Monday, June 6, 2011

Ibrah Seekor Burung

Dua sifat penting yang harus ada pada seorang hamba yang bernama mukim itu ialah khauf(perasaan takut) dan rajaa’(pengharapan). Menaqalkan kalam dari seorang ulama' mengatakan bahawa, dua sifat ini diumpamakan seperti dua sayap yang ada pada seekor burung untuk ia sampai kepada TuhanNya.

Sepertimana seekor burung yang terbang tinggi memerlukan dua sayapnya untuk merentasi langit biru, begitulah juga halnya dengan kita. Memerlukan kedua sifat tadi untuk menghadapi hari-hari mendatang yang penuh dengan cabaran dan ujian.


Adakalanya..mungkin kita terlupa. Kita terlalu bangga dengan apa yang kita capai dan perolehi. Sangkaan kita, dek kerna usaha yang sehabis baik itulah, kita akan memperolehi apa yang dihajati. Kita sebenarnya terlalu ‘mengagung-agungkan’ usaha tadi. Lantas, apabila natijah yang diharapkan tidak seindah yang diimpikan, kita mula lemah. 

Longlai. Hampa. Putus asa.

Lupakah kita? Lupakah kita bilamana Allah sendiri menyebut bahawa sesungguhnya segala yang berlaku pada seorang hamba itu adalah mengikut kepada sangkaannya terhadap Allah?

“Aku adalah sepertimana sangkaan hambaKu, dan Aku bersama dengannya ketika ia mengingati Aku. Jika ia ingat kepadaKu di dalam hatinya, Aku ingat kepadanya di dalam hatiKu. Dan jika ia ingat kepadaKu di khalayak ramai, nescaya Aku pun ingat kepadanya dalam khalayak ramai lebih baik. Dan jika ia mendekati kepadaKu sejengkal,Aku pun mendekatinya sehasta. Dan jika ia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku mendekatinya sedepa. Dan jika ia datang kepadaKu berjalan, maka Aku datang kepadanya sambil belari.” Hadith Qudsi riwayat Syaikhan, Tirmidzi dan Abu Hurairah ra

:: IBRAH SEEKOR BURUNG ::
Lihatlah burung!
Untuk ia terbang tinggi ke udara, ia akan mengepakkan kedua sayapnya dengan saksama. Sama laju, sama kuat. Namun, tatkala ia ingin membelok ke kanan atau ke kiri, nescaya salah satu dari dua sayapnya tadi memerlukan kekuatan yang lebih berbanding sebelah sayap yang perlu direhatkan sementara bagi memandu ia ke arah yang dituju. 

SUBHANALLAH.. ALLAHU AKBAR..

Begitulah juga halnya dengan kita. Bayangkan sahaja, kita juga mempunyai dua sayap sepertimana burung tadi. Sebelahnya, merupakan sayap ‘ usaha seorang hamba yang daif’ dan sebelahnya lagi merupakan sayap ‘rahmat Allah swt yang amat luas’. Ada masanya, kita perlu mengerah sepenuhnya sayap ‘usaha’ tadi dengan sekuat yang boleh. Lantas, selepas itu rehatkanlah ia dan gunakan pula sayap yang sebelah lagi sebaik mungkin iaitu sayap ‘doa dan tawakkal’. 

Muhasabah bersama.

Mungkin selama ini kita hanya bergantung kepada sayap ‘usaha’ tadi, tanpa kita manfaatkan sayap yang kedua. Ataupun, sebaliknya, kita terlalu bergantung kepada sayap ‘doa dan tawakkal’ tadi tanpa dimulai dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Sepertimana burung yang tidak akan mampu terbang dengan sebelah sayap, begitulah juga keadaannya dengan kita. 

Oleh yang demikian, jangan biarkan sayap itu patah mahupun tercedera. Kelak, akan jatuhlah burung tadi menyembah bumi. Hargai dan manfaatkan kedua sayap yang ada agar kita juga mampu terbang tinggi seperti sang burung.

Kembali kepada dua sifat tadi..khauf dan Rajaa', kedua-duanya perlu sama hadir dalam diri kita. Namun, seharusnyalah kita menjadikan Rajaa' itu mengatasi sifat khauf. Ya! Dalam mengusahakan kerja apa sekalipun, pergantungan kita kepada Allah lah perlu mengatasi rasa takut tadi.

Seandainya satu saat..kita merasa lelah.
Kita merasa letih.
Kita merasa hampir putus asa..maka katakanlah..
‘HASBUNALLAHU WA NI’MAL WAKIL' 'Cukuplah Allah sebagai penolong kami dan Dialah sebaik-baik pelindung..'

p/s: Agak down, berikutan dua Imtihan syafawi sebelum ini. Sedang dalam proses memulihkan semangat dan azam untuk menghadapi 11 lagi hari-hari imtihan yang sedang menanti di hadapan. Syukran teman, atas perkongsian semangat yang diberikan..

1 comment:

  1. semoga allah sentiasa di hati kita.
    jika doamu dikabulkan oleh allah,
    ertinya allah menyayangimu.
    jika allah lambat mengabulkan doamu,
    ertinya allah ingin mengujimu.
    jika allah tidak mengabulkan doamu,
    sesungguhnya,allah telah merancang yang terbaik buatmu.jika bukan di sini,mungkin nanti di sana.

    ReplyDelete