tak orang berani mencuri..?

[ Dan dalam qisas itu ada (jaminan kelansungan) hidup bagimu, hai orang-orang yang berakal, supaya kamu bertakwa ] Al Baqarah: 179

Bagi saudara-saudara ku yang bukan Islam pula, usahlah gentar apabila kalian mendengar istilah ini dicanang-canang ke sana ke mari. Syariat islam itu adalah khusus buat orang Islam, dan mereka yang bukan Islam adalah terkecuali daripada hukuman hudud seperti zina, meminum minuman keras, murtad, qazaf dan sebagainya. Analoginya mudah.

Di sebuah kawasan berhampiran rumah saya, terletak sebuah pusat latihan polis (PULAPOL). Namun di dalam kawasan yang sama juga terdapat sebuah sekolah rendah ugama yang menempatkan adik saya yang belajar di tahun enam. Setiap petang, ibu akan menghantar dan mengambil adik dari sekolah tersebut. Dan setiap kali itu jugalah kami terserempak dengan pelatih-pelatih di sana yang bergerak setiap masa dalam keadaan barisan yang kemas sambil berkawat. Ke dewan makan berkawat, ke bilik asrama berkawat apatah lagi ketika sesi latihan dijalankan. Namun begitu, walaupun kami telah memasuki kawasan mereka tidak pula kami berkawat seperti mereka! Kami santai sahaja berjalan mahupun berlari selaju mana yang kami mahu.

Keluar dari kereta, kami tidak pula perlu berkawat untuk mengambil adik.. Anak-anak kecil itu juga tidak menarik beg sekolah beroda mereka sebegini.. ^__^


Kenapa..??

Jawapannya mudah! Kerana..kami bukan sebahagian daripada mereka. Kami bukan seperti mereka yang telah diikat dengan peraturan dan tatatertib disiplin yang telah ditetapkan oleh pihak atasan mereka. Jadi, kami terkecuali! Begitulah juga halnya dengan hukuman hudud ini. Walaupun orang bukan Islam tidak dipotong tangan, kaki dan sebagainya namun, untuk menghukum kesalahan yang telah dilakukan tetap ada dendanya. Itulah pula yang Islam namakan dengan hukuman taa’zir.

Bilamana isu-isu yang berkaitan dengan hukum syariat seperti ini diperlekehkan, saya yakin kami berada di dalam keadaan gusar melihat agama Islam itu seolah-olah diperkotak-katikkan. Sehingga hari ini, video penghinaan hukum hudud ini terus dimainkan tanpa ada tindakan yang sewajarnya dari pihak berkuasa. Sebarang permohonan maaf mahupun suara-suara kekesalan juga langsung tidak kedengaran. Inilah natijahnya bilamana isu agama dipolitikkan. Syariat diabaikan, yang penting agenda mereka terlaksana.

Ingatlah firman Allah swt yang bermaksud :[ Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan ] Al Maidah:8

Semoga kita semua diberikan kefahaman tentang agama ini sebaiknya.Baik orang Islam mahupun bukan Islam, kita perlu menyedari bahawa setiap ketetapan yang telah ditentukan di dalam agama Islam itu sendiri adalah merupakan rahmat buat seluruh alam dan seisinya dan bukan sekadar kepada umat Islam. Lantas, di dalam usaha kita mendepani isu-isu semasa hari ini, berlaku adillah dalam mengambil apa jua tindakan yang sewajarnya. Pihak yang benar usah dicantas! Yang salah perlulah dibenteras!

Wallahua'lam..

Mengenali Golongan Syiah

Hari ini, kita melihat umat Islam yang berlainan fahaman dan pegangan secara zahirnya adalah sama. Mereka solat, mereka menunaikan zaat dan fardu haji, sama seperti yang lainnya. Tetapi tahukah kita bahawa ada segelintir umat Islam sebenarnya jauh ‘tersasar’ daripada mengikut acuan ISLAM yang telah dibawa oleh Rasulullah saw ratusan tahun yang lalu?

Selaku umat Islam yang hidup diakhir zaman ini, amatlah penting bagi kita untuk mengenali dan mengetahui fahaman dan pegangan sebenar segelintir golongan yang mana amat berkait rapat dengan soal aqidah dan penetapan syariat yang sebenar. Tanpa ilmu, kita bukan sahaja terdedah kepada perancangan jahat kaum Kafir dan Musyrik , tetapi apabila kita mentaqlid (yakni berpegang dengan pendapat orang lain tanpa mengetahui dalilnya) sahaja, dengan mudahnya pegangan Islam yang ada pada kita selama hari ini boleh goyah dan runtuh bila-bila masa sahaja!

SIAPA MEREKA..?

Golongan yang berpegang dengan fahaman Syiah ini ialah segolongan umat Islam yang menyatakan bahawa Saidina Ali bin Abi Talib adalah lebih utama daripada seluruh sahabat dan lebih berhak untuk memegang tampuk kepimpinan kaum muslimin, begitu juga halnya dengan seluruh keturunan dan anak cucu sepeninggalan beliau.

Golongan ini telah muncul di akhir-akhir zaman pemerintahan khalifah ketiga, Saidina Uthman bin Al Affan ra dan semakin berkembang di zaman pemerintahan Saidina Ali bin Abi Talib kw. Pada hari ini antara negara-negara yang menjadi pendukung kuat golongan ini ialah Iran, Iraq, Afghanistan dan selainya.

Berikut merupakan beberapa prinsip (pegangan) golongan ini yang jelas menunjukkan bahawa ianya amat merbahaya terhadap iman dan aqidah sebenar yang dibawa oleh agama Islam.

1)Imamah (Kepimpinan Umat)

Mereka mendakwa imamah ini adalah hak Saidina Ali bin Abi Talib dan keturunannya sahaja. Adapun, para sahabat Rasulullah saw yang lain seperti Saidina Abu Bakar, Umar dan Uthman r.a adalah dianggap sebagai perampas kekuasaan tersebut. Sebab itulah, para ulama’ mereka pada hari ini sangat lantang dan keras dalam menghina dan mengaibkan para sahabat Rasulullah saw menerusi khutbah-khutbah mereka secara terbuka!

Rasulullah saw seperti sudah mengetahui akan perihal umat Islam yang akan berlaku di akhir zaman ini. Mencela dan mengaibkan para sahabat baginda saw adalah suatu perkara yang dilarang keras oleh Nabi saw di dalam hadithnya yang bermaksud : [Barangsiapa yang mencela sahabat ku, ia akan mendapat laknat Allah, Malaikat dan seluruh manusia ] HR Tabrani

[Janganlah kalian mencela sahabat-sahabatku. Demi jiwaku yang berada ditangan Nya,sekalipun salah seorang dari kalian menginfakkan emas sebesar gunung Uhud, tetap tidak akan dapat mencapai kebaikan salah seorang dari mereka dan tidak pula separuhnya] Muttafaqun Alaih

Sebagai bukti kecintaan mereka yang mendalam terhadap para ahli bait Rasulullah saw khususnya Saidina Ali kw, Saidina Hasan dan Husin beginilah ritual yang mereka adakan saban tahun pada hari Asyura. Mereka akan memukul,mencederakan diri sendiri dan melumurkan darah sebagai tanda kesedihan dan memperingati peristiwa pembunuhan ahli bait Rasulullah saw.


2)Maksum

Mereka mempercayai bahawa imam-imam mereka adalah maksum (terpelihara daripada melakukan dosa besar mahupun kecil) sedangkan sepertimana yang kita maklum, hanya Rasulullah saw dan pesuruh-pesuruh Allah swt sahajalah yang diberi keistimewaan tersebut. Adapun imam-imam mereka hanyalah manusia biasa yang tentunya tidak terlepas daripada melakukan khilaf dan kesilapan.

Pemimpin besar Syiah berkata di dalam kitab mereka Al Hukuumatu Al Islamiah : 'Dan sesungguhnya yang terpenting di dalam mazhab kami adalah sesungguhnya imam-imam kami mempunyai maqam (kedudukan) yang tidak mungkin dicapai oleh Malaikat yang muqarrab (dekat), begitu juga dengan Nabi-nabi yang pernah diutus'


3)Raj’ah

Di antara prinsip Syi'ah yang terpenting dan menjadi salah satu asas agama mereka adalah aqidah raj'ah, iaitu keyakinan hidup kembali di dunia ini sesudah mati, atau kebangkitan orang-orang yang telah mati di dunia.Peristiwa ini kononnya akan terjadi ketika Imam Mahdi mereka bangkit dan bangun dari tidur panjangnya yang sampai sekarang telah seribu tahun lebih (kerana selama ini ia bersembunyi di dalam gua). Kemudian dihidupkanlah kembali seluruh imam mereka dari yang pertama sampai yang terakhir tanpa terkecuali Rasulullah saw dan puteri beliau Fatimah ra. Kemudian dihidupkan kembali pula musuh-musuh Syi'ah yang terdahulu yakni Abu Bakar, Umar, Uthman dan seluruh sahabat. Dan seterusnya mereka semua akan diadili, kemudian disiksa di depan Rasulullah saw karena telah menzalimi ahlul bait dan merampas imamah.

4) Taqiyyah

Berkata Mufid dalam kitabnya Tashhiihal-I'tiqaad, menerangkan pengertian taqiyah dikalangan Syi'ah:"Taqiyah adalah menyembunyikan kebenaran dan menutupi keyakinannya, serta menyembunyikannya dari orang-orang yang berbeza dengan mereka dan tidak menampakkannya kepada orang lain kerana dikhuatirkan akan berbahaya terhadap aqidah dan dunianya'' . Ringkasnya, taqiyah adalah berdusta untuk menjaga rahsia. Oleh sebab itulah agak sukar untuk kita mengenalpasti mereka yang menganut fahaman ini dikalangan umat Islam.

5) Nikah Mut’ah

Syariat Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw telah mengharamkan nikah Mut’ah yang pernah dibolehkan suatu ketika dahulu. Ini kerana perkahwinan seperti ini secara zahirnya amat merendahkan martabat kaum wanita dan mencemar kesucian agama Islam itu sendiri. Adapun begitu, golongan Syiah sehingga hari ini dengan beraninya membolehkan kesonsangan ini terus berlaku yang mana tidak ubahlah seperti membolehkan maksiat zina berleluasa dan perempuan tidak lain hanya dilayan seperti seorang pelacur!

Untuk pernikahan ini dilakukan, antara syarat yang ditetapkan agar ia menjadi ‘sah’ adalah seperti :

*Perkawinan ini cukup dengan akad (persetujuan) antara dua orang yang ingin bersenang- senang (mut’ah) tanpa ada para saksi!
*Lelaki tersebut bebas daripada beban nafkah!
*Boleh bersenang-senang (tamattu') dengan para wanita tanpa bilangan tertentu, sekalipun dengan seribu wanita!

*Isteri atau pasangan wanita tidak memiliki hak waris.
*Tidak disyaratkan mendapatkan izin bapa atau wali perempuan.
*Lamanya kontrak kawin mut’ah boleh beberapa detik saja atau lebih dari itu!
*Wanita yang dinikmati (dimut’ah) statusnya sama dengan wanita sewaan atau budak!

Prinsip-prinsip yang disebutkan di atas hanyalah sebahagian daripada pegangan golongan ini. Adapun cukuplah setakat ini yang disebutkan untuk kita sama-sama menyedari dan memahami bahawa golongan ini jelas sekali amat merbahaya untuk umat Islam.

Apa yang kita khuatiri hari ini adalah apabila fahaman tadi cuba diserap masuk ke dalam negara kita Malaysia. Ya, mungkin benar mereka akan mendakwa bahawa fahaman Syiah yang mereka pegang adalah berbeza dan tidak sama lansung dengan ciri-ciri yang disebutkan tadi. Tetapi, fahamilah bahawasanya segala fatwa yang dikeluarkan berbentuk tegahan dan larangan untuk menyebarkan fahaman ini adalah demi menjaga Islam itu sendiri dan umat Islam khususnya.

Sedar atau tidak, realitinya bibit-bibit fahaman yang boleh merosakkan aqidah umat Islam ini sudah mula menjalar ke seluruh negara. Lantas tindakan pihak berwajib dalam memberi kesedaran dan kefahaman untuk orang ramai dilihat merupakan satu inisiatif yang amat wajar dan perlu diteruskan.

Wallahu a'alam..

Rujukan kitab : Al Mukhtasar al Mufid fil Firqul Islamiah dan Syiah Bukan Islam

Friday, December 9, 2011

Hanya Kerana Itu

Bayangkan hari ini kita menjadi seorang pembantu rumah di dalam sebuah rumah yang besar, bertuankan seorang manusia lain yang dipanggil majikan. Tentu sekali, sekiranya kita berkerja dan melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan baik, amanah dan cekap sudah tentu kita akan cukup disenangi dan disayangi oleh majikan tadi. Kalau bernasib baik, mungkin juga mendapat saguhati ataupun bonus tanda mereka menghargai usaha kita yang telah menjalankan tugasan tadi sebaiknya.

Sebaliknya, cuba bayangkan kita sebagai seorang pembantu rumah yang malas! Sudahlah malas berkerja, meminta pula itu dan ini daripada majikan. Kita meminta supaya dinaikkan gaji, elaun bulanan malah mungkin sedikit bonus, sedangkan rumah yang tadinya sepatutnya berada di bawah jagaan kita terabai! Sampah sarap bertaburan, kain baju tidak bercuci, yang kita tahu makan dan tidur.Hujung bulan, siap menunggu gaji. Secara logiknya, adakah wajar kita meminta-minta semua perkara tadi? Sudah tentu jawapannya tidak!

Begitulah juga halnya dengan kita. Hakikatnya, kita ini adalah hamba. Cuma seorang HAMBA! Malah, bukan sekadar hamba kepada seorang Tuan, tetapi hamba kepada Tuhan bernama Allah swt!

Seketul daging bernama hati itu hancur luluh dan kesal. Tanpa malu dan segan, meminta itu dan ini. Tanpa ada perasaan bersalah sedikit pun, terus-terusan meminta yang terbaik di dalam kehidupannya. Sedangkan sebagai seorang hamba, kita tidak amanah dengan 'tugas' yang telah diberikan! Sepatutnya kita berkhidmat buat DIA dengan memberikan ‘perkhidmatan’ yang terbaik! First class service! Lantas barulah setimpal apa yang kita kerjakan dengan ganjaran yang diminta tadi. Kalau pun DIA tidak memperkenankan permintaan tadi, itu hakNya! Kerana itu kuasaNya! Dan sebagai seorang hamba, sedarilah hakikat itu!


Warna apa agaknya..?

Skop kerja kita sebagai aamil /pekerja agama Allah swt ini pula, kita maklumi.

Allah berfirman mahfumnya : ( Dan tidaklah aku ciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk menyembah KU) Adz Zaariyat : 56

Tugas yang kita galas hari ini, bukanlah sebuah jawatan biasa, dan pastinya bukan juga suatu pilihan. Bila-bila kita penat, kita ingin berehat. Bila kita hilang mood, kita tangguhkan. Bila tidak kena dengan kemahuan diri, kita membantah! Kita ingin meletakkan jawatan!

Hakikatnya, seorang manusia yang bergelar muslim dan mukmin, harus patuh dan akur dengan segala kemahuan dan ‘kontrak’ yang telah Allah swt sediakan, dan kita telah pun menandatanganinya! Kita berjanji bahawa kita akan ‘berkerja’ sehabis baik!

[ Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari tulang sulbi (tulang belakang) mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa (roh) mereka (seraya berfirman): "Bukankah Aku ini Tuhanmu?" Mereka menjawab: "Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi". (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: "Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan) ] Al A’raf :172

Tetapi lihatlah tabiat kita hari ini. Semakin hari, kita semakin lupa. Semakin lupa, semakin kita terlalai. Semakin kita terlalai, maka semakin jauhlah pula kita daripada Allah swt..

Kita selalu melewat-lewatkan solat. Ada masanya boleh terlepas!

Kita jarang melazimi zikrullah, sedangkan ada sahaja masa terluang untuk bercakap mengenai hal-hal yang remeh!

Kita terlalu sibuk untuk menyinggahkan kaki ke majlis-majlis ilmu, tetapi tidak pula sedemikian ke tempat-tempat yang melalaikan! Shopping mall, panggung wayang dan sebagainya.

Kita merasa berat untuk melagukan ayat-ayat suci Al Quran tetapi bangga pula menghafal setiap bait alunan muzik kontemporari yang melalaikan.

Sedangkan kita tahu, menjadi seorang Muslim/ah mahu tidak mahu kita telah pun terikat dengan suatu perjanjian, indikasi dari sebuah pengakuan tadi. ‘Betul,(Engkau Tuhan Kami)’ ! Suatu masa dulu kita pernah mengiyakannya, tetapi hari ini kita sendiri mengingkarinya.

Islam itu bersifat universal! Tanpa mengira masa, zaman, keadaan mahupun setiap perincian perkara, semuanya telah terangkum kemas di bawah satu nama khas iaitu Islam. Sebagai penganut agama yang haq ini, kita tidak selayaknya untuk memilih mana yang kita suka, kita ambil. Mana yang dirasakan tidak sesuai kita buang!

[ Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu ] Al Baqarah : 208

Kalaulah kita umpamakan ISLAM itu seperti sebuah jawatan mahupun pekerjaan, maka sedarilah! Tidak akan pernah wujud istilah ‘rehat, cuti, part-time,resign’ dan sebagainya. Kerana, sejak kita dilahirkan sehinggalah nafas ini terhenti, kita akan membawa dan hidup mati bersama-sama ISLAM .

Diri mengelamun sendiri.. Kalaulah masih ada dikalangan kita yang bertanya, ‘Kenapa kita harus patuh dan taat dengan semua suruhan dan larangan agama Islam ni?’ 'Kenapa kita tidak boleh hidup bebas tanpa ada apa-apa yang mengikat dan menghalang kemahuan diri kita?' Sungguh.. tiadalah jawapan lain selayaknya melainkan satu sahaja.. satu sahaja. ‘Kerana ALLAH itu Tuhan kita’.

Ya,hanya kerana itu..