Friday, August 28, 2009

Sekadar Tamar


Siang hari di bulan Ramadhan..
Seharian menahan diri daripada makan dan minum,memujuk diri untuk bersabar.
Perut 'rancak' berkeroncong,tekak mengeluh kering...

Minda menerawang jauh..membayangkan juadah-juadah yang akan dijamah untuk berbuka puasa nanti.Ayam panggang,Nasi goreng,Mee Mamak,kuih-muih ,cendol,ABC…Perghh…Semuanya enak-enak belaka.Begitulah biasanya suasana Ramadhan kita di Malaysia.Cukup meriah dengan Bazar-bazar Ramadhan yang menjual pelbagai juadah kepada pelanggan untuk berbuka.Berbeza apabila berbuka di Masjid-masjid,sekadar sirap dan kurma.Cukup.Bagi yang kurang faham,mulalah berperangai seperti anak kecil.Merajuk.Tidak mahu makan.Apa yang dibayangkan tadi,mesti dihidang untuknya.

Nampak??Itulah di antara hikmah difardhukan kepada kita untuk berpuasa.Bukan sekadar menahan diri dari makan,minum,dan melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa,sebaliknya Bulan Ramadhan juga merupakan madrasah untuk kita mendidik diri,mengawal nafsu dan menanam sifat sentiasa bersyukur.Salah satu waktu untuk kita melihat sejauh mana kita telah ‘ditarbiyyah’ atau tidak adalah waktu berbuka puasa.

Adalah sunat untuk kita berbuka dengan Tamar berbanding juadah lainnya,berdasarkan hadith daripada Anas Bin Malik ra yang berkata : [Sesungguhnya Nabi saw berbuka sebelum menunaikan solat dengan memakan Rutob,sekiranya baginda tidak mendapatinya Baginda akan berbuka dengan Tamar,dan jika tidak ,cukup dengan sekadar meminum air] Hadith Riwayat At Tarmidzi

Setiap perkara yang disukai dan sunnah Rasulullah saw itu sebenarnya terdapat banyak kelebihannya.Begitu juga halnya dengan kurma.Khasiat yang terdapat pada Kurma bukan sahaja diakui dalam Islam,malah pakar perubatan masa kini turut memperakui akan khasiat yang ada padanya.

Antara khasiat yang terdapat pada kurma :

1- Kurma memberikan tenaga serta merta menerusi kandungan gulanya sebanyak 50 hingga 57 peratus glukosa. Kandungan proteinnya pula lebih kurang 1.8 hingga 2.0 peratus serat dan serat 2.0 hingga 4.0 peratus. Apabila tubuh berasa segar dan bertenaga ia menghalang kita dari makan berlebihan atau mengikut nafsu. Kadangkala pada waktu berbuka kita makan terlalu banyak, tetapi masih letih dan tidak bertenaga. Sebabnya makanan yang diambil kebanyakan mengandungi karbohidrat. Tanpa tenaga serta-merta ini, akan menjadikan kita mengantuk.

2- Potasium diperlukan oleh tubuh badan untuk sistem saraf kerana kurma mengandungi sumber yang mujarab. Pengambilan potasium yang berlebihan tidak menyebabkan penimbunan toksid di dalam tubuh. Sebaliknya ia sangat baik untuk mengatasi masalah seperti sembelit, lemah otot, letih, yang mengalami tekanan, sengal-sengal badan dan juga untuk menguatkan ingatan.

3- Kurma yang dimakan tanpa membuang kulitnya boleh mencegah dari masalah barah usus besar kerana ia melawaskan.

4- Buah kurma juga mengandungi khasiat kepada kaum wanita yang sedang nifas iaitu ia memudahkan proses ketika hendak bersalin.

5- Bagi ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu boleh memakan buah kurma. Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam kurma adalah unsur yang berkhasiat yang dapat menambahkan air susu ibu.

6- Kurma juga berperanan dalam tumbesaran kanak-kanak, pembentukan darah dan sumsum tulang. Ia juga tidak mengandungi kolesterol, lemak serta gula. Dan, ia elok untuk meredakan tekanan darah tinggi.

Kesimpulannya,bukanlah menjadi kesalahan untuk kita berbuka dengan juadah-juadah yang disebut tadi.Tetapi pastikan tidak berlaku pembaziran,lebih-lebih lagi di bulan yang mulia ini.Dan sekiranya tidak,bersederhanalah!Cukuplah dengan sekadar tamar.Alhamdulillah~

Saturday, August 22, 2009

Ramadhan Kareem


Ramadhan di Ardul Kinanah.
Tahun pertama bersahur tanpa ayah ibu dan adik beradik yang lain.
Tahun pertama berbuka tanpa duduk semeja dengan mereka.
Dan tahun pertama bersahur,berbuka dan melaksanakan ibadah-ibadah di bulan Ramadhan bersama teman di Bumi Mesir.Alhamdulillah atas kesempatan itu.



Sebelum melangkah masuk Ramadhan tahun ini,mendengar banyak khabar tentang mereka yang telah kembali ke Rahmatullah.Inna Lillahi Wa Inna Lillahi Rajiun..Alangkah bertuahnya kita kerana dipanjangkan umur dan masih diberi kesempatan untuk bertemu bulan yang mulia ini.Ayuh sama-sama kita manfaatkannya dan mengisinya dengan sebanyak mungkin ibadah kepada Allah swt tanda kesyukuran kita sebagai hambaNya.

Firman Allah dalam kitabNya :(Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa) 2:183

Mari kita hayati beberapa buah hadith Rasulullah yang menyebut akan kelebihan berpuasa di Bulan Ramadhan agar kita lebih bersemangat dan berlumba-lumba dalam mengerjakan ibadah di bulan ini.^_^


1-Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

2- Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan malam doanya pasti akan diterima."

3- Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa) yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu, sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa nanti."

4- Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."

5- Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).( Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi

6- Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainkan puasa, maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.(Hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi)

7- Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.(Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi)

Semoga amalan kita di bulan ini diterima Allah swt..Amin..

Monday, August 17, 2009

Setinggi Kesyukuran




Setelah lama menunggu..
Natijah Tahun 2 Syariah keluar
Air mata mengalir
Tidak mampu ditahan
Tiada lafaz yang mampu diucap lagi
Selain ALHAMDULILLAH..
Segalanya dari Allah
Atas izinNya,RahmatNya dan InayahNya
Ya Rabbi,berkati ilmu ini
Kekalkan semangat ini
Tabahkan semangat teman-temanku
Tuntuni setiap langkah kami
Dalam perjuangan menuntut ilmu MU..
Ayah Ibu,segunung ucapan terima kasih
Tiada seindah kata..
Segala Puji Bagi ALLAH~16.8.09

Saturday, August 15, 2009

Rehlah IDWIM 09 ke Fayoum

Alhamdulillah,pada 12 Ogos 09 yang lepas Ina berpeluang mengikuti satu lagi rehlah anjuran BKER BKPSM yang diadakan bersempena dengan minggu IDWIM 09.Pada kali ini,kami telah melawat ke Muhafazah Fayoum yang terletak kira-kira 105 km dari Kaherah.Disinilah terletaknya Tasik Qarun yang mana kisahnya telah dirakamkan di dalam Al Quran yang sepatutnya menjadi satu ibrah pada kita selaku umat akhir zaman ini.
Allah berfirman :(Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka ia berlaku aniaya terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: "Janganlah kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri) 28:76

Saat mata menatap tasik yang berkeluasan 18,900 hektar ini,tidak dapat dibayangkan betapa banyaknya harta dan nikmat yang telah Allah kurniakan padanya,namun dia kufur pada nikmat Allah.Inilah salah satu pengajaran yang Ina dan rakan-rakan perolehi daripada rehlah kali ini.Semoga kita sentiasa menjadi hamba yang bersyukur akan pemberian ALLAH walaupun sekecil mana nikmat tersebut.Alhamdulillah....
Antara part yang paling best juga,pada hari tersebut Ina dapat bergambar dengan bunga kesukaan Ina!!Di sini kita boleh lihat, kiri dan kanan jalan di Fayoum dihiasi dengan bunga Matahari yang sangat cantik.Kami sempat turun dan mengambil gambar sebelum meneruskan perjalanan.Sweet..
Seterusnya kami sampai ke Wadi El Rayan, dimana disinilah terletak satu-satunya air terjun yang ada di Mesir.Seronok bila mendapat pengalaman menaiki sampan dan mendayungnya sendiri bersama teman dan kakak-kakak disini.Walaupun air terjun yang ada di Mesir tidaklah seperti air terjun yang ada di negara kita,namun kami amat gembira kerana berpeluang 'bermain air' pada hari itu.Salah satu detik yang Ina tidak dapat lupakan adalah ketika mana kami mengambil air wudhuk di bawah air terjun untuk menunaikan solat Zohor.Selesai solat dan makan tengahari,kami meneruskan rehlah ke kebun mangga dan akhir sekali kami ke kawasan dimana terletaknya kincir air yang dikatakan telah digunakan sejak berkurun lamanya.

Overall..walaupun rehlah kali ini agak singkat berbanding rehlah-rehlah yang Ina ikuti sebelum ini,tapi ia tetap menyeronokkan dan memberi Ina satu lagi kenangan manis semasa menuntut di Bumi Anbiya ini.Yang paling penting,bukan sekadar 'jalan makan angin' sahaja,tetapi apa yang lebih penting ialah untuk kita mengambil pengajaran di atas segala yang ada di muka bumi Allah ini.Wallahualam..

Allah berfirman : (Katakanlah: "Berjalanlah di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan itu) 6:11

Friday, August 14, 2009

Cerita Cinta

‘ Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu istri-istri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir’

Bersempena dengan sambutan IDWIM baru-baru ini,WISA dan Biro Penerangan dan Penerbitan telah bekerjasama dalam menganjurkan sebuah kursus Pra Perkahwinan untuk ahli-ahli BKPSM.Walaupun lazimnya kumpulan sasar bagi program isebegini ialah untuk mereka-mereka yang bakal melangkah ke alam perkahwinan ,bagi saya ia juga amat baik bagi kami sebagai persediaan dan ilmu sebelum menempuh zaman itu.Kesemua 4 slot yang telah dibentangkan oleh setiap panel sangat baik pada pandangan saya.Jelas,padat dan penuh dengan isi.

Pada hari ini,bilangan pelajar Malaysia yang belajar di Mesir sudah ramai yang mendirikan rumahtangga dan pada masa yang sama masih menuntut sebagai pelajar.Lantaran itu,pihak DEMMAS BKPSM telah mengadakan debat diantara Mahasiswa dan Mahasiswi Sabah dengan tajuk ‘Berkahwin di alam Universiti adalah releven’.

Saya tersenyum sendiri apabila menyedari bahawa topik sebegini sememangnya sudah menjadi sesuatu yang lumrah bagi seorang remaja yang meningkat dewasa.
Cinta.
Kasih-sayang.
Alam Perkahwinan.



Rasa cinta itu anugerah Illahi pada hambanya yang bernama manusia.Apa yang penting saya kira bagaimana cara kita membawa dan mengemudinya agar tetap terjaga di sisi agama dan tidak tergelincir ke lembah maksiat.Adapun hubungan yang dibina biarlah bermatlamatkan untuk berakhir dengan sebuah ikatan yang halal di sisi syara’ dan bukanlah sekadar untuk ‘suka-suka’ atau ‘cuba-cuba’,Itu yang sepatutnya.Dalam salah satu slot Pra Perkahwinan yang telah saya ikuti itu,ahli panel berkata adat membatalkan wuduk sudah tidak ada maknanya lagi kerana sebelum akad nikah dilafaz, ‘adat membatalkan wuduk' ini sudah pun lama dilakukan oleh pasangan muda-mudi kini.Maka,saat bahagia sentuhan pertama yang sepatutnya dirasa antara suami dan isteri itu sudah hilang kemanisannya.Sedih..tetapi begitulah realitinya.

Apapun,bagi mereka yang sudah ada calon dan mampu dari segenap seginya…

Silakan…Laksanakan sunnah itu~

Ihtifal Dwi Merdeka,BKPSM 2009

Walau berada jauh dari Tanah Air,semangat kami anak-anak Sabah yang berada di Bumi Mesir untuk menyambut Hari Kemerdekaan tetap membara sepertimana rakyat Malaysia yang lain.Seperti tahun-tahun sebelumnya,Sambutan Ihtifal Dwi Merdeka (IDWIM) telah diadakan baru-baru ini bermula dari 9 0gos 2009 hingga 15 Ogos ini.

Walaupun bilangan ahli BKPSM yang masih ada di sini tidak seramai tahun lalu,tapi kemeriahan dan semangat kemerdekaan itu tetap dirasa bersama.Bermacam-macam aktiviti telah dianjurkan oleh setiap Biro untuk mengisi program sepanjang minggu IDWIM ini berlansung.Antaranya pertandingan Regu,berbalas pantun,rehlah ke Fayoum,debat,kursus,pertandingan mencipta lagu rasmi untuk BKPSM,nasyid,Explorasi,spontan dan sebagainya.


Bagi Biro Dakwah dan Tarbiyyah pula,pertandingan melukis dan khat telah dipertandingkan pada hari kedua minggu IDWIM bermula.Pada sebelah malamnya pula,pertandingan kuiz telah diadakan.Dalam minggu ini keihatan rata-rata semua sibuk dengan urusan yang telah ditaklifkan pada diri masing-masing.Pernah terdetik rasa terharu bila melihat semua memberikan kerjasama dan sama-sama berusaha agar program yang dirancang berjalan sebaik mungkin.

Sekalung tahniah dan ucapan Alfu Mabruk buat barisan kepimpinan AJKT BKPSM sesi 08/09,Ajkt induk IDWIM 09 dan semua ahli BKPSM yang telah menjayakan sambutan kali ini.Keep it as a sweet memories~^_^

Suka Duka


'Menuntut ilmu di Al-Azhar bukan mudah'.
Satu dialog yang memang sudah selalu didengari sebelum kaki ini berdiri di sini.
Jelas.Dia sudah mengetahui akan hakikat itu.Berjuang untuk mendapatkan ilmu Allah amat payah.Tiada jalan pintas.Sememangnya begitu.Dimana sahaja,sepanjang perjalanan untuk mencari ilmu itu akan ditaburi mehna dan rintangan.Lebih-lebih lagi di Bumi Anbiya ini,usaha dan kecerdikan seseorang bukanlah satu tiket yang menjanjikan kejayaan itu adalah milikmu.Sebaliknya rahmat dan rezeki dari Allah itu menjadi penentu.


Air mata mengalir laju tika mengetahui ada teman yang masih belum ada rezeki untuk najah disini.Kesedihannya juga milikku.Mungkin ini satu saat yang sesuai untuk koreksi semula di mana silap dan pincangnya.Itu penting.Muhasabah!!Hubungan kita dengan Allah,dan hubungan kita sesama manusia...sudahkah kita pelihara sebaiknya?Usaha yang kita telah buat,cukupkah?Susah-payah yang kita lalui sudah berbaloikah untuk kita mengecap saat kegembiraan itu?Sesungguhnya, Allah tidak akan menzalimi hamba-hambaNya.Tidak sesekali.Tiap ujian yang tiba bukan diminta..sebaliknya Allah itu Maha Mengetahui segala.Sesuatu itu tidak akan terjadi dengan sia-sia sebaliknya pasti ada hikmah yang tersembunyi.Pasti.Hati sayu bila mendengar sudah ada segelintir dari teman yang sudah berputus asa untuk menyambung perjuangannya di Bumi Kinanah ini.Namun,di sebalik semua ini,berbahagialah kerana sebenarnya dirimu diuji Allah tanda kasih sayangnya.Bertuahnya dirimu.
Bagi teman yang berjaya melangkah setapak lagi,kegembiraanmu juga kepunyaanku.Setelah berusaha,dengan Rahmat Allah,doamu dikabulkan.Alhamdulillah...
Moga kejayaanmu ini dirahmati Allah.
Moga ilmu yang diperolehi mendapat berkat Illahi.
Moga kau bisa menjadi contoh dan ikon yang baik bagi teman lain.

Sunday, August 9, 2009

Negaraku Malaysia


BEBERAPA hari lagi genaplah usia negara kita Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaannya yang ke52 pada tahun ini.Alhamdulillah,setelah hampir 456 tahun yang lampau bumi kita dijajah,hari ini kita mampu berdiri megah dan setanding dengan negara-negara maju yang lain.'MERDEKA'..secara amnya membawa satu pengertian yang jelas.Bebas daripada penjajah yang menguasai sesebuah negara.

Namun,realitinya hari ini ,kita telah di'jajah' semula, terutamanya golongan remaja,pemuda dan pemudi yang bakal menjadi pemimpin negara satu hari kelak.Hari demi hari,identiti ketimuran dalam diri anak-anak Malaysia dihakis secara halus,sehinggalah pada ketika ini kita dapat lihat budaya barat telah meracuni pemikiran,budaya dan mempengaruhi gaya hidup remaja masa kini.Sedangkan dalam masa yang sama kita berbangga apabila dikatakan Malaysia sebuah negara Islam.


Keadaan ini berlaku berkemungkinan lantaran sistem di Malaysia ada kepincangannya.Namun,usah ditunding jari pada mana-mana pihak.Sebaliknya,apa yang lebih penting remaja harus sedar bahawa masa depan negara yang kita cintai ini adalah terletak di tangan kita.Tuntutlah ilmu sebanyaknya dan mudah-mudahan satu hari kelak kita dapat mencapai cita-cita kita untuk menjadikan Malaysia sebuah Daulah Islami yang hakiki berpaksikan Al Quran dan Sunnah Rasul Nya.


'Hubbul Waton Minal Iman'...
Oleh itu,Sayangi Tanah Air kita,pelihara dan pertahankan ia hingga ke titisan darah yang terakhir.Walau jauh dari Tanah Air yang tercinta,dengarlah...ingin ku katakan 'Aku bangga menjadi Anak Malaysia'...

Sunday, August 2, 2009

Sya'ban kini,Ramadhan menanti


Sedar tidak sedar,kini kita berada di dalam bulan Syaaban.Dari berbagai keterangan mengenai pengertian bulan Syaaban sendiri, dapat disimpulkan bahawa pada bulan ini adalah masa untuk manusia berebut-rebut mengejar kebajikan sebanyak mungkin sebagai latihan dan persediaan untuk memasuki bulan Ramadhan.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Tahukah kamu sekalian, mengapa dinamakan bulan Syaaban?" Mereka menjawab : "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui". Baginda bersabda : "Kerana di dalam bulan itu berkembanglah kebaikan dengan banyak sekali." (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama)

~Keutamaan Bulan Syaaban

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Sayidatina Aisyah Radhiallahuanha, dia telah berkata yang maksudnya :

"Adalah Rasulullah SAW sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Rasulullah akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat Baginda berpuasas ebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat Baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak dari puasanya di bulan Syaaban." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa ini menunjukkan kelebihan bulan Syaaban dari bulan-bulan yang lain dari segi pemilihan bulan untuk beramal ibadat selain dari bulan Ramadhan.
Selain dari itu, Rasulullah SAW pernah mengumpamakan keutamaan bulan ini dengan keutamaan diri Baginda sendiri ke atas nabi-nabi yang lain. Sabda Baginda yang maksudnya :

"Keutamaan bulan Syaaban ke atas bulan-bulan yang lain adalah seperti keutamaan saya di atas semua nabi-nabi yang lain, sedangkan keutamaan bulan Ramadhan ke atas semua bulan yang lain adalah seperti keutamaan Allah Taala ke atas makhluk-Nya."

~Amalan-amalan di bulan Syaaban

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah :

1. Memperbanyakkan puasa sunat
Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa RAsulullah SAW lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :

"Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

2. Memperbanyak doa, zikir dan membaca selawat kepada Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW : "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

3. Bertaubat

Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata : Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."

P/s : Firman Allah mafhumnya (Sesunguhnya manusia itu di dalam kerugian.Kecuali mereka yang berpesan-pesan dengan kebaikan dan berpesan-pesan dengan kesabaran )

: Moga dipanjangkan umur kita untuk bertemu bulan itu sekali lagi..Amin..


RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL…^_^