Tuesday, July 6, 2010

Hentikan Budaya Merokok

Sesak nafas,kepala menjadi pening dan terbatuk-batuk.Begitulah kondisi yang lazim dihadapi oleh masyarakat umum bilamana berada di samping seorang perokok.Hari ini,budaya merokok sudah semakin menjadi-jadi di dalam komuniti yang kita diami.Bukan setakat menjadi satu ketagihan bagi kaum lelaki,malah sesetengah golongan wanita juga telah mula menjadikan ia sebagai satu tabiat.Apa yang lebih merisaukan lagi,golongan anak muda seawal umur belasan tahun sudah mula menjadikan budaya merokok sebagai satu trend masa kini.


Persepsi seperti dengan merokok seseorang akan kelihatan segak,macho,matang,boleh mengurangkan selera makan dan mengurangkan berat badan membuatkan golongan perokok ini mengendahkan natijah daripada merokok ke atas diri mereka dan masyarakat sekeliling.Melihat dari sudut hukum Syara’ pula,sebahagian masih berpandangan bahawa hukum merokok adalah makruh.Lantas,tabiat ini terus diamalkan dalam meniti hari-hari yang silih berganti.Namun,sebenarnya para Ulama’ telah pun membahaskan masalah ini dengan panjang lebar dan akhirnya disepakati bahawa hukum merokok adalah haram.
Tempoh hari,saya berkesempatan menonton video ceramah ilmiah yang telah disampaikan oleh Syeikh Nuruddin Al Makki Al Banjari.Di dalam ceramahnya,beliau telah membawakan beberapa dalil dari Al Quran yang membawa kepada pengharaman rokok.

:: DALIL-DALIL PENGHARAMAN ROKOK

1- Firman Allah yang bermaksud : (..Yang menyuruh mereka untuk mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk..) Al A’raf : 157

Kandungan di dalam sebatang rokok yang mempunyai 1001 bahan kimia yang membahayakan dan boleh membunuh manusia rasanya sudah cukup jelas untuk kita sesuaikan dengan kalam Allah tadi yang dimaksudkan dengan ‘ yang buruk’.Mengikut kajian,setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan membawa maut.Kesan buruk ini bukan sahaja akan memberikan kesannya kepada perokok malahan kepada orang di sekelilingnya.Jadi,masih bolehkah kita menganggap rokok sebagai sesuatu yang baik..??

2-Firman Allah yang berbunyi : (..Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan..) Al Baqarah : 195

Sepertimana yang disebutkan di dalam kitab-kitab Fiqh,sebenarnya jiwa dan harta manusia adalah dua hal yang bukan milik manusia,sebaliknya ia adalah milik Allah secara mutlak.Lantas,kita sebagai hambaNya berperanan untuk menjaga dan menggunakan ia dengan baik dan di redhai Allah.Oleh sebab itu adalah wajib bagi kita menjaga anggota badan dan membelanjakan harta yang dipunyai pada jalan Allah.Oleh itu.duit yang digunakan untuk membeli rokok setiap hari,jelasnya tidak membawa manfaat sedikit pun dan ianya merupakan satu pembaziran yang amat besar.Bayangkan sahaja berapa ratus ribu wang yang dihabiskan oleh seorang perokok dalam setahun hanya untuk membeli rokok!

Seterusnya,Allah menyambung firmanNya dengan menegah manusia daripada menjatuhkan diri ke dalam kebinasaan dan kehancuran.Kandungan kimia yang terlalu banyak dan merbahaya yang tersimpan di dalam sebatang rokok amat mengerikan! Bahan seperti Tar,Nikotin,Karbon Monoksida,bahan Radioaktif,bahan-bahan yang digunakan di dalam cat(acetone),pencuci lantai(ammonia),racun anai-anai(arsenic) dan bermacam lagi sudah terbukti membawa kesan yang amat buruk kepada anggota badan perokok terutamanya bahagian jantung,hati dan peparu.Jadi,bukankah itu yang dimaksudkan oleh Allah dengan kebinasaan dan kehancuran?

3-Allah berfirman lagi : (Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu) An Nisa : 29


Merokok adalah salah satu daripada cara membunuh diri! Itu hakikatnya.Walaupun ia mungkin akan terjadi dalam jangka masa yang panjang,namun di dalam Islam,membunuh diri samada secara lansung ataupun berperingkat tetap dinamakan dengan membunuh diri.Ini kerana racun rokok yang diperolehi hasil setiap sedutan rokok akan memasuki tubuh manusia dan haiwan dan akan membawa kerosakan pada setiap organ di sepanjang laluannya.Iaitu bermula daripada mulut,tekak,saluran pernafasan,paru-paru,saluran penghadaman,saluran darah,jantung,organ pembiakan sehinggalah ke saluran kencing dan mengakibatkan penyakit-penyakit yang boleh membunuh.Maka,teringa kalam seorang Syeikh yang pernah mengatakan bahawa sememangnya tiada beza di antara orang yang membunuh dirinya dengan menikam dengan menggunakan pisau,pistol dan sebagainya berbanding orang yang melakukan sesuatu perkara yang mana dia tahu perbuatan itu akan membuatkan dirinya binasa atau terbunuh.Tiada bezanya,malah dita’rifkan juga sebagai membunuh diri.

Allah mengatakan lagi bahawasanya ia amat menyayangi hamba-hambaNya,lantas masakan kita tidak menyayangi diri kita sendiri?

Allah berfirman : (Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya) At Tiin : 4

Sesungguhnya sebaik-baik makhluk yang diciptakan Allah itu adalah manusia.Kerana berbanding makhlukNya yang lain kita telah diberikan anugerah terbesar iaitu akal.Dengan akal yang waraslah akan membantu sesorang manusia itu untuk membezakan mana yang baik dan buruk untuk dirinya.Bagi mereka yang bergelar pelajar pula,rasanya dalil-dalil tadi sudah cukup jelas untuk kita sepakati bahawa merokok itu diharamkan oleh Allah swt.Usahlah degil dan bersikap acuh tak acuh hanya kerana tiada wujud ayat di dalam Al Quran yang mengatakan tentang pengharaman rokok sepertimana diharamkan bangkai,darah,judi,daging khinzir,menilik nasib dan sebagainya.Kalau kita boleh menerima bahawa Dadah itu haram hukumnya biarpun tiada dalil yang jelas menyebut tentangnya,maka kenapa tidak kita menerima hal yang sama terhadap rokok..?

Di sini sukacita saya membawakan 'Fatwa Semasa Mengenai Hukum Merokok' yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti sebuah negeri.

1. Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan fatwa bahawa merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya hukumnya adalah haram kerana daripadanya terdapat kemudaratan.

2. Ulama-ulama semasa seperti Dr Abdul Jalil Shalabi mengatakan merokok adalah haram kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan masyarakat.

3. Dr Zakaria Al Bari (anggota Akademi Kajian Islam dan Anggota Lujnah Fatwa Al-Azhar) menyatakan merokok hukumnya haram atau makruh adalah pendapat yang kuat.

4. Al Imam Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya telah memberi fatwa merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Sebaliknya adalah haram jika ia mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.

5. Syeikh Hasanain Makhluf iaitu bekas Mufti Kerajaan Mesir telah menetapkan merokok adalah haram jika mendatangkan mafsadat kesihatan dan mengurangkan hak keluarga dari segi pengurangan nafkah kepada keluarganya. Makruh jika mafsadat itu tidak ketara atau tidak mengurangkan hak nafkah keluarga.

6. Di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 yang berlangsung pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram menurut pandangan Islam.

7. Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan yang telah diwartakan pada 7 Disember 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 telah menyebutkan bahawa amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi mana-mana orang Islam.

8. Fatwa Negeri Perlis memutuskan bahawa menanam tembakau atau merokok dan memanfaatkan hasil tembakau adalah haram.

9. Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah berpegang kepada fatwa merokok adalah haram walaupun sehingga kini belum ada penguatkuasaan berhubung perkara itu kerana berdasarkan pendapat pengamal perubatan bahawa perbuatan merokok boleh mendatangkan mudarat.

10. Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka juga telah bersetuju menerima pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 bahawa amalan merokok itu hukumnya adalah haram.
(Sumber Petikan : Harakah Daily)

Wallahu Subhanahu Wa Taala A'lam..
p/s : Sama-sama kita muhasabah diri..mudah-mudahan Allah memberi kekuatan kepada mereka-mereka yang berazam untuk menghentikan tabiat merokok ini..lebih-lebih lagi mereka yang digelar 'Ustaz-ustaz'... ^_^

No comments:

Post a Comment