Thursday, December 20, 2012

Awasi Revolusi Bertudung!

Dewasa ini dunia secara umumnya bukan sahaja digegarkan dengan revolusi kebangkitan umat Islam dan Arab Spring yang berlaku di negara-negara Timur Tengah.  Bahkan di Malaysia juga sedang menghadapi sebuah perubahan yang melibatkan sebilangan besar golongan wanita di negara ini.

Isu Hijabster ataupun Hijabista ini nampaknya sudah mula menarik perhatian masyarakat umum di Malaysia  terutama sekali bagi yang beragama Islam.  Setelah beberapa orang individu yang berani untuk menegur dan melontarkan pandangannya mengenai isu ini, ternyata ia merupakan satu tindakan yang sangat wajar untuk dikagumi.

 Majalah Hijabista : Khas untuk fashionista bertudung


Hijabista merupakan satu fenomena di mana semakin ramai wanita yang bertudung dengan fesyen yang tersendiri. Saya yakin, saban hari kita boleh melihat revolusi bertudung ini semakin berkembang bilamana kita melihatnya terpampang di dada-dada majalah, rancangan televisyen, rekaan terbaru para fashion designer mahupun melalui video-video yang dimuat turun di YouTube.

Jika kita amati, sebelum ini fesyen bertudung hanya berlegar dia antara dua atau tiga gaya sahaja.  Sejak dahulu sehingga hari ini, wanita yang memakai tudung labuh (bulat) ternyata masih selesa dan kekal dengan pemakaian tudungnya yang sangat terjaga. Lantaran itu, saya lebih suka memberi gelaran muslimah kepada golongan ini.  Namun, bagi sesetengah wanita yang belum bersedia untuk bertudung labuh, tambahan pula diberi jolokan dengan 'payung bergerak' dan sebagainya, mereka selesa memilih gaya yang lebih terkini tetapi tetap tampil dengan sopan. Kalaupun tidak disilangkan tudung yang mempunyai kelebaran 60 inci itu, mereka yang melilitkannya juga ternyata masih kelihatan manis dan mencapai gred piawaian bertudung yang ditentukan oleh syariat.

Berbeza pula halnya dengan fenomena Hijabista ini.  Tudung mula digayakan dengan fesyen-fesyen yang pelik dan semakin jauh dari fungsi sebenar jilbab yang telah digariskan oleh agama Islam. Dengan memakai blouse, seluar ataupun jubah yang agak sendat, ditambah pula dengan aksesori-aksesori yang mana sifat asalnya tersembunyi  seperti anting-anting dan rantai leher sudah mula semakin galak digayakan.

Suatu ketika, bilamana saya pernah berdiskusi mengenai isu ini dengan seorang Ustaz, dia memberi pandangan yang agak berbeza dari saya.

'Tidak mengapalah mereka berfesyen sedemikian, sekurang-kurangnya mereka sudah mula bertudung. Isu ini bukannya isu besar pun, tetapi bagi seorang pemegang ijazah sarjana Syariah seperti kamu, tentu ianya merunsingkan kamu, bukan? Bagi saya, dari sudut dakwah ia sudah cukup. Mereka telah pun menutup aurat dengan bertudung.'



Fesyen wanita bertudung hari ini


Ya, saya tidak menyangkal ada kebenaran pada kata-katanya. Tetapi saya secara peribadinya berasa sangat khuatir jika revolusi bertudung yang mula berleluasa ini, semakin merosakkan kefahaman golongan wanita Islam mengenai konsep bertudung yang sebenar.

Saya bukanlah seorang yang anti-fesyen.  Malah saya juga sejujurnya meminati fesyen dan aksesori wanita. Walau bagaimanapun, ketika kita sibuk mengejar trend terbaru ini agar tidak dikatakan ketinggalan zaman, namun berawaslah. Jangan sampai kita menjadi 'hamba' kepada fesyen yang terang-terang semakin jauh dari syarat bertudung yang sebenar.


Wallahu Subhaanahu wa Taala A'lam..



*  Individu yang saya sebutkan tadi merujuk kepada Ustaz Hasrizal @Saiful Islam.
Entri ini hanyalah pandangan penulis sendiri dan dalam masa yang sama, saya menyokong penuh pendapat dan teguran yang diajukan oleh beliau sendiri. Para pembaca boleh mengikuti ulasannya berikutan isu ini
DI SINI

No comments:

Post a Comment